Khamis, 10 April 2014

DAP Perak kecam kerajaan negeri belanja lebih RM300 ribu untuk peguam luar


wongkahwoh



KUALA LUMPUR,: DAP Perak mengecam tindakan Kerajaan Negeri yang menghabiskan lebih RM300 ribu wang rakyat bagi membayar khidmat guaman luar dalam kes rampasan kuasa kerajaan Pakatan pada 2009.

Walhal Barisan Nasional (BN) sepatutnya menggunakan khidmat penasihat undang-undang negeri yang sememangnya bertanggungjawab dalam hal perundangan negeri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Canning Wong Kah Woh dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas jawapan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berhubung bayaran khidmat peguam sebanyak RM324,053.16 yang ditanggung kerajaan Perak dalam kes di antara Menteri Besar Dato’ Seri Dr Zambry Kadir dan Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

“Jika kerajaan Negeri menanggung kos guaman atas kapasiti Zambry selaku Menteri Besar, mengapa tidak gunakan sahaja penasihat perundangan seperti sepatutnya, sebaliknya ambil peguam luar. Adakah mereka tidak yakin dengan penasihat sendiri?” soalnya.

Katanya, BN juga tidak boleh memberikan alasan tidak menggunakan penasihat undang-undang ekoran Zambry disaman atas kapasiti individu kerana khidmat peguam terbabit ditanggung Kerajaan Negeri.

“Jika mereka beri alasan sedemikian, hakikat bahawa bayaran dibuat kerajaan negeri adalah satu salah guna kuasa secara terang-terangan,” kata Setiausaha DAP Perak itu lagi.

Ada beberapa kes melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat dan kerajaan Negeri yang berpunca daripada rampasan kuasa itu, antaranya V Sivakumar (bekas Speaker DUN kerajaan Pakatan) melawan Dato R Ganesan (Speaker selepas rampasan kuasa) di Mahkamah Rayuan, dan Zambry melawan Sivakumar, juga di mahkamah sama.

Katanya lagi, mengambil kira kebarangkalian tinggi bahawa lima kes itu turut ditanggung Kerajaan Negeri, jumlah wang rakyat yang digunakan bagi membayar khidmat peguam boleh mencecah RM1.5 juta.

Justeru, beliau mendesak Kerajaan Negeri memberikan penjelasan serta maklumat penuh berhubung isu itu.

“Mereka perlu menjelaskan kepada seluruh rakyat negeri, sama ada bayaran guaman untuk semua kes ditanggung kerajaan atau tidak. Mereka juga perlu dedahkan jumlah wang rakyat yang dihabiskan untuknya,” katanya lagi.

Pada 2009, Pakatan Rakyat membawa kes rampasan kuasa di Perak ke mahkamah bagi mencabar kesahihan kerajaan Negeri BN baru yang ditubuhkan.

Pada 22 Mei 2009, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan Zambry adalah Menteri Besar yang sah, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelumnya yang menetapkan Nizar kekal memegang jawatan itu. -Roketkini.com

Tiada ulasan: