MH192  
Pesawat penumpang Malaysia Airline MH192 dilihat pada landasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Malaysia, semalam. - Foto EPA


SHAH ALAM - Malaysia Airlines (MAS) perlu menyediakan satu laporan khas mengenai kejadian pendaratan kecemasan MH192 kepada Kabinet dan Kementerian Pengangkutan.

Memetik laporan sebuah stesen televisyen semalam,  Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pasukan penyiasat dari Polis Bukit Aman akan membuka kertas siasatan secepat mungkin bagi mengesan punca sebenar insiden terbabit.

"Saya beri mereka (MAS) masa dalam dua hari dan pada hari Rabu saya mahu tengok laporan awal.

“Ini bukan pesawat yang hilang di Laut Hindi tetapi ini berhubung kait dengan pesawat yang mempunyai masalah dan kerosakan keadaan tayar.

"Dalam pada  itu, saya tidak mahu mana-mana pihak tampil membuat pelbagai dakwaan dan spekulasi mengenai insiden tersebut, “ katanya.

Dalam insiden awal pagi semalam, MH192 yang dalam penerbangan ke Bangalore dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terpaksa membuat pusingan semula dan membuat pendaratan cemas selepas mengalami kerosakan teknikal pada tayar bahagian kanan.

Pesawat tersebut yang membawa 159 penumpang termasuk tujuh anak kapal dijangka tiba di Bangalore jam 11.35 malam pada hari yang sama.

Dalam kenyataan media yang disiarkan oleh pihak MAS, pesawat itu disahkan selamat tiba di KLIA tepat jam 1.56 pagi.