Khamis, 3 April 2014

Empat sebab perlu tubuh RCI Tragedi Memali Oleh Lim Kit Siang


memali



Kenyataan Media oleh Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 2 April 2014.


TESTIMONI oleh OCPD Baling yang menyaksikan sendiri Tragedi Memali dan keperluan untuk menamatkan campur tangan politik ke atas institusi negara merupakan antara sebab yang kuat untuk menubuhkan sebuah RCI bagi menyiasat semula tragedi pada 1985 itu yang mengorbankan 18 nyawa.

Berikutan pendedahan minggu lalu oleh bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Tun Musa Hitam yang mengatakan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berada dalam negara ketika kejadian dan bukannya di China seperti yang dipercayai sejak tiga dekad lalu, saya telah meminta Suruhanjaya Siasatan Diraja memastikan perkara sebenar memandangkan Mahathir telah mengelak dari memikul tanggungjawab atas kematian 18 nyawa, termasuk 4 pegawai polis.

Sebab lain sebuah RCI perlu dibentuk untuk menyiasat semula Tragedi Memali adalah mereka yang terbabit masih hidup dan boleh memberi keterangan ke atas kejadian yang seharusnya boleh dielakkan.

Antaranya ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir; bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam; bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar; bekas pemangku Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Mohd Amin Osman; Menteri Penerangan ketika itu, Tan Sri Rais Yatim; Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad; Ketua Setiausaha UMNO ketika itu, Tan Sri Sanusi Junid; OCPD Baling ketika Tragedi Memali, Tunku Muszaffar Shah; dan seorang pengikut Ibrahim Libya yang sekarang adalah senator, Muhamad Yusof Husin, dari Baling, Kedah.

Testimoni OCPD Baling ketika itu, Tunku Muszaffar Shah, adalah satu sebab tambahan yang kuat untuk membentuk sebuah RCI bagi menyiasat semula tragedi 1985 supaya kejadian sebenar boleh dirungkai untuk negara dan rakyat.

Dua tahun lalu, Tunku Muszaffar menulis sebuah buku yang menjelaskan bahawa peristiwa berdarah pada 19 November 1985 di Memali yang mengakibatkan kematian Ibrahim Libya, 13 pengikutnya, dan empat anggota polis, adalah hasil campur tangan politik dalam operasi polis, menyebabkan ibu pejabat polis Bukit Aman gagal membuat keputusan yang tepat dalam usaha menangkap Ibrahim Libya selepas cubaan kedua untuk menangkapnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 gagal.

Dalam buku beliau yang bertajuk ‘Memali: Policeman Remembers’, Tunku Muszaffar mengatakan bahawa kegagalan untuk buat keputusan yang tepat adalah disebabkan campur tangan politik dan kerana mengambil remeh keupayaan pengikut Ibrahim Libya.

Tunku Muszaffar menulis bahawa pegawai atasan di Bukit Aman tidak sepatutnya menerima arahan daripada “tuan politik” mereka dan menolak permintaan yang tidak sejajar dengan etika tugas polis atau prosedur kerja mereka.

“Budi bicara dan tindakan polis mengenai bagaimana mereka akan menjalankan sesuatu tugas sepatutnya mengikut situasi yang sedang terjadi,” tulis beliau.

Menurut Kertas Putih kejadian Memali yang dibentangkan di Parlimen pada Februari 1986, percubaan kerajaan menangkap Ibrahim di bawah ISA adalah atas tuduhan menubuhkan Gerakan Revolusi Islam yang mensasarkan untuk menjatuhkan kerajaan pusat dengan kekerasan.

Walaupun Tunku Muszaffar tidak mendokumenkan sebarang contoh campur tangan politik, beliau mencatat bahawa Musa mengeluarkan arahan khas semasa percubaan penangkapan pertama pada 2 September, 1984. Dalam buku itu, beliau mencatat bahawa Musa telah mengarahkan Bukit Aman untuk memastikan bahawa tiada kekerasan digunakan dalam penahanan Ibrahim dan berundur jika menghadapi tentangan.

Diketuai oleh Ketua Cawangan Khas Daerah, pihak polis pergi ke rumah Ibrahim di Kampung Charok Puteh pada 2.45 pada hari itu, tetapi berundur selepas mereka bertembung dengan kira-kira satu dozen orang bersenjata buluh runcing dan senjata lain.

Menurut pengikut Ibrahim ketika itu, Muhamad Yusof Husin, yang menceritakan Tragedi Memali, yang dijadikan sebagai satu bab dalam buku itu, percubaan tangkapan pertama yang gagal menyebabkan pengikut-pengikut Ibrahim membuat keputusan untuk mengawal pemimpin mereka agar tidak ditangkap. Muhamad Yusof sekarang adalah Senator PAS mewakili Kedah sehingga 20 Mei.

Dalam buku itu, Tunku Muszaffar mengkritik pegawai atasan di Bukit Aman, termasuk Pemangku Ketua Polis (IGP), kerana memandang rendah pengikut Ibrahim. Cubaan menangkap Ibrahim dengan menghantar jumlah anggota polis yang ramai di rumah Ibrahim pada November 1985 menyaksikan pengikut Ibrahim bertindak-balas menyerang polis dengan senjata api dan senjata tajam, sehingga akhirnya pendakwah berkarisma itu terkorban.

Dalam buku itu, beliau menggambarkan orang-orang atasan itu sebagai “armchair jeneral” yang melihat bahawa tindakan yang tepat adalah menangkap Ibrahim di rumahnya, walaupun mengetahui bahawa penyokong-penyokong Ibrahim telah menunggu dan ada antara mereka mempunyai lesen senjata api.

Sebenarnya ada satu lagi sebab kuat untuk RCI ditubuhkan bagi menyiasat semula Tragedi Memali, iaitu untuk menentukan sama ada ia adalah campur tangan politik yang pertama dalam profesionalisme, kebebasan, dan integriti institusi negara dalam tempoh 22 tahun pemerintahan Mahathir, campurtangan yang bukan saja dilakukan ke atas polis tetapi juga telah merebak ke institusi lain, termasuk perkhidmatan awam, Jabatan Peguam Negara, Kehakiman, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dan yang paling utama sekali, adalah keperluan untuk mencari rumus dalam usaha menamatkan campur tangan politik di institusi negara ini sekaligus memulihkan keyakinan rakyat terhadap tadbir urus yang baik di Malaysia. – Roketkini.com

Tiada ulasan: