Khamis, 10 April 2014

Artis Kongsi Rasa Sedih Kematian Jeremy Little Di Mekah


MSTAR ONLINE


jeremy little
Jeremy Little


PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Tune Studios iaitu Jeremy Little meninggal dunia di Mekah pada Selasa lalu ketika menjalani ibadah umrah.

Berita kematian penggiat filem bebas itu turut diumumkan oleh Mufti Ismail Menk dari Mekah menerusi Twitternya pada malam Rabu yang antara lain meminta orang ramai mendoakan kesejahteraan Allahyarham.

Malah  beberapa penggiat seni tempatan juga turut meluahkan rasa sedih mereka terhadap kematian Jeremy, 31, yang juga penerbit filem Kil itu.

Penyanyi Mizz Nina dalam Instagram miliknya menulis agar keluarga Allahyarham reda dengan pemergian itu.

“Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali. Semoga keluarga Allahyarham sentiasa kuat dan sabar. Ia sesuatu yang dirahmati kerana Allahyarham meninggal dunia di Mekah,” kata Mizz Nina.

Pelakon Fazura dalam Instagram miliknya pada Rabu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham selain melahirkan rasa syukur kerana arwah meninggal dunia di tempat yang menjadi idaman kebanyakan umat Islam.

“Alhamdulillahlah… Jeremy adalah seorang hamba yang terpilih untuk meninggal dunia di bumi Mekah. Al-Fatihah dan salam takziah kepada keluarganya,” tulis Fazura.

Sementara itu Yuna pula meminta peminat-peminatnya menghadiahkan Al-Fatihah kepada Allahyarham.

“Sahabat saya telah meninggal dunia di Mekah. Sila hadiahkan Al-Fatihah,” pintanya.

Penggiat seni, Jennifer Thompsom turut terkejut dengan berita kematian itu dan seperti orang lain yang turut meminta Al-Fatihah dihadiahkan.

Enam hari lalu Jeremy telah memuat naik gambar pemandangan di perkarangan Masjid Nabawi di Madinah menerusi Instagram miliknya.

Menerusi gambar itu dia menulis kapsyen: “Teknologi yang cantik dan tempat yang luar biasa. Subhanallah.”

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Jeremy atau nama sebenarnya Jeremy Ahmad Maikel antara individu yang disegani kerana pengaruhnya dalam memartabatkan muzik dan filem bebas.

Dia juga pernah menaungi beberapa kumpulan muzik antaranya SevenCollar T-Shirt, Estrella, Guba dan Lab The Rat.

Pada tahun lalu, filem Kil  berjaya  mendapat empat anugerah dalam Anugerah Skrin terbitan TV3, satu pencapaian yang membanggakan bagi mereka yang menghasilkan karya bebas.

Dalam pada itu Tune Group dalam kenyataannya pada Khamis turut melahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham.

Pengasasnya yang juga Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranum berkata, Allahyarham adalah seorang pegawai yang sangat merendah diri dan baik hati.

"Beliau hanya akan dikenang kerana kebaikannya dan tiada perkataan yang boleh menggambarkan berapa banyak orang menyenangi dan menyayanginya,” kata beliau.

Salah seorang pengasas Tune Studios iaitu Datuk Seri Tony Fernandes pula berkata, Jeremy merupakan seorang yang sangat luar biasa dan   mempunyai bakat besar.

“Jeremy pada usia mudanya memberi banyak nasihat mengenai kehidupan bagi menjadi manusia yang lebih baik,” katanya.

Menjadi amalan setiap umat Islam yang meninggal dunia di Tanah Suci Mekah akan dikebumikan di tanah perkuburan khas di negara itu.

Dalam pada itu satu majlis tahlil untuk Allahyarham akan diadakan di Masjid Asy-Syakirin, KLCC dekat sini selepas solat Maghrib pada malam Khamis (malam ini).

Tiada ulasan: