Khamis, 10 April 2014

Ambil alih syarikat konsesi: Selangor tetap tawar RM9.65 bilion

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Selangor tegas dengan pendirian bahawa nilai pengambilalihan syarikat konsesi air negeri itu tidak boleh melebihi tawaran asal RM9.65 bilion.

Ini kerana, peningkatan kos pengambilalihan akan memberi impak negatif kepada tarif air seterusnya membebankan lebih 5 juta pengguna air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri telah menerima surat daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau  dan Air berhubung rayuan yang dikemukakan dua syarikat konsesi air iaitu Puncak Niaga Sdn Bhd (Puncak Niaga) dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) supaya menilai semula tawaran pengambilalihan yang telah tamat pada 10 Mac lalu.

"Menteri Tenaga, Teknologi Hijau  dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili dalam surat bertarikh 8 April 2014 memohon Kerajaan Negeri untuk memberi pertimbangan kepada rayuan yang telah dibuat oleh Puncak Niaga dan Syabas melalui surat mereka bertarikh 7 April 2014," ujarnya.

Menurut beliau, walaupun kerajaan negeri bersedia untuk melihat semula rayuan syarikat konsesi terbabit sebelum Seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air Selangor (WSIA) 2006 dilaksanakan Kerajaan Persekutuan, kos pengambilalihan yang dicadangkan tidak boleh melebihi RM9.65 billion," ujar Abdul Khalid.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan negeri komited untuk terus bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air bagi meneruskan usaha pengambialihan industri air Selangor melalui Seksyen 114.

"Kerajaan Negeri sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air atas kerjasama yang telah mereka berikan dalam menyelesaikan isu pengambilalihan industri air seperti yang dihasratkan dalam  Akta Perkhidmatan Air Selangor 2006.

"Kerajaan Negeri akan meneruskan perbincangan berkaitan modus operandi yang perlu dilakukan bagi pelaksanaan pengambilalihan menurut Seksyen 114 akta tersebut," kenyataan beliau dipetik.

Tiada ulasan: