Khamis, 17 April 2014

Exco Kedah kesal cara AIU aniayai pelajar miskin

 


Sebahagian dari tapak Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) adalah tanah wakaf, manakala sebahagian lagi diambil alih oleh Yayasan Albukhary dengan bantuan kerajaan negeri Kedah.Matlamat penubuhan universiti itu amat murni iaitu mahu memberi pendidikan percuma kepada pelajar-pelajar miskin dari seluruh dunia.Memulakan operasi sejak 2010, AiU menawarkan program asasi, Sekolah Perniagaan dan Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Namun matlamat dan cita-cita untuk meringankan beban golongan miskin menjadi sebaliknya apabila pihak pengurusan tanpa alasan yang jelas membuat keputusan mahu menutup institusi tersebut.

Bayangkan apa nasib ratusan pelajar terpaksa berhenti tanpa notis secukupnya sedangkan sememangnya diketahui mereka tidak mampu menanggung pembiayaan pendidikan.

Exco Pendidikan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika dihubungi MalaysiaGazette menyifatkan tindakan AiU adalah satu penganiayaan kepada para pelajar yang datang daripada keluarga miskin.

Katanya, biarpun AiU adalah sebuah institusi pendidikan tinggi swasta namun ia masih terikat dengan peraturan kerajaan yang memerlukan pihak pentadbiran menghantar notis kepada Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) setahun sebelum universiti tersebut boleh ditamatkan operasi.

Tambahnya, KPM telah memanggil pihak pentadbiran universiti berhubung masalah yang menimpa AiU namun beliau difahamkan mereka gagal memberikan justifikasi serta penerangan yang baik kepada pihak kementerian.

“Saya tak tahu apa masalah yang menimpa AiU, nak kata tak ada pelajar, mereka ada ramai pelajar begitu juga pensyarah.

“Nak kata prasarana tak lengkap, universiti tersebut sangat hebat dan jika nak dikata tak ada duit, ini adalah mustahil. Ini kerana penaung dan pembiaya universiti berkenaan adalah 10 lelaki terkaya di Malaysia (Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary).

“Beliau mendapat projek berbilion ringgit setahun dan terkenal sebagai seorang individu yang dermawan. Jadi saya sifatkan masalah AiU ketika ini adalah masalah pentadbiran dan pengurusan.

“Namun begitu, kerajaan negeri tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai hal ini biarpun ia berada di negeri Kedah dan tanah yang dijadikan tapak universiti sebahagiannya adalah tanah wakaf,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette di sini hari ini.

Tajul Urus yang kecewa dengan tindakan AiU itu sedih mengenangkan masa depan para pelajar yang datang daripada keluarga miskin.

Katanya, sudah pasti para pelajar tersebut mempunyai cita-cita besar untuk mengubah nasib diri dan keluarga mereka serta bakal memberi sumbangan kepada negara masing-masing apabila tamat pengajian nanti.

AiU katanya, perlu memikirkan nasib para pelajar sebelum membuat sebarang tindakan tergesa-gesa.
“Saya sebenarnya tidak mahu ulas mengenai tindakan enam pelajar saman AiU tetapi secara jujurnya saya setuju para pelajar tersebut mempertahankan hak mereka.

“Ini kerana universiti berkenaan memang tidak peduli mengenai hak dan tanggung jawab mereke kepada pelajar.

“Nasib para pelajar terumbang-ambing. Pihak pentadbiran hanya menyediakan tiket untuk pelajar jika mereka mahu menyambung pelajaran ke mana-mana destinasi contohnya Kuala Lumpur atau Sabah sedangkan bagi seorang pelajar universiti yang masih dalam pengajian, pertukaran universiti adalah satu proses yang rumit dan perlu mematuhi pelbagai prosedur.

“Ini mereka terpaksa lalui sendiri dan pihak universiti bagaikan lepas tangan dalam isu ini,” katanya.

Dengan itu, Tajul Urus berkata, kerajaan negeri Kedah telah meminta institusi pengajian tinggi milik negeri itu, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) untuk menawarkan tempat kepada pelajar-pelajar ABiU menyambung pengajian.

Beliau bagaimanapun tidak mempunyai maklumat jumlah sebenar pelajar dan pensyarah yang masih ada di AiU.

MalaysiaGazette sejak dua bulan lalu telah memberi ‘bayangan’ bahawa universiti yang dibuka pada 2010 itu bakal dijual akibat mengalami masalah kewangan kritikal dan hampir muflis.

Laporan MalaysiaGazette dua bulan lalu mengenai kemelut yang melanda AiU

Ketidakcekapan pengurusan didakwa sebagai punca universiti milik Yayasan Albukhary itu mengalami kerugian ratusan juta ringgit manakala cawangannya di Kuala Lumpur ditutup.

Portal ini difahamkan, AiU sedang menjalankan siasatan berhubung kerugian tersebut dengan membabitkan pengurusan universiti berkenaan.

Naib Canselor AIU, Profesor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) telah mengosongkan kerusi itu pada Disember tahun lalu.

Tiada ulasan: