Nozula Mat Diah Gambar kiri: Kenderaan Nozula yang rosak teruk dalam kemalangan yang mengorbankan isteri beliau. Gambar kanan: Keadaan Nozula yang cedera akibat kemalangan.


IPOH – Adun Paloh, Datuk Paduka Nozula Mat Diah dilaporkan stabil, namun berada dalam keadaan separa sedar selepas terbabit dalam nahas yang mengorbankan isterinya di Kilometer 23, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highland, lewat petang semalam.

Nozula, 56, mengalami patah tulang rusuk kanan dan kiri serta lebam di paru-paru selepas kenderaan SUV Nissan Murano yang dinaiki bersama isteri, tiga anak serta seorang cucunya hilang kawalan sebelum terhumban ke dalam longkang di laluan bertentangan.

Beliau yang sebelum itu dirawat di Hospital Pakar KPJ, di sini dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 3 pagi tadi bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Pakar Bedah HRPB, Dr Basel Ebernesan berkata, meskipun berada dalam keadaan separa sedar, keadaan Nozula stabil, hanya membabitkan kesan ubat yang diambil.

Menurutnya, buat masa ini, Nozula diletakkan di bawah pengawasan Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan akan sebarang kemungkinan memandangkan kesan nahas berkenaan turut menyebabkan paru-paru lebam.

“Kesan kemalangan itu, beliau mengalami patah tulang rusuk  hingga enam di bahagian kanan dan tulung rusuk ketiga di bahagian kiri, selain sakit di bahagian dada, paru-parunya juga terdapat kesan lebam.

“Masih terlalu awal untuk kita jangkakan sebarang kemungkinan kerana kecederaan di paru-paru agak sukar untuk dijangka, beliau kini hanya memerlukan rehat yang cukup dan kita akan lihat perkembangan lanjut dari masa ke semasa,” katanya pada sidang media, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, wakil rakyat Kelantan itu masih belum dimaklumkan akan kematian isterinya, Datin Paduka Maziah Din, 56, yang maut ketika mendapatkan rawatan.