Khamis, 24 April 2014

Hudud untuk orang Islam sahaja, kata TMB

Undang-undang tersebut diyakini akan dapat me­ngurangkan kadar jenayah.

mohd amar nik abdullah
KOTA BHARU: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata hukum hudud ini ha­nya melibatkan umat Islam dan orang bukan Islam tidak perlu takut dengan hasrat Kerajaan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud itu.

Malah katanya, orang bukan Islam turut akan mendapat manfaatnya kerana undang-undang tersebut diyakini akan dapat me­ngurangkan kadar jenayah.

“Kadar jenayah sekarang dilihat semakin tinggi dan pada pandangan saya hukum hudud ini apabila ia dikuatkuasakan kelak akan me­ngurangkan jenayah,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatakuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 berkata Kerajaan Pas Kelantan merancang menggunakan perkhidmatan pakar bedah untuk memotong tangan penjenayah yang disabitkan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 sekiranya undang-undang Islam itu mula dikuatkuasakan tahun hadapan.

Mohd. Amar memberitahu, selesai hukuman tersebut pesalah terbabit sudah boleh pulang ke rumah tanpa perlu menjalani sebarang hukuman lain seperti penjara atau sebaliknya.

Beliau berkata, hukuman tersebut dilihat lebih berkesan daripada Kanun Tatacara Jenayah yang diamalkan sekarang di mana semua pesalah perlu menjalani hukuman penjara selain ia juga membebankan kerajaan menanggung kos tahanan tersebut.

“Hukum hudud ini adalah agak berbeza di mana pesalah yang telah dipotong tangan khususnya untuk kesalahan mencuri itu dibenarkan pulang ke rumah untuk bersama keluarga dan kerajaan juga tidak akan menanggung apa-apa kos penjagaan tahanan di dalam penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah dan Pecah Tanah Projek Rumah Taman Kurnia Jaya di sini semalam.

Tambah Mohd. Amar undang-undang Islam itu adalah lebih berperikemanusiaan di mana setiap pesalah terbabit sebelum dijatuhi hukuman perlu dibuktikan kesalahan.

“Pertimbangan juga akan dilakukan sebelum dijatuhkan hukuman sekiranya mereka (pesalah) mencuri atas sebab-sebab tertentu seperti lapar atau terpaksa ia tidak akan dikenakan hukuman potong tangan,” katanya.

Sementara itu Kerajaan Pas Kelantan disaran agar mengkaji semula pelaksanaan hukum hudud yang ingin dijalankan negeri itu kerana hukum hudud Islam merangkumi semua pihak termasuk orang bukan Islam.

Pengasas Pondok Geting Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’ amah berkata, kerajaan Pas Kelantan sebelum ini menyatakan hukum hudud yang ingin dijalankan di Kelantan hanya merangkumi orang Islam sahaja.

Sedangkan kata Abdullah, hukum hudud yang sebenarnya adalah merangkumi ke atas orang Islam dan orang bukan Islam.

“Hudud Islam kena dua-dua pihak (orang Islam dan bukan Islam), tetapi hukum hudud Pas hanya merangkumi orang Islam sahaja, ini zalim.

“Di dalam kitab Majmuk Al Imam Al-Nawawi ada menyebut bahawa jika ada kes berkaitan orang Islam dan bukan Islam, contohnya orang bukan Islam mencuri harta orang Islam, tidak ada khilaf lagi bagi hakim untuk menjatuhkan hukum hudud ke atas orang bukan Islam tersebut.

“Kalau hendak suruh orang bukan Islam ke mahkamah lain dan bukannya laksanakan hukum hudud untuk satu kes seperti ini, ia adalah tidak betul,” katanya ketika ditemui di Mentaloon di Alor Star, Kedah  semalam.

Tiada ulasan: