Hudud: Biar MP bahas, bentang cara ilmiah "Kenyataan MCA itu tidak patut dan kita sebagai orang Islam pun tidak pernah mencampuri urusan agama mereka.” -Razali


KUALA TERENGGANU – Mana-mana pemimpin parti bukan Islam tidak perlu campur tangan atau membuat bantahan dalam isu melibatkan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Umno Terengganu, Datuk Razali Idris mengakui terkilan dengan pihak tertentu yang mengeluarkan kenyataan supaya hudud dikaji semula menegaskan bahawa pelaksanaan undang-undang syariah tersebut hanya melibatkan orang Islam yang sepatutnya diselesaikan orang Islam.

“Tidak perlu kenyataan sedemikian daripada bukan Islam tidak kira sama ada ahli MCA atau sesiapa pun. Bagi orang Islam, inilah masanya ahli-ahli Parlimen Islam buat perbahasan.

“Kita juga sokong ia di bawa ke Parlimen dan kita mahu ia dibentang secara ilmiah, bukan politik semasa. Kita juga berharap ia turut disertai oleh mufti dan mereka yang berkenaan dalam memastikan akta jenayah Islam ini dapat direalisasikan,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang pemimpin MCA berhubung isu pelaksanaan hudud yang meminta perkara itu dikaji semula.

Razali berkata, perkara itu tidak sewajarnya dibuat pemimpin parti itu, seolah-olah menghalang kerajaan, sedangkan pihak tersebut telah membuka ruang bagi membolehkan perkara itu diluluskan.

“Kenyataan MCA itu tidak patut dan kita sebagai orang Islam pun tidak pernah mencampuri urusan agama mereka,” katanya.

Pada masa sama, Razali menjelaskan usaha Kerajaan Kelantan dengan sokongan daripada wakil rakyat BN memperlihatkan Pas dan Umno sedang mencapai titik persamaan dalam perjuangan agama di negara ini.

Sebelum ini, Kerajaan Pas Kelantan melalui Ahli Parlimennya akan membawa usul rang undang-undang persendirian dalam sidang Dewan Rakyat bagi melaksanakan hukum hudud di negeri itu menjelang 2015.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sebelum ini berkata, kerajaan Pas sedang membuat persiapan untuk membentangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di Dewan Rakyat bagi mendapatkan persetujuan meminda undang-undang yang berkaitan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan di Kelantan.