Isnin, 7 April 2014

Bersih desak tuduhan Mejar Zaidi digugurkan, berhimpun di Mahkamah Tentera esok

OLEH DIYANA IBRAHIM


Bersih 2.0 ahli dan beberapa NGO memegang mengajak orang ramai memberi sokongan kepada Mejar Zaidi Ahmad yang akan dibicarakan di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur esok. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 April, 2014.Bersih 2.0 ahli dan beberapa NGO memegang mengajak orang ramai memberi sokongan kepada Mejar Zaidi Ahmad yang akan dibicarakan di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur esok. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim,


Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bersama 40 badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain‎ mendesak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengugurkan pertuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad kerana membuat laporan polis berhubung dakwat kekal semasa Pilihan Raya Umum ke -13 (PRU13) yang lalu.

Pengerusi Bersih, Maria Chin berkata, ‎sokongan badan tersebut ke atas Zaidi bukan untuk mengkritik TUDM namun demi mempertahankan hak tentera sebagai pengundi di negara ini.

Katanya, beliau mahu TUDM melihat konteks yang lebih meluas dan memahami tindakan Zaidi yang hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

"Sokongan kita terhadap Mejar Zaidi tidak bermakna Bersih mengkritik TUDM. Kes beliau adalah amat istimewa sebab sedar akan perbuatannya tapi tetap meneruskannya‎.

"Kerana itu TUDM seharusnya melihat dari konteks meluas‎ kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri mengakui dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal, dan Mejar Zaidi bercakap hanya demi kepentingan awam," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, pakar Perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari (gambar), menyifatkan tuduhan  Zaidi ini sebagai kes klasik.

Beliau berkata, melihat daripada situasi Malaysia dalam keadaan aman maka akta lembaga tentera perlu dibaca dalam Perlembagaan.

"Dalam kes ini beberap‎a perkara TUDM terlepas pandang namun kita tidak boleh dedahkan sekarang kerana risau ia akan menjejaskan perbicaraan kes esok.

"Bagaimanapun kita nak tekankan di sini hak beliau sebagai rakyat Malaysia. TUDM menganggap beliau melanggar peraturan namun sebenarnya ramai lagi anggota dalam perkhidmatan awam pernah membuat laporan. Ini sebuah contoh kes klasik," katanya.

Zaidi menghadapi tujuh pertuduhan melanggar arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis pada 1 Mei 2013 mengenai ketidak-kekalan dakwat kekal dalam pengundian awal semasa PRU-13.

Tiga daripada tujuh pertuduhan yang dikenakan adalah kerana beliau membuat kenyataan media tanpa kebenaran pihak atasan tentera dan menghantar dua SMS lanjutan berbau politik.

Manakala Presiden Kebajikan Bekas Angkatan Tentera Kebangsaan, Leftenan Kolonel Mohd Naziri Mokthar berkata, dari segi kapasiti seorang rakyat Malaysia, Zaidi tidak boleh dianggap bersalah.

"Kita tidak merasakan beliau membuat kesalahan hanya kerana ingin menyuarakan perkara benar mengenai kegagalan dakwat tersebut.

"Namun kita perlu faham di sini adalah TUDM bukan institusi caca-marba. Ia mempunyai pengurusan yang sangat teratur namun mungkin ada kekurangan dari segi pelaksanaan namun bukan pentadbirannya," katanya.

Jesteru, beliau bersama Bersih menyeru rakyat Malaysia untuk memberi sokongan kepada Zaidi dalam perbicaraan di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur pagi esok.

"Kita menyeru rakyat Malaysia untuk hadir memberi sokongan pada jam 8 pagi esok. Marilah kita beramai-ramai menyatakan soladariti terdapat Mejar Zaidi," katanya.

Zaidi kini didakwa mengikut Seksyen 502(2) dan Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 di Mahkamah Tentera Kuala Lumpur.

‎Kes beliau ditetapkan pada 8 hingga 10 April ini di hadapan enam ahli panel iaitu Kolonel Saadon Hasnan, Leftenan Kolonel Zainurin Mohd Dom, Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Salehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Jika didapati bersalah, bapa kepada empat anak itu yang berkhidmat selama 25 tahun akan menghadapi hukuman penjara dan hilang pencen.

15 Februari lalu, The Malaysian Insider melaporkan Zaidi ‎tidak menyangka beliau bakal berhadapan dengan tindakan mahkamah.

Juruterbang jet pejuang berusia 45 tahun yang sudah berkhidmat selama 25 tahun itu terkejut apabila mendapati dirinya bergelut dengan masalah dan bukannya pembekal dakwat serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang seharusnya. dipertanggungjawabkan.

Di samping itu, beliau juga dibekukan daripada menjalankan tugas sebagai juruterbang dan terpaksa  bertugas di jabatan am.

Kontroversi dakwat kekal yang digunakan buat pertama kali pada PRU13, dikritik selepas ramai pengundi mengadu ia boleh dibasuh dengan mudah.

Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) menegaskan kegagalan sistematik dakwat kekal semasa pengundian awal dan hari pengundian menjejaskan hasil pilihan raya itu.

SPR akhirnya mengaku November lalu dakwat kekal digunakan pada PRU13 mempunyai kelemahan; antara lain, ia boleh dibasuh dan mengambil masa yang lama untuk kering dan kerana itu ia meninggalkan kotoran pada kertas undi. Bagaimanapun SPR menegaskan dakwat kekal masih akan digunakan pada pilihan raya umum akan datang.

Zaidi, yang berpangkalan di kem  Butterworth  di Seberang Prai, Pulau Pinang, adalah seorang daripada 235,826 kakitangan pasukan keselamatan dan pasangan di seluruh negara yang mengundi lebih awal pada 30 April tahun lepas.

Tiada ulasan: