Khamis, 24 April 2014

Bukit Gelugor: Jangan beri komen elak putar belit media

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng meminta pimpinan dan ahli DAP agar tidak memberi sebarang komen berkenaan Pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor bagi mengelakkannya diputarbelit media arus perdana.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, sebarang pengumuman akan dibuat selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (CEC) 28 April nanti.

Katanya, jawatankuasa DAP Pulau Pinang akan bermesyuarat petang ini dan CEC pula pada 28 April berhubung persediaan PRK itu.

Menurutnya lagi, pencalonan akan dibincangkan oleh CEC dan ditetapkan oleh Jawatankuasa Pencalonan DAP yang diketuai beliau dan dianggotai Pengarah Pilihanraya Tan Kok Wai dan Ketua Parlimen Lim Kit Siang.

Justeru, katanya tiada pengumuman berkenaan calon akan dibuat sebelum 28 April.

“Sehingga tempoh itu, saya, Tan dan (Pengarah Pilihanraya DAP Pulau Pinang) Chow Kon Yeow akan menjadi jurucakap berhubung PRK ini,” katanya dipetik Roketkini.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu menggesa agar DAP tidak memandang ringan PRK kali ini serta bekerja keras untuk menghadapinya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Bukit Gelugor pada 12 Mei dan hari mengundi pada 25 Mei.

PRK Bukit Gelugor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Karpal Singh dalam satu kemalangan jalan raya awal berhampiran Gua Tempurung, Ipoh pada pagi 17 April lalu.

Tiada ulasan: