Selasa, 9 April 2013

Johari Abdul : Pasukan Sabotaj PR Dilatih Tentera, Polis


johari-abdul

PETALING JAYA  : PKR mendakwa terdapat beberapa kumpulan yang dilatih Kor Risik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi melakukan sabotaj dan mengganggu program-program anjuran Pakatan Rakyat (PR) secara berterusan.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata selain Kor Risik, polis turut terlibat dalam melatih kumpulan itu.

Katanya, pihaknya menerima maklumat itu beberapa hari yang lalu daripada beberapa individu yang dilatih oleh Kor Risik itu.

“Di antara maklumat yang kami terima, mereka melatih Pemuda Umno dan orang awam yang bukan Umno untuk lakukan sabotaj dan memantau kegiatan PR secara berterusan.

“Mereka ini terlibat dalam mempertahankan kuasa politik Umno-BN. Kami bimbang jika mereka dipaksa membantu Umno-BN.

“Pada mulanya, maklumat ini sukar dipercayai, tetapi disebabkan ia datang dari ahli-ahli kumpulan tertentu yang mendakwa mereka dilatih, jadi wajar untuk kami percaya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Johari menambah dua kumpulan yang didakwa dilatih oleh Kor Risik itu ialah kumpulan “Batas” dan “Warisan Malaya” yang kini sudah bersiap sedia untuk melakukan huru hara khususnya di Lembah Klang.

“Ahli kumpulan ini bertaburan diseluruh negara, mereka kini hanya menunggu arahan untuk bertindak. Namun, jumlah mereka kami tidak tahu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, wajar sekiranya Pengarah Kor Risik ATM menafikan perkara itu dan memberi jaminan bahawa pihak ATM tidak terlibat dalam mainan politik kotor pihak Umno-BN.

“Kami juga ingin tahu, adakah benar mesin cetak sudah ditempatkan di Kem Genting Kelang bagi mencetak risalah-risalah yang menfitnah PR.

“Adakah benar Pegawai Kor Risik ditugaskan membawa dan seterusnya memberi wang tunai dengan membeli calon-calon PR pada Pilihanraya Umum ke 13 nanti?,” soalnya.

Beliau berharap pilihanraya akan datang dapat dilakukan dengan adil dan peralihan kuasa dapat dilakukan dengan aman jika PR berjaya membentuk kerajaan persekutuan.

Tiada ulasan: