Isnin, 21 April 2014

Bas persiaran masuk gaung, seorang pelancong warga Singapura maut

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Seorang pelancong warga Singapura maut selepas bas persiaran yang dinaiki terjunam ke dalam gaung di KM70 Jalan Kuantan-Segamat hari ini, iaitu nahas kedua membabitkan bas dalam tempoh tidak sampai 24 jam di Pahang.

Menurut Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman mangsa yang terbunuh ialah seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, manakala 37 penumpang lain serta dua pemandu bas itu cedera.

Kejadian berlaku pukul 4.30 petang ketika bas dua tingkat yang membawa 38 pelancong Singapura itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Redang, Terengganu, katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

"Bas berkenaan dipandu oleh pemandu kedua yang dipercayai warga tempatan.

"Apabila sampai di tempat kejadian bas itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter," katanya.

Selepas menerima laporan, 10 buah ambulans dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),
Hospital Pekan dan Hospital Muadzam Shah serta tiga jentera bomba dari Kuantan, Pekan dan Chini digegas ke lokasi kejadian, katanya.

Beliau berkata kesemua penumpang berjaya dikeluarkan dalam tempoh dua jam dan operasi menyelamat ditamatkan pada 6.45 petang tadi.

Katanya mereka yang cedera dibawa ke HTAA.

Untuk rekod ini nahas bas yang ketiga dalam tempoh seminggu di negeri ini.

Pada 12 April lepas, tiga maut selepas bas ekspres dua tingkat dari Putrajaya ke Kota Baru, Kelantan, terbabas dan terbalik di KM11, Jalan Bentong-Raub.

Dalam kejadian 12.30 malam itu, 10 penumpang turut cedera parah.

Nahas kedua pukul 1.15 pagi semalam turut membabitkan bas ekspres yang menyebabkan tiga cedera parah dan 13 lagi cedera selepas bas yang dinaiki terbabas dan terbalik beberapa kali sebelum terjatuh dan tersangkut di dalam longkang dalam kejadian di KM116 Lebuhraya Pantai Timur.

Bas ekspres itu membawa 27 penumpang. – Bernama

Tiada ulasan: