Jumaat, 4 April 2014

Culik: Belum apa-apa, Najib sudah buat spekulasi?

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Belum pun nampak ‘kekeruhan’ hubungan Malaysia dengan China dapat dijernihkan berikutan insiden kehilangan pesawat MH370, kini berlaku lagi kejadian penculikan dua pelancong di Semporna, Sabah di mana salah seorang daripadanya adalah warga China. Seorang lagi mangsa ialah rakyat Filipina.

Memang diketahui Malaysia adalah antara negara yang paling digemari oleh pelancong China.

Jika dalam insiden MH370, 158 daripada 239 penumpangnya adalah warga China, ketika kejadian penculikan di sebuah resort di Semporna itu pula, daripada 61 pelancong yang sedang menginap, 59 daripadanya adalah warga China.

Menurut penulis Shahbudin Husin, dalam insiden penculikan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak awal-awal lagi sudah membuat spekulasi dan andaian awal mengenainya.

“Menulis di twitternya, beliau tidak menolak kejadian ini didalangi oleh pihak-pihak tertentu yang cuba mengeruhkan lagi hubungan Malaysia dengan China,” tulis beliau di dalam blognya, semalam.

Kerajaan tidak tolak kemungkinan kes penculikan di Semporna perbuatan pihak tertentu untuk keruhkan hubungan Malaysia-China, demikian tulisan itu dipetik.

“Hanya bersandarkan andaian dan kebetulan kemarahan ramai warga China berikutan insiden kehilangan pesawat MH370, Najib seolah-olah terus membuat kesimpulan ianya didalangi oleh mereka yang mahu mengeruhkan hubungan Malaysia dengan China,” tulis beliau lagi.

Justeru, Shahbudin mempersoalkan siapakah pihak yang dimaksudkan Najib itu?

Adakah beliau pasti mengenainya? Apakah pula bukti yang menyokong dakwaan itu? Tidakkah ini bertentangan dengan kenyataan Pesuruhjaya Polis Sabah yang mengaitkannya dengan penculikan bermotifkan wang?

Tiada ulasan: