Hudud


KOTA BHARU - Pas perlu mengadakan perbincangan dengan ahli Parlimen beragama Islam dan bukan Islam bagi menjelaskan secara terperinci tentang usul rang undang-undang persendirian agar semua pihak memahami hudud.

Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, semua pihak perlu benar-benar memahami pelaksanaan hukuman tersebut supaya tidak timbul pelbagai polemik dan mencetuskan konflik dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

“Jika Pas mahu kemukakan rang undang-undang persendirian dan perlukan sokongan ahli bukan Islam, mereka perlu beri penjelasan lanjut kepada ahli Parlimen Islam dan bukan Islam kerana perkara ini sangat penting.

“Jangan buat perkara yang tidak terancang kerana perundingan dan perbincangan perlu dibuat sebelum usul ini dibawa ke Parlimen,” katanya sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah (2) 1993, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini berkata, pihaknya sudah menyiapkan draf dan kini hanya memerlukan sedikit penambahbaikan serta pandangan daripada pakar perundangan.

Sebelum itu, Pas Kelantan melalui ahli Parlimen menyatakan akan membawa usul berkenaan di Dewan Rakyat bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember nanti.

Mustapa berkata, Pas juga perlu memberikan penerangan yang jelas kepada DAP dan PKR bagi mengelak polemik kebangsaan yang akan mencetuskan ketegangan.

“Apabila rang undang-undang persendirian ini dibentangkan di Parlimen, terdapat beberapa proses perlu dilalui termasuk hal perlembagaan dan persiapan, malah isu yang penting kita harus ada perancangan sebelum bertindak,” katanya.

Menurutnya, Majlis Tertinggi Umno juga belum membuat perbincangan khusus tentang hukum hudud dan beliau yakin kepimpinan parti akan memberikan perhatian serius mengenai perkara itu.