Isnin, 15 April 2013

Rafizi Saman Papagomo Untuk Matikan Budaya Fitnah


PC PKR 15 april 01

PETALING JAYA  : Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli akan mengambil tindakan undang-undang terhadap blogger pro Umno-BN, Papagomo berikutan penyiaran berita palsu bahawa Rafizi dipecat daripada Petronas kerana masalah disiplin.

Fitnah tersebut disiarkan di laman blog www.papagomo.com pada 11 April lalu.

Rafizi berkata, tindakan itu diambil bagi mematikan budaya fitnah yang kini dilihat menjadi trend di media sosial terutama berkaitan blogger pro Umno-BN.

“Itu bukan kali pertama laman Umno-BN tersebut menyiarkan berita seperti itu yang memfitnah saya tanpa ada sebarang asas. Saya fikir ia adalah berita kitar semula yang diulang lima atau enam kali.

“Alasan mengapa kita pedulikan Papagomo kerana dia mendapat perlindungan sepenuhnya sama ada dari segi kewangan atau termasuk dipercaya mendapat arahan daripada pimpinan tertinggi Umno-BN.

“Berhadapan dengan Papagomo sama maknanya berhadapan dengan Umno-BN,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Papagomo tidak melakukan pembetulan atau menarik balik berita tersebut biarpun penafian dibuat Rafizi di laman blognya selepas itu.

Rafizi menjelaskan peguamnya akan menyerahkan surat tuntutan kepada Papagomo dan beliau tidak boleh melarikan diri kerana dia sendiri mempunyai kes mahkamah bersama bekas isterinya.

Dakwanya, Papagomo kini adalah insan paling penakut di Malaysia kerana tidak berani untuk menerima surat tuntutan.

“Saya percaya Papagomo akan mencari pelbagai alasan untuk tidak menerima surat tuntutan ini termasuk menafikan Wan Muhamad Azri Wan Deris itu adalah Papagomo.

“Malah pengumuman akan bertanding di Permatang Pauh adalah helah Papagomo untuk meletakkan orang lain yang akan mengaku sebagai Papagomo,” katanya.

Rafizi menjangkakan akan berlaku pertukaran kerajaan selepas 5 Mei depan yang membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memainkan peranan lebih berkesan mengesan individu-individu yang berselindung di sebalik blog untuk menyebarkan fitnah seperti Papagomo.

Tiada ulasan: