Jumaat, 11 April 2014

CNN: 'TUDM hantar pesawat cari MH370, DCA tidak diberitahu'

MALAYASIAKINI


CNN melaporkan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memang menghantar pesawat mencari pada pagi kehilangan Flight MH370, tetapi tidak memaklumkannya kepada pihak berkuasa sehingga tiga hari kemudian.

Memetik seorang pegawai kanan kerajaan Malaysia dan satu lagi sumber yang terlibat dalam penyiasatan itu, CNN melaporkan "pesawat mencari tentera udara Malaysia berlepas sekitar jam 8 pagi, tidak lama selepas Malaysia Airlines (MAS) melaporkan pesawatnya hilang pada awal Mac 8."

Ia melaporkan bahawa pesawat mencari itu berlepas sebelum pihak berkuasa dapat menyokong data yang menunjukkan Boeing 777 itu berpatah balik ke arah barat.

Sumber yang tidak dinamakan menyatakan TUDM "tidak memaklumkan kepada Jabatan Penerbangan Awam atau operasi mencari dan menyelamat sehinggalah tiga hari kemudian, pada 11 Mac".

Ia juga melaporkan Penerbangan MH 370 hilang dari radar tentera pada kira-kira 120 batu nautika selepas ia melintasi semula Semenanjung Malaysia.

"Berdasarkan data yang ada, ini bermakna pesawat itu mesti menurun ke ketinggian di antara 4,000 dan 5,000 kaki," dakwa pegawai kanan kerajaan itu.

Juga mengenai kata-kata akhir "Selamat malam Malaysia tiga-tujuh-kosong" dalam komunikasi dengan kawalan trafik udara Subang sebelum pesawat MH370 hilang dari radar, CNN mendakwa ianya dituturkan oleh juruterbang Kapten Zaharie Ahmad, dan bukan pembantu juruterbang seperti yang didakwa pada awalnya.

"Sumber-sumber Malaysia memberitahu CNN tiada apa yang luar biasa mengenai suara itu dan tidak ada petunjuk wujud tekanan. Salah satu sumber itu, seorang pegawai yang terlibat dalam penyiasatan, memberitahu CNN bahawa polis memainkan rakaman itu kepada lima juruterbang MAS yang lain yang mengenali juruterbang dan pembantu juruterbang berkenaan.

"Tidak ada suara pihak ketiga," katanya.

Tiada ulasan: