Sabtu, 19 April 2014

ABIM syor mahkamah syariah pertimbang pandangan bukan Islam

MALAYSIAKINI


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengesyorkan supaya mahkamah syariah mempertimbang untuk mengambil kira keterangan orang bukan Islam dalam kes-kes perebutan hak penjagaan anak di antara bekas pasangan yang salah seorangnya memeluk Islam.

Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata syor itu adalah antara perkara yang boleh dilakukan dalam kerangka besar untuk menyusun semula pentadbiran mahkamah Malaysia di antara mahkamah sivil dan syariah.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kemelut penjagaan anak di antara S Deepa dan bekas suaminya, Izwan Abdullah yang kini memeluk Islam.

Dalam kes itu mahkamah syariah memberikan hak penjagaan dua orang anak mereka kepada Izwan sementara mahkamah sivil pula memberikan hak penjagaan kepada Deepa.

"Satu tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan adalah menyusun semula pentadbiran mahkamah Malaysia di antara sivil dan syariah.

"Perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan menetapkan yang mahkamah sivil tidak boleh mencampuri keputusan mahkamah syariah," katanya.

Sementara satu lagi masalah, tambahnya, adalah apabila bukan Islam tidak boleh dibicarakan di mahkamah syariah.

Menurutnya, penyusunan semula badan kehakiman dengan berasaskan semangat Perlembagaan itu boleh dimulakan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bersama menteri undang-undang dan pakar undang-undang.

"Mereka ini mempunyai kepakaran dalam kedua-dua undang-undang ini. Mereka ini perlu sama-sama berbincang dengan Datuk Nancy Shukri," katanya.

Mengulas dua cadangan sebelum ini yang berpendapat anak bukan Islam boleh dijaga ibu atau bapa bukan Islam selagi keperluan agamanya dipenuhi,

Amidi berpendapat perkara tersebut agak rumit untuk dilaksanakan buat masa ini.

"Perkara ini kalau dilaksanakan, tak ada sesiapa yang dapat memastikan perkara ini dapat disempurnakan," katanya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik   berpendapat hak penjagaan perlu diberikan kepada penjaga yang beragama Islam dalam kes-kes demikian "demi menjaga agama anak".

"Anak yang salah satu ibu-bapanya telah memeluk Islam, dia perlu bersama-sama mana-mana ibu atau bapa yang sudah memeluk Islam.

"Ia tak timbul soal kehilangan hak (ibu atau bapa bukan Islam ke atas anak) kerana hubungan ibu atau bapa ke atas anak itu tidak pernah putus walaupun memeluk Islam.

"Islam masih lagi menganggap ibu atau bapa yang bukan Islam itu seorang ibu atau bapa (yang sah)," katanya

Tiada ulasan: