Ahad, 13 April 2014

BODOH BERLAPIS-LAPIS

nobisha.blogspot.

1. Sewaktu menjadi Exco, Naib Presiden dan kemudiannya Setiausaha Agung, Majlis Belia Malaysia (MBM) 15 tahun lalu, saya pernah sebutkan berkali-kali untuk ibu bapa mempunyai literasi media dan mendidik anak-anak dengan adab di internet.

2. Saya pernah menggesa (pada masa itu) agar Internet Service Provider (ISP) memperkenalkan dan melaksanakan secara tegas Acceptable Use Policy (AUP) di mana ISP membatalkan akses kepada internet untuk sesiapa yang melanggar AUP atau menggunakan secara tidak sewajarnya. Saya pernah menulis mengenai isu ini dalam Utusan Malaysia. Sila klik di sini untuk membaca.

3. Malah, saya berusaha untuk melakukan literasi internet dan bersama Dato' Saifuddin Abdullah (Presiden MBM ketika itu) melancarkan "Etika Pengguna Internet" di Pusat Belia Antarabangsa.

4. Apa yang saya bimbangi dulu kini menjadi realiti. Pengguna media sosial hari ini seolah-olah dirasuk syaitan dan tidak mampu lagi membezakan yang baik dan yang buruk. Adab dan akhlak sudah dibakulsampahkan. Maki-hamun, cercaan, provokasi melampau dan fitnah sudah menjadi asam-garam di media sosial. Kita lihat sajalah diskusi mengenai insiden #MH370.

5. Walaupun saya pernah sebutkan, "Sekolah bertingkat-tingkat, bodoh berlapis-lapis," namun saya masih lagi boleh terima orang bodoh. Orang bodoh yang mahu belajar adalah jauh lebih baik daripada orang jahil yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan orang lain. Apa yang saya bimbang ialah provokasi melampau dan fitnah dari jahiliyyah ini yang akhirnya menjahamkan negara.

6. Sebahagian anak muda sudah tidak mampu menghormati yang tua. Sesetengah orang tua pula tidak mampu memberikan teladan yang baik sewaktu berinteraksi di media sosial.

7. Sekali lagi saya ingin menyeru pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar memperkenalkan AUP dan mewajibkan ISP membatalkan atau menghadkan akses internet apabila terdapat aduan pengguna kepada pengguna yang lain. Akaun pengguna tersebut boleh dibatalkan. Sekiranya dia menggunakan akaun orang lain untuk mengakses internet, akaun itu juga dibatalkan.

8. Seperti yang pernah saya sebutkan 15 tahun lalu, akses internet bukanlah satu hak (right), tetapi ia adalah satu keistimewaan (privilege). Keistimewaan ini patut ditarik balik apabila seseorang menyalahgunakannya.

9. Pada hemat saya, tindakan membatalkan dan menghadkan akses internet ini jauh lebih berkesan berbanding denda. Orang tak peduli dengan denda. Apalah sangat dengan denda beberapa ratus ringgit.

10. Biarlah dia meraung sampai ke pagi kerana tak dapat mengakses internet. Biar dia menangis kerana tak dapat gunakan Facebook. Biar dia meroyan di tepi jalan kerana tidak dapat mengikuti Twitter. Itu adalah pengajaran yang cukup berkesan sekaligus menjadi "deterrent" kepada orang lain yang berkira-kira untuk biadab di media sosial.

Tiada ulasan: