Isnin, 15 April 2013

Empat lelaki ditahan berhubung kes tetak lelaki semasa pasang bendera

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Empat lelaki, termasuk dua beradik ditahan petang semalam bagi membantu siasatan berhubung kes tetak seorang lelaki ketika sedang memasang bendera sebuah parti politik di Kemaman, Terengganu Jumaat lepas.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata kesemua suspek berusia antara 28 dan 44 tahun itu ditahan di hadapan Balai Polis Chukai, Kemaman, Terengganu kira-kira 6.45 petang. 

"Mereka ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dan jika sabit kesalahan hukuman penjara lima tahun atau denda atau keduanya dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan," katanya pada taklimat pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Bukit Aman di sini hari ini.

Jumaat lepas, seorang lelaki berusia 40-an cedera parah di bahagian depan dan belakang badan setelah ditetak menggunakan parang dan kayu oleh lima individu ketika mangsa bersama rakannya sedang memasang bendera parti.

Difahamkan kejadian kira-kira 11 malam itu dipercayai berpunca akibat perebutan kawasan untuk memasang bendera parti. 

Ramli mengingatkan mana-mana pihak terutama penyokong parti politik agar bersikap lebih berhemah dan menghormati undang-undang semasa berkempen bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

"Bagi pemasangan bendera, ia perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan di kawasan masing-masing kerana ini juga dapat mengelakkan sebarang kejadian atau insiden seperti perbalahan dan sebagainya," katanya.

"Elakkan sebarang tindakan atau percakapan berbaur isu perkauman, ugutan bagi mengelakkan berlakunya sebarang ancaman, huru-hara, perbalahan dan insiden yang tidak diingini sehingga boleh mencemarkan reputasi sebuah negara yang berdemokrasi," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: