Jumaat, 25 April 2014

Hudud: Kenapa MCA takut menentang sokongan UMNO?



_DSC1547




GEORGE TOWN: MCA dengan jelas bersikap talam dua muka apabila membisu terhadap Umno yang secara terbuka menyokong rancangan PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan, sebaliknya hanya tahu menyalahkan DAP di atas isu itu.

Sedangkan DAP daripada awal tidak menyokong rancangan PAS, malah akan menentang usul atau rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan undang-undang itu, menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“MCA dengan patuh menyokong setiap undang-undang yang diusulkan kerajaan BN tanpa mengambil kira pandangan rakyat bukan Muslim.

“Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa kerajaan tidak pernah menolak hudud dan menyokong usaha itu dengan jelas mendedahkan penipuan, sikap hipokrit dan dwi-standard MCA.

“Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai perlu jawab – mengapa beliau menyerang DAP yang dengan terbuka menentang PAS dalam isu itu, tetapi tidak berani dengan Umno yang turut menyokongnya?” katanya dalam satu kenyataan.

Memetik laporan The Star semalam, Liow menuduh DAP bermain politik berhubung isu itu, walaupun DAP secara konsisten tidak pernah bersetuju dengan hudud.

Laporan itu juga menyatakan MCA sedang berkempen kepada persatuan dan pertubuhan masyarakat Cina untuk menentang usaha PAS itu.

“Betapa banyak majlis mengumpul tandatangan dengan persatuan masyarakat Cina tidak dapat menyembunyikan hakikat MCA tidak berani bertegas ketika perlu, di Parlimen dan Kabinet untuk berkata tidak kepada Umno,” katanya sinis.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Pulau Pinang itu mengkritik Liow yang juga tidak memberi apa-apa komen berhubung larangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melarang bahan bacaan agama selain Islam diletakkan di bilik hotel di negeri itu.

“Selaku Ahli Parlimen Bentong, Liow tidak berkata apa-apa. Itu adalah bukti terbaru sikap patuh membuta-tuli MCA,” katanya.

Arahan itu disampaikan melalui surat ke 147 hotel bermula 6 Mac lalu. Kegagalan mematuhi arahan itu boleh menyebabkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000, atau kedua-duanya sekali.

Umno yang pernah menghalang pelaksanaan undang-undang itu ketika zaman pentadbiran Datuk Nik Aziz Nik Mat pada era 90-an secara tiba-tiba menyokongnya apabila Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata tiada masalah untuk ianya dilaksanakan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: