Ahad, 30 November 2008

Dengan harapan rakyat, kerajaan baru Pakatan Rakyat akan direalisasikan - Wan Azizah

Wan Nordin Wan Yaacob


SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan dengan harapan rakyat dan kerjasama yang tinggi di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, usaha untuk membentuk kerajaan baru di peringkat pusat akan direalisasikan juga akhirnya.

Semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Kongres KeADILan di Stadium Malawati Shah Alam ketika ini, Dr Wan Azizah menyatakan, rakyat terus berharap agar terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat yang sedang diusahakan.

Ujarnya, kerajaan Pakatan Rakyat akan terbentuk dengan 'izin Allah' dan kerajaan ini akan menjadi kerajaan yang prihatin, selamat dan bebas dari belenggu rasuah, campur tangan kehakiman dan dikenali wibawanya di seluruh dunia.

Presiden KeADILan itu juga berjanji jika terbentuknya kerajaan Pakatan Rakyat ini, semua manifesto yang diucapankan dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-12 lalu akan dilaksanakan.

Beliau menyebut, pengguna dan rakyat akan mendapat nikmat barangan pada harga yang rendah dan bersesuaian, harga perkhidmatan pada harga yang rendah dan pelbagai kebajikan lain yang kini dinafikan oleh kerajaan Umno/BN.

Beliau menyelar tindakan kerajaan BN yang tidak mahu mengubah dan membentangkan semula Belanjawan 2009 di Parlimen walaupun berlakunya kemelut ekonomi dan penurunan harga minyak.

Beliau menyebut antara kelemahan kerajaan BN hari ini ialah terjadinya aliran keluar FDI (pelaburan dari luar) yang semakin tinggi.

Selain itu Wan Azizah juga menyebut permasalah yang membelenggu dasar-dasar kerajaan yang ada hari ini antaranya, pengganguran, kelemut akhlak remaja, kemiskinan, kemelut ekonomi yang melampau dan permasalahan rakyat yang tidak pernah terlerai.

Beliau juga mengkritik sistem pendidikan hari ini yang sebenarnya perlu dikaji semula bagi meningkatkan taraf rakyat.

Dengan kemelut tersebut, selain kepinggiran warga luar bandar oleh kerajaan Umno/BN, beliau melihat bahawa rakyat kini mula mendampingi KeADILan terutamanya di Sarawak.

"Saya yakin dengan penambahan ahli KeADILan di Sarawak, pilihan raya negeri di peringkat Sarawak tidak lama lagi akan menjadi medan kepada KeADILan untuk membentuk kerajaan baru," katanya.

Justeru beliau mengharapkan usaha yang sedang dijalankan oleh Pakatan Rakyat hari ini akan membentuk satu kerajaan baru berdasarkan kepada 'Harapan Rakyat'.

Beliau turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan Pakatan Rakyat dalam membina gagasan pakatan ini sebelum dan selepas pilihan raya hingga kini ia mantap.

"Terima kasih kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan seluruh kepimpinan PAS," katanya.

"Terma kasih juga kepada Lim Kit Siang, Karpal Sing dah rakan-rakan dalam DAP kerana kerjasama selama ini hingga Pakatan mantap," katanya.

Kejayaan pada pilihan raya umum ke-12 telah menyebabkan kerjasama dalam Pakatn Rakyat semakin tinggi, an kepercayaan antara pemimpin telah menyebabkan penubuhan sekratariat kepimpinan pakatan.

"Kita telahpun berjaya merentasi idealogi parti antara kita yang sebelum ini amat berbeza semata-mata kerana rakyat, dan kerana rakyatlah kita membentuk pakatan ini," katanya.

Justeru beliau mengharapkan dengan kerjasama ini, impian membentuk kerajaan baru Pakatan Rakyat di peringkat pusat akan direalisasikan akhirnya.

Ucapan Wan Azizah bagaimanapun tidak menyentuh isu kegagalan Anwar untuk menukar kerajaan persekutuan pada 16 September lepas.

Sebaliknya, bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengkritik pelan penggantian kuasa perdana menteri kepada timbalannya yang dianggap "sebuah pentadbiran yang mirip kepada regim lama" yang menyebabkan "kemusnahan dahsyat" kebanyakan insitusi pentadbiran dalam negara.

Semalam, sewaktu merasmikan kongres Wanita dan Angkatan Muda parti itu, timbalan presiden Dr Syed Husin Ali menjangkakan isu pertukaran kerajaan yang sedang diusahakan oleh Anwar akan disentuh oleh Dr Wan Azizah dan Anwar.

Anwar akan menyampaikan ucapannya, yang dijangka menyentuh beberapa isu penting PKR dan nasional, tidak lama selepas ucapan presiden.

Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah, Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Samad; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; AJK PAS Pusat, Dr Lo Lo Mohd Gahazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa; Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; Karpal Sing (DAP) dan Teresa Kok. _

Tindakan tidak luluskan permit konsert Inul tepat - Pemuda PAS Wilayah

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Permohonan permit konsert Inul yang tidak diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merupakan suatu tindakan tepat.

Demikian kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah, Herman Samsudeen dalam satu kenyataannya kelmarin.

"Ia suatu yang mungkar dan sebagai seorang Islam ia wajib dihalang." tegas Herman.

Mengulas kenyataan Pengarah IMS yang menganjurkan konsert Inul, Nasir Abu Bakar semalam dalam The Star, Herman berkata menyifatkan ia bukan perkara kecil.

"Ia boleh mengundang kerosakan moral dan akhlak masyarakat. Kesan pada masyarakat dan negara dan perlu difikirkan bersama, jangan pandai cari untung sahaja".

Sebelum ini Ketua Pemuda Wilayah, Kamaruzzaman Mohamad memuji dan berterima kasih kepada tindakan DBKL yang menolak permohonan permit konsert Inul.

Beliau juga berharap agar badan-badan seperti DBKL dan Puspal memastikan artis-artis luar nagara yang di bawa masuk ke Malaysia mempunyai penampilan yang sopan dan baik.

Pemuda PAS Wilayah dalam kenyataan tersebut akan cuba mengatur perjumpaan dengan pihak-pihak yang terbabit bagi membincangkan masalah ini. Ini sesuai dengan prinsip Islam yang dibawa.

Pendirian Majelis Ulama' Indonesia (MUI) yang mengatakan bahawa 'gelek gerudi' Inul cenderung kepada aksi-aksi yang mengghairahkan serta penampilannya bertentangan dengan keputusan fatwa mengenai pornografi pada Julai 2002.

Pihak berkuasa Yogyakarta pula telah mengharamkan persembahannya kerana dikhuatiri akan menjatuhkan moral masyarakat yang berpendidikan dan bertamadun.

Mengenai masalah sosial di Lorong Haji taib yang dibangkitkan oleh Pengarah IMS itu, Herman menjawab, Dewan Pemuda PAS dalam usaha untuk menyelesaikan masalah itu.

"Pelbagai program telah kami jalankan. Malah kami telah berjaya masuk ke dalam rumah, berjumpa dan berbincang sendiri dengan penghuni-penghuni kawasan itu,"ujar beliau./wann _

PKR serius kembalikan hak Raja, Anwar mahu konsep diperhalusi

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) serius dalam membawa isu memperjuang dan mengembalikan kedaulatan institusi beraja di negara ini.

Bagaimanapun penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, konsep sebenar mengenaiya perlu diteliti sewajarnya agar tidak wujud sebarang ketegangan antara kuasa Eksekutif, pihak berkuasa politik dan kuasa istana.

"Negara ini telah memilih sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Maknanya raja yang tunduk kepada prinsip berperlembagaan dan undang-undang," katanya semasa sesi Ucapan Penggulungan di Kongres Nasional Tahunan PKR di sin,i hari ini.

Beliau menegaskan demikian kerana wujudnya beberapa pandangan dan kritikan berdasarkan Ucapan Dasar Presiden, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang menyatakan kesediaan parti itu mempertahankan dan mengembalikan kekebalan sistem beraja.

Dalam ucapan Azizah semalam, beliau sekadar menegaskan kesediaannya itu tanpa memberi penjelasan terperinci berhubung konsep dan perlaksanaannya.

Anwar menegaskan, PKR sentiasa bersedia untuk memulihkan sistem beraja yang sebenarnya berlandaskan Perlembagaan negara.

"Pada saya apa yang dilakukan dahulu terhadap sistem Raja Berperlembagaan adalah satu keterlanjuran.

"Apa yang dihebahkan ialah kuasa raja dikembalikan kepada rakyat, yang berlaku ialah kuasa raja pulang kepada Perdana Menteri," katanya.

Jelasnya, perkara itu perlu diperbetulkan kerana konsep yang sebenar adalah tidak mutlak.

"Konsepnya bukan kuasa mutlak seperti mana kuasa sistem kerajaan atau raja yang mutlak...tidak," katanya.

Bagaimanapun Anwar berkata, kemuliaan dan darjat Raja-raja harus dipelihara dan dikembalikan semula namun ianya terikat dengan Perlembagaan dan undang-undang yang telah ditetapkan.

Dalam ucapannya juga, beliau menjelaskan mengenai permintaan sebilangan perwakilan yang mahukan PKR meletakkan calonnya dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Anwar berkata, perkara itu harus mengikut keputusan yang dibuat oleh barisan pimpinan Pakatan Rakyat yang disertai bersama PAS dan DAP.

"Tapi bagaimanapun semangat muafakat peru ditunjukkan walau siapa jua calon yang akan diletakkan.

"Seandainya pimpinan Pakatan Rakyat memilih PAS maka kita akan tetap membantu bagi memastikan kemenangan terus diperolehi," katanya.

Anwar turut menyentuh mengenai permintaan masyarakat Sabah dan Sarawak untuk membantu memperjuangkan hak masyarakat pribumi negeri itu.

Katanya, PKR akan terus memastikan hak rakyat terus dipertahankan kerana itu merupakan agenda utama yang diperjuangkannya.

"Tiada siapa yang siuman dan waras ingin mempertahankan sistem pemerintahan yang kejam.

"Kita akan tetap berpegang teguh dengan matlamat untuk mengambil alih Putrajaya," katanya.

Sebelum itu, Wan Azizah dalam ucapan penangguhannya meminta supaya semua penyokong setia parti itu terus bersabar bagi memastikan matlamat untuk mengambil alih kerajaan menjadi kenyataan.

"Kita mampu bersabar dalam masa sepuluh tahun untuk bebaskan Anwar, mengapa kita tidak boleh terus bersabar dalam tekad kita untuk memerintah kerajaan ini?" katanya.

Beliau turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian dan peningkatan mutu perbahasan para perwakilan pada kongres kelima parti itu tahun ini.

PKR dijadual akan mengadakan kongres tahunan keenamnya pada tahun hadapan di Kuching, Sarawak.

Zaid Ibrahim mesti perjelas kehadirannya di Kongres PKR, kata Muhyiddin

BERNAMA


KOTA KINABALU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim (gambar) mesti memberi penjelasan berhubung kehadirannya pada Kongres Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Shah Alam semalam, kepada Lembaga Disiplin Umno sebelum tindakan dikenakan terhadapnya.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kehadiran Zaid pada kongres berkenaan bukanlah kali pertama beliau menghadiri perhimpunan anjuran pembangkang dan tindakan itu membuktikan ketidaksetiaannya kepada Umno.

"Kehadirannya dalam perhimpunan yang dianjurkan oleh pembangkang tidak masuk akal. Ini (kehadiran Zaid) dilihat seperti memberi sokongan moral kepada pembangkang.

"Beliau mesti memberi penjelasan kenapa beliau menghadiri kongres itu. Beliau perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, kepada pemberita semasa sesi bertemu Ketua Pengarang dan Ketua Biro media nasional serta tempatan di Sabah, di sini hari ini.

Menurut laman web Malaysian Insider, Zaid mendakwa beliau masih merupakan anggota Umno dan tidak melihat pembangkang sebagai musuh.

Zaid juga berkata kehadirannya di kongres berkenaan menunjukkan beliau masih berminat dalam politik dan tidak menjangkakan akan dipecat daripada Umno.

PDRM minta bantuan Interpol dakwaan pengganas guna alamat Malaysia

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Polis akan meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mendapatkan butiran mengenai dakwaan laporan media India bahawa sebilangan pengganas yang melakukan serangan bersenjata di Mumbai telah menggunakkan alamat di Malaysia untuk menyewa apartmen di bandar raya itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya perlu mendapatkan penjelasan dan pengesahan mengenai kesahihan dakwaan itu sebelum mengambil tindakan susulan.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan saluran Interpol untuk memeriksa kesahihan fakta itu. Masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa kerana ia hanya dakwaan oleh pihak akhbar di India.

"Sebaik sahaja kita memperoleh butiran penuh mengenai perkara itu, maka kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya (jika dakwaan itu benar). Sehingga itu, kami tidak akan campur tangan dalam hal itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Musa berkata, setakat ini pihak berkuasa India belum menyediakan butiran penuh mengenai dakwaan itu kepada pihak berkuasa di sini.

Mengenai kad kredit Malaysia yang ditemui di tempat serangan di Mumbai, Musa berkata: "Seperti saya nyatakan sebelum ini, kita tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan."

"Kami menunggu maklum balas dari polis India dan bagaimanapun kami akan memberi kerjasama penuh jika diperlukan," katanya sambil menjelaskan sebarang maklumat awal perlu disahkan kebenarannya terlebih dahulu.

Dalam kejadian serangan oleh sekumpulan militan bersenjata lengkap di 10 kawasan strategik di bandaraya Mumbai sejak Rabu lepas, sekurangkurangnya 195 orang maut dan 295 orang cedera.

Dua beradik mati tertimbus dalam insidem tanah runtuh di Ulu Yam

BERNAMA


HULU SELANGOR: Dua beradik mati tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah yang menimpa sebuah banglo setingkat di Lot 110, Jalan Belida 1, Ulu Yam Perdana, di sini awal hari ini.

Dalam kejadian pada 5.30 pagi itu, Noratirah Roslan, 16, dan adiknya Nurul Intan Sarina, 9, sedang tidur dalam bilik mereka, manakala ibu bapa serta tiga adik beradik yang lain tidur di ruang tamu apabila tebing di belakang rumah berkenaan runtuh, lalu menghempap rumah itu yang dibina di atas bukit.

Ibu kedua-dua beradik itu, Azizan Madon, 42, berkata beliau bersama suaminya, Roslan Mohd Jalil, 49, dan tiga lagi anak mereka, Norlisa Azira, 8, Anis Afina, 6, dan Norman Afiq, 3, sempat menyelamatkan diri melalui bumbung rumah semasa kejadian.

Kedua-dua mayat dijumpai tengah hari ini oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, SMART, Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam.

Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar mayat Noratirah pada 12.55 tengah hari. Setakat ini, mayat Nurul Intan Sarina masih belum dikeluarkan.

Ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, Azizan berkata kejadian itu berlaku dalam sekelip mata.

"Saya hanya dengar satu bunyi dentuman kuat di bahagian belakang rumah, sebelum batu dan tanah masuk memusnahkan rumah kami.

"Saya selamatkan diri melalui bumbung rumah dan lari minta bantuan pihak pengurusan resort. Suami dan tiga anak saya yang lain juga berjaya selamatkan diri ikut bumbung," katanya sambil menangis teresakesak.

Beliau berkata mereka sekeluarga mendiami banglo itu sejak tujuh tahun lepas dan ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di kawasan tersebut.

Sementara itu, salah seorang pekerja resort, Norafifah Hanim Abd Kadir berkata beliau terkejut apabila melihat Azizan berlari sambil meminta bantuan.

"Dia hanya berpakaian tidur dan tidak memakai selipar. Saya memang kenal keluarga mangsa, suaminya bekerja sebagai juruterbang AirAsia," katanya.

Mangsa Banjir Meningkat Kepada 1,743 orang

Editor Buletin Online
[KEMASKINI]


Kuala Terengganu – Mangsa banjir di negeri Terengganu meningkat menjadi tertinggi antara negeri pantai Timur dengan jumlah terkini yang dipindahkan seramai 1,743 orang, manakala Kelantan dan Pahang masing-masing seramai 794 dan 25 orang.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri pada jam 8.30 malam (29hb) berkata seramai 954 orang telah dipindahkan di daerah Besut, 376 di Hulu Terengganu, 325 di Setiu dan 88 di daerah Marang.

“Kami sedang memerhati perkembangan di daerah-daerah lain memandangkan hujan lebat yang turun tidak berhenti berterusan sejak kelmarin,” katanya yang mengesahkan 10 buah pusat pemindahan banjir telah dibuka pada jam 5 petang Sabtu.

Beberapa batang jalan turut ditutp kepada semua kenderaan termasuk jalan Ajil ke Jerangau, jalan Kuala Berang ke Sungai Tong dan jalan Langkap ke Sungai Tong serta jalan Jetih ke Keruak.

BERITA TERDAHULU

Banjir - 295 Orang Dipindahkan Dari Empat Daerah

Kuala Terengganu – Seramai 295 orang mangsa banjir telah dipindahkan dari empat daerah yang terlibat dengan banjir iaitu Setiu, Marang, Besut dan Hulu Terengganu.

Seramai 178 orang mangsa ialah dari daerah Setiu, 88 orang dari Marang, 19 orang dari Kampung Buluh di Besut dan 10 orang dari Kampung Bukit Diman, Hulu Terengganu.

Bernama memetik jurucakap bilik gerakan banjir Pejabat Daerah Marang berkata setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 53 mangsa ditempatkan di Sekolah Rendah Kebangsaan Marang manakala 35 penduduk lagi di Sekolah Kebangsaan Kubu.

Kejadian tanah runtuh juga dilapor berlaku di Jalan Batangan ke Gong Beris pada pukul 11.15 pagi ini, katanya.

SEJARAH DAN PUNCA POLITIK WANG

Ruhanie Ahmad


Terminologi politik wang mula popular pada awal 1980-an. Pada ketika itu, pelbagai kaedah dan cara dilakukan oleh segolongan warga UMNO yang berhasrat memenangi sesuatu jawatan di peringkat cawangan, bahagian atau majlis tertinggi.

Amalan politik wang pada era itu tidak membabitkan pemberian wang kepada para perwakilan secara hakiki. Wang ringgit hanya digunakan secara indirect oleh seseorang calon yang mengamalkan rasuah politik untuk mendorong para perwakilan memberikan undi kepada dirinya.

Contohnya, para perwakilan yang menerima amalan rasuah politik akan dibawa melancong oleh seseorang calon yang telah memenangi jawatan idamannya. Destinasi popularnya adalah Jakarta, Medan atau Bangkok.

Selain itu, para perwakilan sedemikian juga akan dibelanja berhibur di kelab-kelab dangdut, diberikan hadiah serta cenderamata dalam bentuk kain songket, jam tangan berlambangkan UMNO, dairi atau pun lain-lainnya.

Ini bermakna, tidak ada transaksi wang ringgit secara direct daripada akaun pemberi atau wakilnya kepada pihak penerima. Juga tiada pemberian wang ringgit di dalam envelop secara direct di malam-malam terakhir menjelang pemilihan jawatan di semua peringkat.

Kian Meluas

Fenomena di atas, lama kelamaan jadi semakin meluas, canggih dan sukar untuk dikesan. Antara destinasi pelancongan juga mula termasuk ke Tanah Suci untuk ibadat umrah.

Saya dapati rasuah politik atau politik wang mempunyai banyak puncanya. Ia memerlukan pakar sosiologi, anthropologi, saikologi, saintis politik, pakar jenayah, para peguam serta budayawan untuk menghalusinya secara tuntas dan rinci.

Ini kerana amalan rasuah politik ini membabitkan mentaliti serta perilaku manusia – sama ada pihak yang memberi rasuah atau pihak yang merelakan diri mereka untuk dirasuah dalam sesuatu proses pemilihan kepimpinan UMNO.

Cara-cara rasuah ini dilakukan juga jadi kian canggih selaras dengan perkembangan teknologi komunikasi, khususnya SMS dan teknologi transaksi wang secara on-line.

Sebab itulah penyakit ini memerlukan satu pendekatan yang bersepadu, menyeluruh dan berkesan untuk membanterasnya. Ia bukan sahaja memerlukan reformasi pengurusan UMNO di semua peringkat. Ia juga memerlukan reformasi minda, pengukuhan jatidiri serta peningkatan keinsafan manusia-manusia politik itu kepada matlamat teras serta cita-cita perjuangan parti.

Idealisme Luntur

Hasil daripada kajian ringkas yang saya jalankan, antara punca utama politik wang adalah seperti berikut:

Satu: Idealisme perjuangan UMNO yang berlandaskan huruf alif, ba, ta - singkatan kepada agama, bangsa, tanahair – kurang dihayati atau sengaja tidak mahu dihayati oleh sesetengah warga dan pemimpin UMNO. Ini mungkin berpunca daripada kesejahteraan, kemewahan dan kebahagiaan hidup di era Malaysia merdeka.

Dua: Ketiadaan key performance index (KPI) untuk menilai serta meningkatkan kualiti kepimpinan UMNO di semua peringkat.

Tiga: Seluruh jawatan utama dalam hiraki UMNO disifatkan oleh sesetengah warga UMNO sebagai pasport kepada pencapaian pangkat dan darjat dalam kehidupan mereka. Bukannya disifatkan sebagai amanah untuk memperjuangkan nasib serta kehidupan rakyat jelata seluruhnya.

Tiga: UMNO belum mempunyai strategi serta program yang konsisten, terancang, menyeluruh dan berkesan untuk menyemarakkan ideaslisme perjuangan parti di semua peringkat.

Sistem Kuno

Empat: Sistem pemilihan kepimpinan UMNO yang ada sekarang adalah kuno dan tidak lagi sesuai dengan karenah jumlah ahli UMNO yang kian meningkat.

Lima: Ketiadaan prosidur jelas dan tetap dalam pengurusan hal ehwal siasah dan karenah ahli-ahli UMNO di semua peringkat. Perlembagaan parti mengenai disiplin dan tataetika seolah-olah kurang dihormati oleh sesetengah anggota parti.

Enam: Ketiadaan jentera untuk memantau perlanggaran disiplin dan tataetika perjuangan yang menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

Tujuh: Ketiadaan mekanisme serta kaedah khusus untuk melaporkan kesongsangan perilaku ahli. Ini menyebabkan sesuatu laporan mengenai salahlaku dan perlanggaran disiplin dilakukan secara adhok sehingga menyebabkan wujudnya kes-kes diketepikan kerana kekurangan bukti dan wujudnya elemen-elemen fitnah terhadap sesuatu pihak yang sebenarnya tidak bersalah.

Lapan: Mentaliti bahawa UMNO akan terus hidup, berkembang, kukuh, mantap dan berpengaruh sepanjang zaman – dulu, kini dan selamanya. Ini menyebabkan komitmen sesetengah ahli UMNO memelihara kesejahteraan serta memperkasakan perjuangan parti jadi sambil lewa dan luntur.

Tiada R & D

Sembilan: Wujudnya persepsi bahawa UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO. Ini menyebabkan sesetengah ahli UMNO gagal membezakan peranan kerajaan dan parti terhadap masyarakat.

Sepuluh: Terakhir dan bukannya kurang pentingnya, ketiadaan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan (research and development) untuk memantau perkembangan UMNO, mengenalpasti masalah pengurusan UMNO, mengukur komitmen kepimpinan UMNO serta membuat perakuan-perakuan untuk sentiasa memperkasakan UMNO.

Demikianlah sebahagian daripada punca rasuah dalam UMNO. Saya yakin para pakar yang saya sebut di perenggan terawal dalam tulisan ini mampu menghalusinya untuk memberikan perspektif yang lebih berwibawa dan jelas.

Posting saya di blog ini pada Sabtu, 22 November 2008, adalah diantara gagasan dangkal saya untuk mengatasi serta manbanteras gejala rasuah politik ini.

Tonik setan

FUAD HADINATA YAACOB, SHAMRAN SARAHAN dan FAUZI RAHIM MUSTAFA


KUALA LUMPUR: Harganya murah iaitu hanya RM4 sebotol, tetapi kesannya sungguh luar biasa. Ini menjadikan arak ini ‘minuman rasmi’ mat rempit dan bohsia sebelum beraksi di jalan raya dan melepaskan nafsu di ranjang.

Arak berjenama Thai Song yang diseludup dari negara jiran ini kini dijual secara berleluasa, termasuk di kedai runcit yang boleh dibeli remaja dengan bebas.

Minuman yang dianggap ‘tonik setan’ ini dianggap mampu membuatkan mereka khayal segera bagaikan steroid untuk meningkatkan keberanian melakukan aksi maut ketika menunggang motosikal.

Lebih memalukan, ada juga remaja yang terjebak dalam gejala seks bebas percaya arak itu mampu menambah daya seksual mereka.

Thai Song dikatakan lebih ‘power’ berbanding arak lain berikutan mengandungi alkohol tinggi, mencecah 30 peratus. Bagi mendapatkan kesan lebih hebat, ada mat rempit mencampurkan arak itu dengan sejenis air berkarbonat serta pil ecstasy supaya lebih ‘kick’ (cepat dan lebih khayal).

“Sejam selepas itu, mula rasa khayal dan wujud perasaan berani. Apabila lupa diri, waktu itu ada yang berlumba, tidak kurang juga ambil kesempatan melakukan seks kerana lebih bertenaga dan menyeronokkan,” kata mat rempit yang hanya mahu dikenali sebagai Zan berusia 19 tahun.

Dia yang terbabit dalam aktiviti itu sejak berusia 15 tahun berkata, kesan khayal berlarutan antara tiga ke empat jam bergantung pada sebanyak mana seseorang itu meminumnya.

“Pernah kawan saya minum banyak botol, dia tidur dari jam 2 pagi hingga 5 petang keesokan. Apabila khayal, kita tak tahu apa yang kita buat, sebab itu kebanyakan mat rempit menjadikan tempat tersorok seperti bangunan lama atau hutan, malah kubur, sebagai tempat lepak untuk minum dan buat ‘projek’ (seks bebas).

“Apabila sudah pengsan, ia mengambil masa lama untuk sedar dan pulih,” katanya ketika ditemui di Bangsar, baru-baru ini.

Menurutnya, Thai Song dipilih kerana harganya murah dan senang dibeli, selain menjanjikan rasa khayal sama seperti minuman lain.

“Selain Thai Song, ada arak jenis lain seperti ‘kapak’ dan ‘99’ agak mahal dijual antara RM8 dan RM12 sebotol. Biasanya, kami memilih Thai Song kerana kebanyakan mat rempit dan bohsia tidak berduit dan masih bersekolah,” katanya yang sering berkongsi wang bersama rakan untuk membeli Thai Song.

Penganggur, Roy, 22, berkata dia mula minum Thai Song sejak dua tahun lalu kerana menganggap minuman itu lagi ‘power’ berbanding bir yang sekadar mengandungi lima hingga lapan peratus alkohol.

Katanya, bir yang mudah dibeli di mana-mana premis jualan runcit memerlukan belanja besar kerana ia perlu dibeli dalam jumlah banyak, antara empat hingga lapan tin bagi seorang dengan harga sekitar RM7 hingga RM9 setin.

“Kalau minum Thai Song, minum dua botol dah cukup boleh mabuk. Ia tidak sama macam bir yang membuat saya cepat mengantuk dan mudah hilang kawalan diri.

“Jika minum Thai Song, kepala ‘berdenyut’ dan membuatkan saya segar. Saya jadi lebih berani ketika beraksi di jalan raya, buat apa saja saya tidak takut,” katanya yang berasal dari Shah Alam.

Menurut Roy, dia dan rakan mengambil minuman berkenaan biasanya sebelum keluar merayau-rayau dengan motosikal mereka, sama ada sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Katanya, untuk tujuan itu, mereka sekadar mengambil dua hingga tiga botol minuman itu kerana jika diambil berlebihan mereka boleh lupa diri dan mabuk keterlaluan.

“Bahaya jika minum (Thai Song) dalam kuantiti banyak. Ia boleh menyebabkan saya hilang kawalan dan tidak sedar apa yang dilakukan.

“Cukup sekadar mengambil dua botol, itupun sudah ‘kick’. Bukan saja hilangkan rasa segan dan malu, malah ada kala saya dapat lakukan aksi luar biasa, seperti aksi ‘pacak’ dan memecut laju dengan lebih berani berbanding dalam keadaan normal,” katanya.

Pekerja kilang, Adi, 21, dari Kuala Lumpur, berkata meminum arak murah itu bagaikan perkara wajib kepada dia dan rakan jika hendak berlumba dengan geng motosikal daripada kumpulan mat rempit lain.

Katanya, selain mendapat keseronokan dan mabuk selepas meminum arak itu, mereka menjadi agresif dan ia dapat menghilangkan rasa gementar sebelum memulakan perlumbaan.

“Walaupun berlumba sekadar enam hingga 10 tiang (lampu), dalam keadaan normal saya akan berasa gementar. Selepas minum (arak), semua perasaan itu hilang.

“Ketika menarik pedal minyak motosikal, saya bertukar ghairah dan bersemangat. Ia sangat menyeronokkan,” katanya.

Menurut Adi, minum arak itu juga membuatkan dia kelihatan lebih hebat dan digeruni di kalangan mat rempit lain.

Katanya, ini kerana mat rempit yang tidak mengambil arak atau ganja dipandang rendah.

“Memalukan jika turun atas jalan kalau ‘kepala kosong’. Sudah jadi ‘trend’ di kalangan kami buat begini. Tidak kira sama ada ambil Thai Song atau ganja.

“Namun, bagi saya lebih selamat ambil arak. Jika dicekup polis dan pihak berkuasa pun, kesalahan minum arak tidak seperti ambil ganja yang boleh menyebabkan kami dihantar ke pusat serenti,” katanya.

Bagi pemuda berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Ali, dia ketagih Thai Song sejak tamat sekolah tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, dia sangat terseksa ketika mula mencuba minuman itu kerana rasanya pahit dan membuatkan dia mabuk sehingga pengsan.

“Arak ini memang kuat, pertama kali mencuba sukar mengawal diri. Perlu kerap minum supaya lebih biasa. Tidak seperti minum bir, mabuknya boleh dikawal kerana ‘kick’ lambat (terasa).

“Berbanding Thai Song, minum sebotol saja, kalau tidak biasa sudah boleh dapat kesannya. Paling penting, harganya murah dan tidak perlu berbelanja banyak untuk mabuk,” katanya yang kini menetap dengan keluarga di Petaling Jaya.

Selain berseronok, Ali berkata, dia juga meminumnya untuk mendapatkan keberanian ketika melakukan kegiatan mencuri motosikal bersama rakan.

“Susah bergerak (mencuri motosikal) dengan rakan kalau kepala tidak ‘berisi’. Jika dalam keadaan mabuk, saya lebih berani dan mudah jalankan tugas,” katanya.

Amaran buat wakil rakyat S'gor cetus 'hura-hara'

Abdul Rahim Sabri


Seorang wakil rakyat Pakatan Rakyat di Selangor diberikan amaran kerana membesar-besar isu di negeri itu sehingga boleh menimbulkan "huru-hara" dalam pentadbiran kerajaan campuran itu.

Perwakilan daripada Johor, Lau Teck Lai, bagaimanapun tidak menjelaskan isu dan siapa yang beliau maksudkan.

Berucap di sesi perbahasan kongres nasional kelima PKR di Shah Alam hari ini, Lau berkata individu itu pernah menyebut "saya tidak pandai berpolitik tetapi pandai bekerja."

Beliau menggesa tokoh politik itu memberikan kerjasama kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim agar persefahaman dalam Pakatan Rakyat dapat dijaga.

"Saya nak beritahu kepada Yang Berhormat yang saya tidak hormati itu, sila patuhi, sila kerjasama dengan YAB (menteri besar). Jangan kita bermain-main politik dengan YAB," katanya.

Hampir 2,000 perwakilan menyertai perbahasan di Stadium Malawati pada sebelah petang selepas ucapan dasar presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sebelah pagi.

Lau antara lebih 10 perwakilan yang turut memanaskan dewan tersebut di hari pertama kongres PKR.

Beliau juga menggesa pemimpin PKR agar memberi perhatian kepada individu-indivisu yang terlibat menghidupkan Gerakan Reformasi sejak 10 tahun lalu sehingga tertubuhnya parti tersebut.

"Selepas 10 tahun, aktivis reformasi tidak diambil peduli nasib mereka.

"Apa yang mereka korbankan nampaknya parti sudah lupakan. Jadi harapan saya parti memberi perhatian dan langkah sewajarnya," tambahnya.

Perwakilan-perwakilan Sabah dan Sarawak pula menggesa pemimpin parti itu memberi perhatian yang lebih kepada negeri-negeri tersebut terutama sekali dalam proses pengkaderan ahli-ahli parti itu di peringkat cawangan dan bahagian.

Apatah lagi Sarawak bakal menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka pertengahan tahun hadapan atau selewat-lewatnya 2010.

Perwakilan Sarawak, Wan Zainal Wan Yasin turut mengumumkan pihaknya mempunyai "kejutan" terutama di kawasan Miri dan Kuching. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan "kejutan" tersebut.

Perwakilan-perwakilan Perak, Kelantan dan Melaka pula menyarankan PKR memperkasakan 'Program Seharum' untuk persiapan untuk melatih ahli-ahli PKR di peringkat cawangan dan bahagian.

Program Seharum di peringkat akar umbi membolehkan dasar-dasar parti diteruskan, kata Taha Ahmad dari Melaka.

Perwakilan Perak, Anuar Zakaria meminta PKR memokuskan program penambahan keahlian dan mengemaskini rekod keahlian.

Manakala Felicia Lim, perwakilan Wanita PKR, berkata peranan wanita harus digemblengkan untuk menghadapai pilihanraya umum ke-13 dan menyarankan PKR merencana agenda memantapkan parti terutama di Sabah dan Sarawak.

Empat letupan gegar lokasi penunjuk perasaan

BERNAMA


BANGKOK: Sekurang-kurangnya empat letupan dan beberapa siri tembakan menggegarkan dua kawasan yang diduduki oleh penunjuk perasaan anti kerajaan dan sebuah stesen televisyen satelit di ibu negara ini awal hari ini, mencederakan kira-kira 50 orang.

Di Rumah Kerajaan, sebutir bom tangan dilontarkan sejurus selepas tengah malam dan jatuh berhampiran pentas utama tempat para pemimpin Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) memberi ucapan.

Sekurang-kurangnya tiga orang cedera parah, kata seorang pegawai polis kepada pemberita di hospital Ramathibody di sini.

PAD telahpun menawan Rumah Kerajaan, yang pernah menjadi Pejabat Perdana Menteri pada 26 Ogos, dan kini menguasai Lapangan Terbang Suvarnabhumi serta Don Muang sejak Isnin lepas.

Terdapat beberapa siri serangan di kawasan itu sejak beberapa minggu lepas, mengakibatkan dua orang terbunuh.

Dua letupan turut berlaku di stesen ASTV milik pemimpin PAD Sondhi Limthongkul pada masa tentera pro kerajaan meningkatkan usaha untuk menutup stesen berkenaan yang menyiarkan liputan 24 jam mengenai aktiviti pergerakan itu di tiga kemudahan kerajaan yang diduduki.

Kira-kira 4 pagi, sebutir bom meledak berhampiran sekatan daripada tayar yang diletakkan oleh para pengawal PAD di Lapangan Terbang Don Muang.

Meskipun telah mengisytiharkan darurat di kedua-dua lapangan terbang berkenaan, kerajaan berhempas pulas untuk menguatkuasakan perintah itu memandangkan tentera dan polis tidak bekerjasama.

Presiden Airports of Thailand (AOT) Serirat Prasutanon mengumumkan bahawa keduadua lapangan terbang itu akan terus ditutup sehingga Selasa. Penerbangan terhad kini beroperasi di Lapangan Terbang Utapao dekat Pattaya.

Ketegangan terus memuncak di ibu negara memandangkan kumpulan pro kerajaan Barisan Demokrasi Bersatu Menentang Diktator (UDD) akan menghimpunkan penyokongnya lewat hari ini di Sanam Luang.

Perdana Menteri Somchai Wongsawat, yang bimbangkan keselamatan dirinya, telah melarikan diri ke bandar raya utara Chiang Mai.

Jangkaan umum tubuh kerajaan meleset, Anwar belum bersedia

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Jangkaan bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan berita baik mengenai rancangan menubuhkan kerajaan baru nyata meleset apabila perkara itu masih sulit untuk didedahkan.

Anwar berkata, beliau sedar dengan tanda tanya selepas sasaran 16 September yang dicanangkan untuk 'menawan' Putrajaya dan mengambil alih kerajaan Persekutuan tidak menjadi kenyataan.

"Semua bertanya malah rakan kita juga minta penjelasan mengenainya.

"Jawapan saya mengenai ke Putrajaya (ambil alih kerajaan) ialah saya tak boleh nak menyebut lebih daripada itu (dedahkan)," katanya semasa menyampaikan pidato umum sempena Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, semalam.

Rata-rata orang ramai yang hadir mengharapkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu mengumumkan kejutan mengenai sasaran pembentukan kerajaan baru seperti yang diuar-uarkan.

Tambahan pula sebelum itu, Naib Presiden PKR, Azmin Ali dalam ucapannya memberitahu bahawa semua yang hadir perlu menantikan pengumuman penting yang akan dibuat oleh Anwar.

Bagaimanapun jelas Anwar, untuk mendedahkan nama-nama ahli Parlimen yang bersetuju melompat parti menyertai Pakatan Rakyat bukanlah sesuatu yang mudah kerana kononnya ahli Parlimen berkenaan masih belum bersedia.

"Ini (tubuh kerajaan) tidak mudah untuk disebutkan kerana ada yang tidak dapat saya sebutkan apabila orang yang bersetuju masih menunggu waktu untuk menyeberang yang syaratnya tidak didedahkan sehingga mereka bersedia.

Bagaimanapun, Anwar terus memberi harapan dan keyakinan kepada penyokongnya bahawa matlamat untuk menubuhkan kerajaan menerusi kerjasama antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

"16 September sudah jelas walaupun ada yang katakan ini bukan sesuatu yang baru.

"Ini bukan soal baru atau lama, kita berikan satu target untuk membina cukup kekuatan untuk membuat perubahan," katanya

Menurut beliau lagi, kerisauan mengenai kebenaran untuk mencapai sasaran menubuhkan kerajaan bukan sahaja timbul dikalangan rakyat malah turut dirasainya sendiri memandangkan sikap menyembunyi ahli-ahli Parlimen yang bersedia menyertai pakatan pembangkang itu.

"Kita memang dapat sokongan dan orang yang mendukung itu kadangkala tidak menunjukkan sikap sama sekali.

"Kadang-kadang saya pun pening sebab dia dukung, beri tandatangan...sokongan sebulat suara dan padu tapi esok bila dia balik ke Kuching dia serang kita," katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata soal untuk memuaskan hati semua pihak termasuk pimpinan Barisan Nasional (BN) dan pemerhati politik mengenai tarikh sebenar peralihan kuasa hanya akan memudaratkan parti.

"Soal ambil alih seperti mana pilihanraya, kita boleh tahu tarikhnya, tapi soal perubahan kuasa untuk sebut mengenai setiap langkah bagi puaskan hati mereka...parah jawabnya," katanya.

Baginya, buat masa ini sasaran terbaru untuk meluaskan pengaruh dan sokongan rakyat adalah di Sarawak dengan mengatur beberapa langkah drastik untuk mencapainya.

"Sementara itu kita gegarkan Sarawak...Sarawak barisan hadapan kita sekarang," katanya.

Anwar berkata bermula bulan hadapan setiap ahli Parlimen PKR akan bergilir-gilir ke Sarawak bagi menemui rakyat disana yang inginkan perubahan arus politik semasa.

"Tanpa terkecuali, semuanya mesti ikut jadual dan disiplin parti," katanya.

Banjir di Kelantan, Terengganu semakin buruk, tidak banyak berubah di Pahang

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk petang ini apabila semakin ramai yang terpaksa dipindahkan manakala di Pahang keadaan tidak banyak berubah.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat mendadak kepada 1,743 orang petang ini berbanding 295 orang tengah hari tadi manakala di Kelantan 794 orang, meningkat daripada 109 orang pagi tadi, dan di Pahang 25 orang.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Negeri Terengganu berkata daripada jumlah itu, 954 mangsa di Besut, Hulu Terengganu (376), Setiu (325) dan Marang (88).

"Kita sedang membuat pemantauan di daerah-daerah lain berikutan hujan lebat berterusan di negeri ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap itu berkata 10 pusat pemindahan telah dibuka di Besut sehingga pukul 5 petang ini manakala empat di Hulu Terengganu, lima di Setiu dan dua di Marang.

Jurucakap itu berkata paras air sungai yang melepasi paras bahaya di negeri itu sekarang ialah di Kampung La dan Jambatan Jertih di Besut, yang masing-masing mencatatkan 22.36 meter (paras bahaya 19.20 meter) dan 9.03 meter (paras bahaya 8.90 meter) serta Sungai Marang 14.26 meter (paras bahaya 14 meter).

Beliau berkata jalan-jalan yang ditutup setakat ini ialah jalan Kuala Ping ke Kuala Berang di Km28, jalan Kuala BerangSungai Tong, jalan Kuala Berang-Kampung Kepah, yang kesemuanya ditenggelami air sedalam antara 0.5 dan dua meter.

Di Kelantan pula, jurucakap Pusat Kawalan Operasi Bencana Banjir (PKOB) Kelantan berkata kesemua 794 mangsa banjir yang dipindahkan adalah di Jeli.

"Jajahan-jajahan lain belum lagi kita terima maklumat terkini mengenai mangsa banjir dipindahkan, hanya Jeli sahaja yang berlaku perpindahan mangsa banjir," katanya, sambil menambah antara jalan yang ditutup kini adalah laluan utama Kota Baharu-Kuala Krai dan Jeli-Dabong.

Dua laluan utama menuju ke jajahan Jeli dan Kuala Krai juga ditutup berikutan air mula naik setinggi satu meter.

Tinjauan Bernama pula mendapati laluan masuk ke bandar Kuala Krai ditutup untuk kenderaan ringan berikutan air Sungai Durian melimpah ke atas jalan setinggi satu meter.

Sementara itu, Ketua Jajahan Jeli Serpudin Mohamad berkata hujan lebat yang melanda jajahan itu sejak 2 pagi tadi, menyebabkan paras air Sungai Pergau dan Sungai Ayer Lanas meningkat mendadak dan penduduk di lima kampung terpaksa berpindah ke empat pusat pemindahan.

Katanya laluan utama untuk masuk ke jajahan Jeli yang ditutup akibat dinaiki air setinggi satu meter adalah Jalan Kuala Balah-Jeli dan Jalan Gua Musang-Jeli.

Di Pahang pula, keadaan banjir di daerah Temerloh dan Cameron Highlands tidak banyak berubah apabila 25 mangsa masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir berbanding 29 orang pagi tadi selepas empat sekeluarga dari Kampung Kuang, Lanchang dekat Temerloh dibenarkan pulang berikutan keadaan air di kawasan rumah mereka telah surut.

Jurucakap bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata seramai 12 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kampung Kuang, Lanchang manakala 13 lagi dari Lembah Bertam, Cameron Highlands ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet.

Sementara itu, dua jalan di daerah Bera iaitu Jalan Kampung Orang Asli Chuat dan Jalan Kampung Orang Asli Ibam yang ditenggelami air setinggi satu meter masih ditutup untuk kenderaan ringan.

Muhyiddin: Tukar sistem atasi politik wang

BERNAMA


PETALING JAYA: Dalam usaha membanteras politik wang dalam Umno, naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mencadangkan pemilihan pemimpin parti dibuka kepada kira-kira 100,000 pemimpin cawangan yang menghadiri persidangan bahagian masing-masing, dan bukannya terhad kepada 2,500 perwakilan pada perhimpunan agung parti itu.

"Saya mempunyai beberapa cadangan untuk mengatasi salah laku yang memberi pandangan negatif terhadap Umno. Satu daripadanya ialah membenarkan perwakilan mesyuarat bahagian untuk memilih pemimpin. Pada masa ini nasib pemimpin parti terletak dalam tangan 2,500 perwakilan yang dipilih ke perhimpunan agung.

"Walaupun ini memerlukan pindaaan perlembagaan Umno, saya rasa ia satu cara kita boleh menangani politik wang dalam parti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel pengurusan dan pentadbiran Pemuda Umno Pagoh di sini.

Beliau berkata sebagai contoh, bahagian Pagoh, yang diketuainya, mempunyai 444 pemimpin peringkat akar umbi yang mengundi untuk memilih pemimpin peringkat nasional, berbanding lima menggunakan sistem yang ada sekarang.

"Dengan cara ini lebih ramai pemimpin Umno di peringkat akar umbi akan terlibat dalam pemilihan pemimpin peringkat nasional. Semua bahagian boleh mengadakan mesyuarat pada hari yang sama untuk memilih pemimpin parti dan pengiraan undi boleh dibuat di peringkat bahagian dan dikumpul di ibu pejabat. Pengumuman pemenang boleh dibuat hari berikutnya.

"Idea ini boleh diperkemas. Ini hanya satu idea yang saya lontarkan. Ia adalah untuk kebaikan parti keseluruhannya. Kita perlu memperbaiki pandangan masyarakat terhadap Umno dan dengan ini, kita boleh bergerak ke hadapan," kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau berkata walaupun idea itu tidak boleh dilaksana pada perhimpunan Agung Umno Mac depan, ia boleh diguna untuk jangka panjang sebagai usaha bagi mengatasi politik wang dalam parti.

Calon jawatan timbalan presiden Umno itu berkata kertas kerja cadangan bagi menambahbaik sistem pemilihan parti itu akan dibuat untuk diserah kepada kepimpinan tertinggi Umno tidak lama lagi.

"Saya juga akan mencadangkan kita hapuskan sistem kuota. Sistem itu memerlukan melobi dan secara langsung menyumbang kepada politik wang," katanya dan menjelaskan bahawa parti politik terbesar itu mungkin perlu menubuhkan jawatankuasa pemilihan pada masa depan jika cadangan itu dilaksana.

Sementara itu, Muhyiddin berkata Lembaga Disiplin Umno yang menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam politik wang perlu menambah jumlah pegawai penyiasat bagi memastikan tidakan yang lebih cepat dan berkesan.

"Saya setuju tindakan perlu dibuat dengan cepat tetapi jumlah pegawai dalam panel penyiasat perlu ditambah. Tanpa tenaga kerja, bagaimana mereka nak siasat lebih 1,000 aduan dalam masa yang singkat.

"Tambahan pula, sisatan memerlukan masa dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Mereka perlu melengkapkan siasatan dengan teliti. Bagi memastikan siasatan yang adil dan lengkap, mereka memerlukan masa, tetapi jika kita tambah jumlah pegawai penyiasat, mereka boleh mengambil masa dan memberi tumpuan yang lebih," katanya.

Ditanya mengenai kenyataan setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bahawa daripada lebih 1,000 aduan mengenai politik wang di dalam parti, 75 peratus adalah dakwaan palsu, beliau berkata perkara itu perlu dijelaskan oleh Lembaga Disiplin Umno.

"Saya tidak tahu mengenai perkara itu tetapi ia terpulang kepada lembaga untuk memutuskan. Mereka perlu menyiasat dan kemudian membuat keputusan," katanya.

PKR sedia 'tempur' Sarawak, Anwar terus beri harapan tubuh kerajaan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memulakan langkah drastik 'menggempur' Sarawak bagi memastikan pengaruhnya dapat menembusi negeri berkenaan bemula bulan hadapan.

Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rintihan dan kemahuan rakyat di Sarawak yang sangat inginkan perubahan sentiasa didengari dan akan diberi perhatian yang serius.

"Mudah-mudahan kita dapat menjana kekuatan yang lebih dan seruan rakan di Sarawak juga kita dengar dan kita sudah putuskan mulai bulan hadapan ahli-ahli Parlimen dan pimpinan PKR untuk 'bertempur' di Sarawak," katanya semasa menyampaikan Ucapan Khas Penasihat PKR di Kongres Tahunan Nasional ke-5 PKR di sini hari ini.

Anwar juga melahirkan keyakinan Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, PAS dan DAP akan terus bekerjasama bagi memastikan perubahan besar akan berlaku di Sarawak malah terus memberi harapan untuk membentuk kerajaan.

"Kita percaya pimpinan PAS dan DAP akan sama-sama membantu kita supaya kita saksikan perubahan besar di Sarawak dan mudah-mudahan ada juga perubahan besar lainnya yang akan berlaku di negara kita," katanya sambil disambut tepukan gemuruh penyokongnya.

Kongres berkenaan dihadiri oleh kira-kira tujuh ribu penyokong parti itu yang terdiri datipada 1927 perwakilan, 1200 pemerhati dan hampir empat ribu pemerhati terbuka yang datang dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata harapan seluruh rakyat masih tinggi untuk melihat perubahan dalam kepimpinan politik negara.

"Saya percaya harapan kita masih tinggi kerani kita janjikan perubahan walaupun perubahan ini masih belum capai sepenuhnya.

"Harus ingat, perubahan ini bukan untuk politik peribadi tetapi untuk tegakkan satu sistem yang bebas," katanya.

Tegas beliau walaupun perubahan kuasa masih belum berlaku pada 16 September namun semangat perjuangan yang diperjuangkan rakyat tidak akan tergugat walaupun menghadapi cabaran dari pelbagai pihak.

"Saya percaya walaupun dengan sepak terajang mereka tak mungkin akan gugat semangat kejituan dan kepahlawanan rakyat jelata," katanya.

Tambah beliau lagi, sentimen perkauman yang dimainkan Umno dan Barisan Nasional (BN) seolah-olah 'jaguh Melayu tulen' yang mempertahankan hak kaum Melayu.

"Padahal mereka sendiri yang melakukan pembohongan...merekalah pemimpin Melayu yang pecah amanah," katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat berkata pakatan itu tidak akan sekali-kali mempertikaikan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kita janjikan suara rakyat...suara keramat. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan mengenai soal kedudukan bahasa Melayu, agama Islam, kuasa Raja-raja serta hak keistimewaan orang Melayu tidak akan kita pertikaikan," katanya.

Isu MPSP: Guan Eng mahu Gerakan kemuka bukti

UTUSAN ONLINE


PULAU PINANG – Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini meminta Gerakan Pulau Pinang mengemukakan bukti bahawa pembinaan ibu pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dengan kos RM84 juta di Bandar Perda diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sila tunjukkan bukti bahawa Anwar mengarahkan mereka supaya membina bangunan MPSP di Perda, bukan Ampang Jajar,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Semalam, Dr. Teng berkata, Anwar telah menasihati supaya bangunan ibu pejabat itu dibina di Bandar Perda berbanding cadangan asal pembinaannya iaitu di Ampang Jajar atas tanah MPSP.

Guan Eng berkata, kenyataan Dr. Teng menunjukkan bekas pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalu Lintas negeri itu tidak menafikan bahawa rizab dana MPSP berjumlah RM225 juta telah hilang daripada tabung majlis berkenaan dan wang itu salur keluar menerusi cara yang tidak sesuai.

Tan Yee Kew kata ramai orang samakan Anwar dengan Obama?

Wan Nordin Wan Yaacob


SHAH ALAM - Bekas Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Tan Yee Kew dalam ucapan aluannya sempena Kongres KeADILan hari ini menyatakan ramai orang menyamakan kegigihan Dato' Seri Anwar Ibrahim sama seperti Presiden baru Amerika Syarikat, Barrack Obama.

Ujarnya, kegigihan Anwar dalam bekerja bagi memastikan isu rakyat terus diutarakan dan nasib rakyat terus terbela sama seperti juga kegigihan Obama dalam berkempen pada pilihan raya presiden Amerika beberapa minggu lalu.

Anwar yang menggalas tugas sebagai Ketua Umum KeADILan tidak pernah jemu untuk berusaha memastikan parti dapat berjalan dengan baik dan kebajikan rakyat terbela, ujar Tan yang juga Ketua Penerangan KeADILan Selangor.

Beliau memuji kegigihan kepimpinan Pakatan Rakyat dan KeADILan yang tidak mengira waktu berusaha untuk rakyat setiap hari dari pagi hingga ke larut malam.

Beliau tidak melihat situasi ini dalam kerajaan BN semasa menyertai pentadbiran kerajaan Umno/BN sebelum ini.

Apa yang pasti katanya, apa sahaja yang pernah dikemukakan oleh rakyat sebelum ini kurang mendapat perhatian oleh pemimpin Umno/BN.

Sebaliknya pemimpin KeADILan berusaha bersungguh-sungguh memastikan kebajikan rakyat akan terbela, ujarnya yang baru sahaja menyertai KeADILan selepas keluar dari MCA.

Antara Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir dalam upacara perasmina kongres di Stadium Malawati Shah Alam hari ini ialah, Naib Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Samad; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; AJK PAS Pusat, Dr Lo Lo Mohd Gahazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa; Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; Karpal Sing (DAP) dan Teresa Kok./wann _

Sabtu, 29 November 2008

Komando bebaskan Hotel Taj, kekacauan di Mumbai berakhir

AP
[DIKEMAS KINI]


MUMBAI: Pasukan komando India berjaya menumpaskan saki baki pengganas yang menawan hotel Taj Mahal Palace, selepas berlaku pertempuran sengit dengan anggota kumpulan militan itu.

Pertempuran yang berlanjutan dengan anggota militan itu berakhir kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini selepas baki tiga lagi pengganas terbunuh di dalam hotel itu lebih kurang 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan.

Semalam dua lagi terbunuh di dalam hotel itu. Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.

"Kami tidak boleh mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam dan penembak tepat kami melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.

"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada media selepas operasi itu hari ini.

"Terdapat laporan dalam media dan laporan daripada mereka yang tinggal di hotel itu, bahawa bukan hanya seorang (pengganas) tetapi ada lima pengganas. Kami telah katakan sekurang-kurangnya ada tiga pengganas di dalam. Kami dapat mayat tiga pengganas hari ini," katanya.

Beliau berkata komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.

Pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.

Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir pertempuran, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya. Hotel itu mengalami kerosakan teruk.BERNAMA

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Polis melaporkan serangan di Hotel Taj Mahal kini berakhir, hampir mencapai matlamat untuk tiga hari pertempuran di sini di mana lebih daripada 150 orang telah terbunuh.

Ketua Polis Mumbai Hasan Ghafoor berkata kepada AP: "Operasi di Hotel Taj Mahal kini berakhir. Dua pengganas terakhir yang bersembunyi di sana telah terbunuh.''

Ini telah menamatkan satu daripada serangan yang paling mengakibatkan kebinasaan di India. Keganasan itu bermula Rabu lalu apabila penyerang-penyerang menyerbu 10 buah tempat merentasi Mumbai, ibu negara komersial India.

Pihak berkuasa yang terlibat mencari siapa angkara sebalik serangan ini, mendakwa ia dilakukan oleh kumpulan yang tidak dikenali sebelum ini yang mengelarkan diri sebagai Deccan Mujahideen.

Lima belas pelancong adalah antara yang terbunuh.

Tebusan Singapura terbunuh dalam serangan di Mumbai

BERNAMA


SINGAPURA: Seorang warga Singapura yang dijadikan tebusan oleh pengganas sewaktu serangan di Mumbai Rabu lepas telah terbunuh, menurut Kementerian Luar Singapura malam tadi. Kementerian itu berkata kematian wanita berbangsa Cina itu, Lo Hoei Yen, berusia 28 tahun, disahkan selepas suaminya yang pergi ke Mumbai telah mengecam mayatnya pada pukul 9.35 malam tadi waktu Singapura.

Kematian wanita itu merupakan satu tragesi kepada semua warga Singapura, kata kementerian itu, sambil menambah bahawa kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Para pegawai kementerian itu di Mumbai kini bersama suami dan ibu saudara mangsa.

Wanita itu berada di Hotel Trident-Oberoi apabila kumpulan pengganas yang bersenjata api melancarkan siri serangan terancang di beberapa tempat umum dan hotel di Mumbai malam Rabu lepas yang menyebabkan lebih 100 orang termasuk warga asing terbunuh. Mangsa, seorang peguam dan berada di Mumbai kerana urusan kerja, dijumpai mati oleh pihak berkuasa India di tingkat 19 hotel itu.

Kementerian itu sedang membantu keluarga berkenaan untuk urusan membawa pulang mayat mangsa.

Ia juga berkata tiada lagi warga Singapura yang terkandas di manamana hotel di wilayah kewangan India itu.

Syor program tahfiz dianjur pada warga emas

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU - Tindakan mereka yang mahu mengubah kandungan al-Quran tetap akan gagal walaupun ia dilakukan dengan pelbagai cara bagi mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Demit Ustaz Haji Muhammad Mustafa berkata, perkara itu berlaku memandangkan al-Quran itu sendiri berada dalam kawalan dan jagaan Allah.

Menurutnya, tindakan golongan kufar khususnya dengan cara ingin memasukkan ayat-ayat lain ke dalam al-Quran tidak pernah berjaya sejak dahulu hingga kini kerana kitab suci itu sendiri berada dalam jagaan Allah.

"Sudah banyak kali pihak terbabit berusaha untuk mengkhianati al-Quran namun tidak pernah berjaya," katanya ketika merasmikan majlis program Pra-Tahfiz Musim Cuti Sekolah di Madinatul Ilmi Pondok Tok Kenali, Kubang Kerian dekat sini baru-baru ini.

"Sehubungan itu, saya menyeru umat Islam seluruhnya, marilah bersama dengan al-Quran dan jangan bersama dengan pihak yang melawan al-Quran, iaitu syaitan," ujarnya lagi.

Tegasnya, syaitan bukan saja hantu, bahkan mereka terdiri daripada spesis jin dan manusia yang jauh daripada rahmat Allah kerana mereka sendiri bermusuhan dengan kandungan al-Quran.

Katanya, semoga mereka yang mendaftar sebagai pelajar tahfiz al-Quran sekali gus tindakan itu dianggap mendaftarkan diri sebagai 'ahli Allah'.

"Apabila Allah memberi jaminan menjaga al-Quran, maka sekali gus Allah S.W.T memberi jaminan kepada orang yang menjaga kitab suci itu sendiri, selaras dengan firman-Nya yang bermaksud "Bahawa 'ahli Al-Quran' itu adalah sebagai 'ahli Allah," ujarnya lagi.

Pada masa sama beliau turut menyarankan program tahfiz dianjur pada golongan dewasa dan tidak hanya tertumpu pada golongan muda semata-mata, apa lagi golongan berkenaan begitu hampir dengan usia kematian.

Katanya, ada baiknya program tahfiz al-Quran dianjurkan untuk warga emas agar mereka sentiasa mengingati saat kematian di penghujung usia mereka. - mns_

Hormati antara sesama parti komponen Pakatan Rakyat - MB Selangor

Wan Nordin Wan Yaacob


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Kahlid Ibrahim menyeru seluruh kepimpinan dan ahli dalam parti komponen Pakatan Rakyat agar menghormati antara satu sama lain.

"Saya harap seluruh ahli dan kepimpinan KeADILan menghormati antara satu sama lain, samada dengan PAS dan DAP atau dalaman parti, begitu juga dengan DAP dan PAS yang juga perlu menghormati dan terus bekerjasama dengan parti dalam Pakatan Rakyat," ujarnya.

Beliau memlihat mutakhir ini media arus perdana semakin hari semakin kuat menjalankan propaganda memecahbelahkan antara PAS, DAP dan KeADILan.

Setiap hari ada sahaja laporan yang dibuat hanya untuk melaga-lagakan antara kepimpinan DAP-PAS dan KeADILan, ujarnya dalam ucapan aluan sebagai tuan rumah di Perasmian Kongres KeADILan di Stadium Malawati Shah Alam hari ini.

Pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir ialah, Niab Presiden PAS, Dato' Paduka Husam Musa; Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Kahlid Samad; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; AJK PAS Pusat, Dr Lo Lo Mohd Gahazali yang juga ahli Parlimen Titiwangsa; Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad; Karpal Sing (DAP) dan Teresa Kok.

Berucap lanjut beliau menggesa ahli dan rakyat agar tidak termakan dengan propaganda tersebut yang semata-mata dijalankan Umno/BN untuk menggugat kestabilan kerjasama yang kuat dalam Pakatan Rakyat.

Selain itu beliau menyebut bahawa kerajaan negeri di kalangan pakatan kini telah menjalankan pelbagai usaha dan program bagi kesejahteraan rakyat.

Ujarnya, ini selaras dengan gagasan yang membentuk kerjasama dalam Pakatan Rakyat antara DAP, PAS dan KeADILan yang mahu menjayakan negara berkebajikan.

Beliau juga menyatakan iltizam kerajaan Pakatan Rakyat dalam membanteras rasuah kronisme dan nepotisme./wann_

PAS kutuk serangan di Mumbai - Mahfuz

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyatakan PAS mengutuk serangan yang berlaku ke atas tempat-tempat awam di Mumbai 27 November lalu.

Seramai 125 orang terbunuh, manakala 287 lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan ke atas dua buah hotel mewah, hospital, stesen kereta api dan beberapa kawasan tumpuan pelancongan di bandar raya ini sejak malam semalam.

Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena menyatakan, PAS bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga mangsa serangan dan mengucapkan takziah kepada Kerajaan India.

PAS tidak menyokong sebarang aktiviti keganasan terutama sekali kepada orang awam, namun mengingatkan kuasa-kuasa besar agar tidak menjadikan tindak-tanduk mereka menyemarakkan aktiviti keganasan.

"Kita tidak menyokong perbuatan pengganas, namun perlu diingatkan kuasa-kuasabesar seperti Amerika Syarikat lah yang melakukan tindakn mendiskrimiasi hingga wujudnya kelompok pengganas ini yang akhirnya membahayakan nyawa awam," ujarnya.

PAS meminta masyarakat dunia terutamanya kuasa-kuasa besar seperti Amerika menghentikan tindakan berunsur diskriminasi terhadap negara kecil yang menyebabkan berlakunya keganasan.

Dalam kejadian ngeri di Mumbai 27 November, pihak berkuasa India masih belum jelas siapakah dalang di sebalik kejadian itu, namun Perdana Menteri, Manmohan Singh menyalahkan kumpulan pejuang Islam di kawasan sempadan sebagai suspek utama.

Kumpulan kecil militan lengkap bersenjata melepaskan tembakan rambang dan melontar bom dalam serangan ke atas kedua-dua hotel mewah tersebut, sebuah hospital dan sebuah stesen kereta api sejak lewat malam tadi serta sebuah kafe popular yang kerap dikunjungi pelancong asing.

Anggota keselamatan dan kumpulan bersenjata berbalas tembakan ketika komando dan polis menggempur salah sebuah hotel berkenaan bagi membebaskan tebusan.

Bagaimanapun keadaan kini agak terkawal, namun berpuluh-puluh pelancong asing dan tempatan masih terperangkap di dalam Hotel Taj Mahal berusia 105 tahun dan sebuah lagi hotel lima bintang, Hotel Trident Oberoi di pusat bandar Mumbai, yang menjadi sasaran serangan.

"Ramai yang terperangkap di dalam dua hotel berkenaan dan kami mendapat laporan berlakunya tembak-menembak terutama di Hotel Taj Mahal," ujar seorang pegawai bertugas di bilik kawalan polis Mumbai.

Komando dan pasukan polis bersenjata masih lagi berkawal di dalam dan di sekitar hotel itu setelah kumpulan ini menjadikan warga tempatan dan asing sebagai tebusan.

Menurut polis, mereka telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan menahan sembilan suspek, manakala 12 anggota polis terbunuh termasuk ketua skuad antikeganasan, Hemant Karkare dalam kejadian tembak-menembak di Hotel Taj Mahal.

Manmohan Singh mengecam kejadian itu yang disifatkan sebagai terburuk pada tahun ini dan menyalahkan kumpulan pengganas yang mempunyai pertalian dengan kumpulan dari luar.

"Serangan ini dilakukan oleh mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pengganas asing dan ia dilakukan dengan perancangan yang teliti.

"Ia dilakukan bagi mencetuskan suasana tidak selamat di dalam negara dengan memilih kawasan-kawasan yang berprofil tinggi sebagai sasaran," kata Manmohan Singh melalui siaran televisyen semalam.

Sementara itu, hari ini dilaporkan pasukan komando India membunuh sembilan anggota militan ketika menggempur kumpulan bersenjata bagi menamatkan drama serangan nekad oleh kumpulan tersebut ke atas beberapa logistik di bandar raya ini malam kelmarin, yang telah mengorbankan 143 orang dan hampir 300 yang lain cedera.

Lima warga Israel yang ditahan di Pusat Pertubuhan Yahudi terbunuh manakala dua anggota komando maut apabila pasukan elit India itu menggempur pusat tersebut bagi menyelamatkan tebusan rakyat Israel di sana./wann _

AirAsia catat kerugian operasi RM75.933 juta dalam suku ketiga

BERNAMA


KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd mencatatkan kerugian operasi RM75.933 juta dalam suku ketiga berakhir 30 Sept, 2008 daripada keuntungan operasi RM47.763 juta dalam tempoh yang sama tahun kepas.

Kerugian itu adalah lebih rendah dari yang dijangkakan meski pun persekitaran operasi yang amat sukar, termasuklah harga bahan api yang tinggi, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Tony Fernandes dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Syarikat penerbangan kos rendah itu bagaimana pun mencatatkan perolehan sebanyak RM658.473 juta daripada RM461.585 juta sebelumnya.

"Daya tahan dan kekukuhan AirAsia menghasilkan pertumbuhan perolehan 43 peratus dipacu oleh permintaan penumpang yang kukuh dan pendapatan sampingan," katanya.

Bilangan penumpang tumbuh 24 peratus kepada 3.0 juta, kata Tony.

"Kami menjangkakan untuk membawa sejumlah 20 juta penumpang merentasi Kumpulan AirAsia dalam 2008," katanya.

Faktor muatan bagi tempoh dirujuk adalah 75.4 peratus, di mana ia adalah seperti yang dijangkakan memandangkan syarikat membuat penambahan kapasiti yang ketara 33 peratus dan pengenalan lima laluan baru semasa tempoh itu, katanya.

Airasia menyatakan hasil atau perolehan bagi setiap kilometer tempat duduk tersedia (ASK) meningkat sebanyak 12 peratus, dipacu oleh tambang purata yang lebih tinggi 12 peratus dan sumbangan yang kukuh dari pendapatan sampingan.

Pendapatan sampingan bagi AirAsia terus menunjukkan prestasi cemerlang dengan pertumbuhan 88 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas dan perbelanjaan sampingan untuk setiap penumpang meningkat 52 peratus kepada RM23.1 setiap penumpang.

Pendapatan sampingan sekarang ini merupakan 10.6 peratus daripada jumlah perolehan AirAsia.

"Ini bakal menjadi pemacu bagi margin keuntungan yang kukuh menuju masa depan," kata Tony.

Menurut Tony, kos unit kecuali bahan api, meningkat 10 peratus yang mengagumkan yang timbul dari keuntungan produktiviti dan meningkatnya bilangan pesawat Airbus A320 menyertai kumpulan pesawat.

Katanya operasi Thailand menempuhi tempoh yang mencabar disebabkan pertambahan gangguan politik dalam negara dan penutupan sementara lapangan terbang di Phuket, Krabi, Hadyaai dan Narathiwat.

Sungguh pun keadaan operasi yang menyulitkan ini, operasi Thailand berupaya mencapai faktor muatan 79 peratus yang mengagumkan dan peningkatan 29 peratus dalam tambang purata.

Operasi Thailand juga berupaya mengurangkan kerugian sebanyak 44 peratus berbanding suku sebelumnya yang terdekat walau pun harga bahan api yang jauh lebih tinggi.

Operasi Indonesia sementara itu, meningkat secara ketara dengan hasil yang lebih tinggi sebanyak 61 peratus berbanding tahun lepas dan faktor muatan sebanyak 78 peratus.

"Langkah penyusunan semula laluan ditambah dengan persekitaran persaingan yang lebih baik membolehkan operasi Indonesia mengurangkan kerugian sebanyak 88 peratus berbanding suku sebelumnya yang terdekat," jelasnya.

Berkenaan tinjauan masa depan, Tony berkata suku keempat yang akan datang adalah suku yang paling kukuh buat AirAsia secara tradisinya dan melihat permintaan kukuh yang berterusan bagi perkhidmatannya.

Katanya para pengarah menjangkakan bahawa jika tiada sebarang aral, prestasi kumpulan adalah lebih memuaskan bagi suku keempat.

Mawi: Mana bukti saya ahli PKR?

MSTAR ONLINE


SHAH ALAM: "Mana ada? Mana bukti?," begitulah reaksi spontan dari penyanyi popular Mawi ketika diasak dengan pertanyaan benarkah beliau adalah ahli Parti keadilan Rakyat (PKR), seperti yang heboh diperkatakan di sebuah laman web kini.

"Masa bila...?. Lagipun tahun 1999, saya belumpun mendaftar untuk mengundi di SPR. Jadi macam mana saya hendak sertai parti itu?," jelas Mawi menafikan berita yang tersebar di laman web tersebut.

Mawi, yang ditemui di saringan Separuh Akhir Muzik-muzik kategori etnik kreatif di Studio Sri pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam sebentar tadi, terus-terusan menafikan penglibatan beliau dengan parti pembangkang itu.

Kenyataan Mawi ini sekaligus menyangkal dakwaan bahawa beliau pernah bergiat bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya umum ke-10 dan menyertai parti itu di bahagian Senai.

Dakwaan ini dibuat oleh Timbalan Ketua AMK Johor Zabidie Abas di kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam hari ini.

Zabidie, yang juga pembahas pertama mendakwa bintang paling popular Akademi Fantasia itu pernah menampal poster bersama jentera parti di Kulai.

Katanya lagi, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, pernah terlibat membantu PKR dalam pilihanraya umum 1999.

Zabidie sewaktu membahaskan ucapan dasar ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin yang bertemakan 'Memimpin Harapan Rakyat' dilaporkan berkata:

"Kita hendak imbas kembali nostalgia beliau (Mawi) panjat pokok kelapa menampal poster bersama kita."

"Saya dari Kulai, Mawi dari Kulai. Tuan-tuan tahu, dulu beliau bersama-sama saya tampal poster. Dia jentera bawah saya," katanya di hadapan 600 perwakilan pergerakan itu dari seluruh negara.

Namun, menurut Zabidie lagi, nama Mawi tidak ada dalam senarai keahlian yang dikeluarkan PKR tahun ini.

Difahamkan, nama Mawi disebut oleh Zabidiesebagai satu saranan agar PKR mengambil sikap mendekati golongan seniman, termasuk penyanyi yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.

Lewat petang tadi, Bernama melaporkan bahawa Zabidie pernah cuba memujuk jiran sekampungnya penyanyi Mawi menganggotai PKR tetapi Mawi enggan.

Menurutnya, Mawi memberi alasan ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya selain memilih untuk bersikap neutral dalam politik.

Syed Husin tegur AMK yang kurang bersedia terima ahli baru

BERNAMA


SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Dr Syed Husin Ali hari ini menegur segelintir anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di peringkat bahagian dan cawangan yang lebih mengutamakan kepentingan diri dan kurang bersedia menerima ahli baru.

Beliau berkata acapkali kumpulan ini tidak suka melihat kemunculan pimpinan baru yang lebih baik dan mereka tidak begitu bersedia menerima baik kemasukan ahli baru yang ramai kerana bimbang kedudukan mereka terancam.

"Pimpinan mereka sering lemah, kurang inisiatif dan tidak begitu cekap bekerja secara berpasukan. Kadang-kadang ia didominasi oleh seorang atau sekumpulan kecil yang membuat keputusan sendiri tanpa perbincangan," katanya ketika merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat di sini hari ini.

"Maafkan saya kerana berterus terang sedikit menyatakan pandangan serta perhatian saya bahawa beberapa kelemahan dan kecenderungan negatif dalam parti kadangkadang lebih ketara lagi di kalangan Angkatan Muda dan kurang sedikit di kalangan Wanita. Jangan marah Angkatan Muda Keadilan, ini boleh dibaiki lagi," katanya.Dr Syed Husin berharap pimpinan pusat Wanita Keadilan dan AMK mengukuhkan tradisi membuat keputusan dan menjalankan aktiviti secara kolektif.

"Memang diakui seorang atau sekumpulan pemimpin yang aktif dan dominan boleh menjadi aset yang bernilai dalam parti, akan tetapi proses membuat keputusan di kalangan pemimpin perlulah dilakukan secara perundingan dan berasaskan cara yang demokratik," katanya.

Dr Syed Husin mahu Wanita Keadilan dan AMK merapati dan menarik semua golongan dalam masyarakat daripada petani dan buruh membawa kepada profesional serta intelek bahkan juga korporat.

Lebih ramai bukan Melayu atau bukan Islam perlu ditarik menjadi anggota dan pemimpin Wanita dan AMK di mana seboleh-bolehnya komposisi mereka harus mencerminkan nisbah bilangan penduduk.

Pada sidang akhbar kemudian, Dr Syed Husin berkata dalam beberapa bulan lepas PKR menerima hampir 100,000 ahli baru.

Timbalan Menteri Pelajaran meninggal dunia

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail meninggal dunia secara mengejut di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands dekat sini kira-kira 6.30 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Difahamkan Razali, 59, yang juga anggota Parlimen Kuala Terengganu rebah ketika bermain badminton di institut itu.

Alimuddin berkata, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Hospital Bentong, Pahang.

Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan lima anak.

Sementara itu, seorang kakitangan institut itu berkata ketika kejadian, Razali sedang bermain badminton di situ untuk beriadah dengan beberapa kakitangan institut berkenaan.

"Dia tidak ada acara spesifik di situ tetapi dia datang untuk berekreasi," katanya. Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika dihubungi pula berkata kematian Razali merupakan satu kehilangan besar kepada kementeriannya.

"Terlalu sedih...Ia satu kehilangan besar," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Hishammuddin berkata beliau sedang menguruskan jenazah Allahyarham di tempat kejadian.

Ketua Polis Thailand ditukar, petanda ketegangan memuncak

BERNAMA


BANGKOK: Kerajaan Thailand telah menukar Ketua Polis Negara Phatcharawat Wongsuwan kepada jawatan tidak aktif sekaligus menandakan ketegangan yang semakin memuncak antara kerajaan dan pasukan keselamatan.

Dia akan digantikan oleh Polis Jeneral Prateep Tanprasert yang diberi tanggungjawab mengalihkan ribuan penunjuk perasaan antikerajaan yang menduduki lapangan terbang Suvarnabhumi dan Don Muang sejak Isnin lalu.

Semalam, Perdana Menteri Somchai Wongsawat telah mengisytiharkan perintah daurat di kawasan sekitar kedua-dua lapangan terbang terbabit tetapi perintah itu tidak dapat dikuatkuasakan tanpa kerjasama polis dan tentera.

Somchai masih berada di bandar raya utara Chiang Mai sejak kembali dari mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di Lima, Peru, dua hari lepas, dengan spekulasi bahawa pihak tentera bercadang merampas kuasa.

Di Lapangan Terbangan Utapao, dekat Pattaya, kirakira 140km dari sini, wujud keadaan kelam kabut selepas ratusan penumpang yang terkandas tiba.

Jabatan Penerbangan Awam Thailand telah membenarkan penggunaan lapangan terbang tersebut milik Tentera Laut Diraja Thailand tetapi menghadkan jumlah penerbangan kerana kekurangan kemudahan.

Penumpang terpaksa mengambil masa hampir tiga jam perjalanan dari Bangkok ke Lapangan Terbang Utapo dan dua jam lagi untuk proses mendaftar masuk dengan hanya sebilangan kecil kakitangan mengendalikan proses penerbangan.

Antara syarikat penerbangan yang melakukan pendaratan hari ini ialah Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Kuala Lumpur, Eva Air dari Taiwan.

Esok, MAS akan mengadakan dua penerbangan ke Utapo ketika syarikat penerbangan asing cuba mendapatkan hak terhad untuk mendarat dan berlepas bagi membawa ribuan penumpang asing yang terkandas.

Jumaat, 28 November 2008

Serangan Mumbai: Pertempuran berterusan di pusat Yahudi dan Hotel Taj Mahal

mstar online
[DIKEMAS KINI]


MUMBAI: Komando hari ini berjaya mengawal Hotel Oberoi-Trident, tetapi perjuangan menentang militan yang masih bersembunyi di hotel-hotel mewah lain dan pusat Yahudi yang masih mempunyai kira-kira enam tebusan tetap diteruskan.

"Hotel Oberoi dan Trident kini dalam kawalan," kata ketua Pegawai Keselamatan Kebangsaan elit, JK Dutt kepada wartawan di sini.

"Oberoi-Trident telah dipindahkan, kita telah membunuh dua pengganas," katanya.

Reuters melaporkan, India sekali lagi menuding jari ke arah "elemen" hubungan Pakistan berhubung serangan yang dilancarkan di pusat kewangan bandaraya itu yang kini dilaporkan telah mebunuh sekurang-kurangnya 121 orang.

"Bukti awal, bukti prima facie menunjukkan elemen-elemen hubungan dengan Pakistan terlibat," kata Menteri Luar, Pranab Mukherjee semasa sidang media di New Delhi.

Beliau menggesa Pakistan supaya menutup semua infrastruktur yang menyokong militan.

Bagaimanapun, rakan sejawatnya di Pakistan, Shah Mehmood Qureshi, meminta supaya India tidak bermain politik tentang serangan di Mumbai.

"Jangan bawa politik dalam isu ini. Ini adalah isu kolektif. Kita menghadapi musuh yang biasa dan kita sepatutnya sama-sama menewaskan musuh ini," katanya kepada wartawan semasa melawat bandar India, Ajmer.

Penganjur: Protes gejala 'mak nyah' dulu, baru konsert Inul

Oleh ZIEMAN dan SITI AZIRA ABD AZIZ


PETALING JAYA: "Bukan saja terkilan tetapi saya rasa teraniaya...," luah penganjur konsert Inul Daratista, IMS Sdn Bhd, Nasir Abu Bakar apabila diberitahu pembatalan konsert Inul di saat-saat akhir.

Pihak penganjur diberikan tiga sebab kenapa konsert Inul, yang dijadualkan berlangsung malam esok, 29 November, di Stadium Putra, Bukit Jalil terpaksa dibatalkan.

Selain dari tidak mendapat permit dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), konsert itu mendapat bantahan dari Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan pihak polis enggan memberi kelulusan atas sebab keselamatan.

Difahamkan, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan memorandum mengandungi bantahan tersebut kepada Ketua Pengarah Jakim, Dato' Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz baru-baru ini.

Ketika mengesahkan berita pembatalan konsert Inul sebentar tadi, Nasir, yang juga Pengarah Urusan IMS Sdn Bhd, berkata beliau cukup kecewa dengan pembatalan konsert itu buat ketiga kalinya.

Kali terakhir ialah pada bulan Julai dan Ogos tahun ini di mana penyanyi dangdut yang terkenal dengan 'goyang gerudinya' itu sepatutnya beraksi di Stadium Putra, Bukit Jalil dan di Stadium Johor Bahru.

"Memang saya kecewa tetapi saya tidak marah. Saya tidak menanggung apa-apa kerugian kerana belum mengeluarkan apa-apa belanja lagi kerana menunggu kelulusan permit dari Dewan Bandaraya," jelas Nasir yang pernah mengalami kerugian hampir RM500, 000 ketika dua konsert terdahulu Inul dibatalkan.

Tapi kata Nasir, "Nak protes pun biar bertempatlah. Saya tidak pernah paksa orang datang. Kalau fikir konsert itu tidak baik, tidak payahlah datang."

"Saya rasa teraniaya. Saya buat konsert nak cari makan. Benda ini kecil saja, hanya konsert tiga jam. Sepatutnya ada isu lain yang lebih besar, yang perlu mereka protes dulu seperti gejala mak nyah di Lorong Haji Taib, Chow Kit Road, dan pengkid. Isu-isu yang macam ni lah patut mereka protes dulu?

"Saya hendak tanya, adakah mereka ini pergi Lorong Haji Taib untuk membendung perkara mungkar seperti ini? Tak ada pun...?

"Saya tidak paksa mereka datang pun. Saya sasarkan konsert ini untuk orang Indonesia kerana ramai dikalangan mereka yang datang konsert Inul dulu," jelas Nasir lagi.

Lagipun, menurut Nasir, pihaknya mendapat jawapan yang permit mereka tidak diluluskan oleh DBKL pada 24 November.

"Ikutkan saya boleh buat rayuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur tapi saya tidak cukup masa untuk berbuat demikian kerana tarikh konsert semakin hampir," jelasnya lagi.

Ironinya, kata Nasir, "Ini bukan kali pertama saya menganjurkan konsert Inul di sini. Saya pernah membawa Inul ke sini untuk konsert di Stadium Merdeka pada tahun 2005. Masa tu boleh pula?

"Lagipun, saya tidak nampak konsert Inul boleh mencetuskan huru-hara sehingga menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan membatalkan konsert."

Ketika ditanya bagaimana reaksi Inul apabila diberitahu tentang pembatalan konsert di Malaysia buat kali ketiganya?

"Ini baru cadangan saja dan kami pun memaklumkan demikian pada Inul. Bila dibatalkan sekali lagi, kami memberitahu Inul dan dia akur dengan keputusan itu," jelas Nasir.

'Kedegilan' pihak IMS untuk meneruskan usaha mengadakan konsert Inul di sini seolah-olah menggalakkan satu aktiviti yang mengundang keruntuhan moral?

"Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak pernah memaksa orang datang...."

Demi peminat setia Inul yang 'kempunan' melihat aksi penyanyi dangdut kesayangan mereka, Nasir berjanji akan berusaha membawa juga Inul mengadakan konsert di Malaysia.

"Saya tidak putus asa. Saya akan buat rayuan lagi..."

Ketua AMK: Pemimpin PKR gagal tunai janji manifesto perlu diganti

BERNAMA


SHAH ALAM: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memastikan pemimpin parti itu di negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat yang gagal melaksanakan janji dalam manifesto pilihan raya diganti dengan pemimpin baru.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata antara janji yang dibuat itu ialah membersihkan kerajaan daripada pengaruh dan amalan rasuah.

"Sekiranya ada pemimpin kerajaan negeri Pakatan Rakyat teragak-agak, gentar untuk membuat perubahan, takut kepada risiko, kita tidak ada pilihan selain menuntut perubahan dalaman untuk menggantikan mereka dengan pemimpin yang benar-benar mampu memimpin dan membuat keputusan," katanya dalam ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan AMK di sini hari ini.

Shamsul Iskandar juga mendesak pucuk pimpinan PKR memberikan peluang yang adil kepada pergerakan itu bagi memegang jawatan dalam kerajaan Pakatan Rakyat dan dalam parti.

"Jangan berselindung di sebalik alasan mudah iaitu tiada pengalaman. Apakah selepas tsunami politik kita (AMK) terus dipinggirkan?," katanya. Shamsul Iskandar mencadangkan agar kerajaan persekutuan mengadakan kongres ekonomi kebangsaan bagi membincangkan strategi baru untuk menghadapi krisis ekonomi dunia.

Katanya kongres itu perlulah melibatkan semua pihak tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.

"Kerajaan perlu bersikap terbuka dan bersedia mengaplikasikan pendekatan baru bagi meminimumkan impak kegawatan ekonomi," katanya.

Sudahkah Kelantan bersedia menerima pengunduran Nik Aziz?

BERNAMA


KOTA BAHARU: Pengumuman mengenai pengunduran Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dari arena politik bukanlah yang pertama dibuat olehnya kerana sebelum ini sudah beberapa kali beliau melahirkan hasrat itu atas faktor kesihatan.

Berikutan itu, timbul isu di kalangan pemimpin Pas yang mula mempersoalkan selama mana Mursyidul Am Pas itu akan bertahan dan siapa akan menjadi penggantinya.

"Faktor ini menjadikan Pas mahupun rakyat Kelantan enggan memikirkankanya kerana di hati mereka tiada pemimpin yang sebijak dan merendah diri seperti Tok Guru (Nik Abdul Aziz) selain berani kerana agama," kata seorang ahli Pas yang enggan menyatakan identitinya. Kesan pengunduran Menteri Besar itu, yang menerajui Kelantan sejak 1990, juga akan mempengaruhi sentimen penyokong tradisi Pas di Kelantan dan menggugat kedudukan Pas, katanya.

Isu pengunduran Nik Abdul Aziz, 77, timbul berikutan laporan sebuah akhbar mingguan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan "pada masa gemilang beliau" dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.

Malahan, menurut laporan Mingguan Watan itu, golongan berkenaan mahu Nik Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Reaksi daripada laporan akhabar itu Nik Abdul Aziz berkata beliau "tidak sabar" untuk melepaskan jawatan itu jika Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan dari Pas memintanya berbuat demikian.

Tetapi keadaan politik semasa masih tidak membolehkan beliau untuk melepaskan jawatan yang disandangnya selama lebih 18 tahun.

Malahan bagi Setiausaha Politik Menteri Besar itu Anual Bakri Harun ketika dihubungi Bernama berkata adanya pihak yang cuba memburukkan nama Menteri Besar ketika waktu gemilangnya.

"Isu (pengunduran) itu tidak pernah timbul pada masa kini dan tiada siapa pun yang mahukan tok guru berundur. Laporan akhbar itu tidak tepat dan tidak profesional," katanya.

Perkara itu turut disokong oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat yang menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya Nik Abdul Aziz berundur dari jawatannya.

Malahan beliau, yang juga ADUN Pulai Chondong, berkata pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama.

Begitu pun, masih ada pihak, yang berpayung di bawah Pas, meminta Nik Abdul Aziz supaya berani membuat keputusan tanpa menunggu desakan terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali percaya keputusan itu akan mendapat sokongan semua pihak kerana sebagai pemimpin yang tidak memiliki kesihatan yang baik, ia akan menjejaskan urusan pentadbiran negeri.

Ibrahim berkata, secara peribadi, Nik Abdul Aziz perlu mementingkan kesihatannya kerana ia juga ada kaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri. Mursyidul Am Pas itu memahami bahawa kudrat beliau untuk memimpin semakin berkurangan sehingga timbulnya desakan berundur dan golongan ini sebenarnya bukan tidak menghormati Nik Abdul Aziz.

Sebaliknya mereka bimbang pemimpin yang disanjung oleh penyokong Pas itu akan menjadi bebanan kepada parti tersebut kerana gagal mentadbir Kelantan dengan baik dan sering mengeluarkan kenyataan kontroversi.

Menurut sumber parti, beliau mengakui selama ini Pas bertahan di Kelantan kerana Menteri Besar itu dan penyokong Pas Kelantan tidak melihat calon lain yang lebih layak untuk meneruskan kepimpinan ulama di negeri itu selain Nik Abdul Aziz.

"Jika beliau berundur, ia sudah pasti akan menggugat kekuatan Pas, apatah lagi sepanjang tempoh 18 tahun beliau tidak pernah mengumumkan atau menonjolkan barisan pelapis bagi menggantikannya," katanya. Namun kini Nik Abdul Aziz sendiri mengakui beliau mempunyai beberapa calon penggantinya tetapi enggan mendedahkannya dan beliau berharap penyokong Pas faham hakikatnya tidak timbul kesukaran bagi Pas mencari pengganti kepada dirinya.

"Saya tak boleh sebut siapa pengganti saya, sama macam ketika (Bekas Presiden Pas) Datuk Asri (Muda) dulu, tak ada siapa jangka saya yang ganti.

"Kalau saya sebut, bermakna hanya seorang, bagaimana yang lain. Tiap-tiap seorang ada kelebihan sendiri dan saya serahkan kepada Perhubungan Pas. Timbalan-timbalan saya semua berkebolehan," katanya.

Wanita PKR gesa wujud kod etika wakil rakyat

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), menggesa kepimpinan tertinggi parti itu supaya mewujudkan garis panduan kod etika wakil rakyat bagi melahirkan pemimpin yang bersih dan berintegriti.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, kod etika berkenaan perlu dilaksanakan kepada semua wakil rakyat dalam Pakatan Rakyat hingga ke peringkat kepimpinan kerajaan.

"Kita mahu usul ini diluluskan tanpa bahas kerana ianya harus bermula daripada PKR sebagai parti pelopor perubahan politik Malaysia," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Kongres Nasional Tahunan Wanita 2008 yang bertajuk 'Wanita Berdaya Harapan Negara.

Jelas beliau, pelaksanaan kod etika berkenaan perlu diperhalusi di peringkat nasional bagi mengelakkan mereka yang tidak bersalah tidak akan teraniaya.

"Dari segi perlaksanaannya sebagai contoh apa yang kita lakukan di Perak iaitu Pakatan Rakyat memecat ahli majlis kerajaan negeri yang terlibat dengan skandal seks dan rasuah," katanya.

Isnin lalu, Zuraida mencadangkan supaya pemimpin PKR serta pemimpin kerajaan peringkat pusat meletak jawatan sekiranya terlibat dengan skandal seks dan rasuah kerana ia melibatkan soal integriti kepimpinan negara.

Kongres Wanita hari ini dihadiri oleh 583 ahli yang dterdiri daripada 320 orang perwakilan dan 263 pemerhati.

Dalam pada itu, Wanita PKR mahu penyertaan sayap parti itu ditingkatkan kepada 30 peratus di semua peringkat jawatan parti menjelang pemilihan parti pada 2010.

Zuraida berkata, sasaran 30 peratus itu sebagai persediaan menghadapi pilihan raya akan datang di mana bilangan pengundi wanita pada ketika ini ialah sebanyak 54 peratus.

"Wanita harus diberi penyertaan 30 peratus di peringkat Majlis Presiden, Majlis Pimpinan Tertinggi, jawatankuasa Perhubungan Negeri, jawatankuasa Bahagian serta jawatankuasa cawangan.

"Inilah yang akan kita perjuangkan," katanya.

Beliau yang juga ahli Parlimen Ampang berkata, Wanita PKR juga akan memberi tumpuan kepada usaha menarik golongan wanita yang berumur 40 tahun ke bawah kerana berdasarkan maklumat yang diperolehi 60 peratus sokongan kepadaparti ialah dari golongan generasi muda.

"Sebenarnya kita juga mahu kepimpinan parti yang diterajui Pakatan Rakyat di kesemua lima buah negeri mengambil pendekatan yang sama iaitu pendekatan 30 peratus.

"Contohnya seperti yang dilakukan oleh kerajaan Selangor yang mempunyai empat orang wanita dari 10 orang ahli exco kerajaan negeri," katanya.

Zuraida berkata, pada ketika ini penglibatan wanita di peringkat tertinggi parti meningkat ke 24 peratus berbanding dengan 11 peratus pada tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata Wanita PKR juga mahu satu majlis permuafakatan Wanita Pakatan Rakyat diwujudkan di seluruh negeri yang diperintah Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh exco-exco dan kakitangan kerajaan negeri yang terbabit soal pembangunan dan kebajikan wanita.

"Saya menyeru pemimpin Pakatan Rakyat di semua lima negeri di Semenanjung Malaysia agar memulakan langkah yang bijak dan menjadi contoh kepada kesemua rakyat terutama golongan wanita," katanya.

Polis boleh rampas dan musnahkan topi keledar palsu di bawah undang-undang baru

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Polis mempunyai kuasa untuk merampas dan memusnahkan topi keledar yang tidak mematuhi standard SIRIM di bawah undangundang baru berkaitan topi keledar yang sedang dirangka oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan kerjasama pihak polis.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Suret Singh berkata undang-undang baru itu bertujuan membanteras penjualan dan penggunaan topi keledar palsu yang dibuat daripada bahan yang rapuh dan tidak mampu melindungi kepala pengguna motosikal.

Ketika ditemui selepas mengetuai Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Lebuhraya Damansara-Puchong Hentian Sebelah Puchong Selatan di sini hari ini, beliau berkata topi keledar yang tidak diiktiraf SIRIM dijual dan digunakan secara meluas di Malaysia dan keadaan itu perlu dibendung segera.

"Harga topi keledar yang mendapat standard SIRIM tak jauh beza dengan harga topi keledar berfesyen tapi tak berkualiti, jadi tiada sebab mengapa orang ramai tak boleh membeli yang berkualiti," katanya.

Advokasi dan pendidikan juga perlu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada pengguna motosikal supaya menggunakan lorong motosikal khas dan memandu tidak melebihi had laju 60 km sejam, katanya.

Beliau berkata kempen kali ini, yang mempromosikan isu-isu keselamatan jalan raya terutama bagi golongan berisiko tinggi iaitu para penunggang dan pembonceng motosikal, mendapat sokongan dan kerjasama kelab motosikal.

"Kami mahu penunggang motosikal sendiri mendekati dan mempengaruhi penunggang lain dalam mengamalkan pemanduan yang selamat," katanya.

Selain itu, Suret berkata ibu bapa dan guru mestilah bertanggungjawab dengan melarang remaja di bawah umur atau tidak mempunyai lesen menunggang motosikal.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan sentiasa mengikuti had laju yang ditentukan terutamanya pada musim cuti sekolah dan perayaan ini.

Kongres Nasional Tahunan PKR bermula hari ini

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


SHAH ALAM: Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan tema 'Harapan Baru' selama tiga hari bermula hari ini, dimulakan dengan kongres bagi Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Majlis perasmian kongres Wanita dan AMK bermula jam 9.30 pagi tadi dan dirasmikan oleh Naib Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali di Stadium Malawati, di sini.

Kongres Wanita akan diadakan di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sementara bagi AMK diadakan di Stadium Malawati.

Kongres Wanita pada hari ini dijangka akan membawa usul mencadangkan supaya wanita Wanita turut diberi peluang untuk memegang jawatan naib presiden parti.

Kerajaan negeri panggil peniaga, pengeluar arak

SINAR HARIAN ONLINE


PELABUHAN KLANG - Kerajaan negeri akan memanggil pengusaha kedai serbaneka, peniaga dan pengeluar arak di seluruh Selangor berhubung keputusan kerajaan negeri menguatkuasakan peraturan mengehadkan penjualan arak di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A Samad berkata, perkara tersebut perlu dibincangkan secara teliti dan keputusan memanggil pihak terbabit bertujuan untuk mencari kata sepakat berhubung peraturan itu.

“Kita akan memanggil pengusaha kedai serbaneka 24 jam, peniaga serta pengeluar arak di seluruh negeri ini bagi membincangkan perkara terbabit demi kepentingan semua pihak, kita akan panggil mereka dalam tempoh terdekat ini.

"Kerajaan perlu bertemu dan berbincang secara teliti dengan pihak berkaitan mengenai penjualan arak ini untuk mencari kata sepakat berhubung keputusan kerajaan negeri," katanya kepada media selepas merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam, Draf Rancangan Kawasan Khas Bandar Pelabuhan Klang, di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan negeri mengehadkan penjualan alkohol kepada individu di bawah umur 18 tahun dan beragama Islam, tetapi tidak akan mengambil tindakan drastik mengharamkan penjualannya memandangkan negeri ini terdiri daripada rakyat pelbagai kaum.

Keputusan tersebut juga menyebut, kerajaan negeri juga akan mempertingkatkan tahap penguatkuasaan penjualannya selepas mengambil kira kebimbangan sesetengah pihak berhubung pengambilan alkohol melibatkan golongan muda dan masyarakat Islam.

Dalam pada itu, Iskandar berharap semua pihak wajar menghormati peraturan itu selepas dibincangkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri kelmarin kerana ia adalah salah satu pendekatan menangani masalah sosial di kalangan rakyat.

"Apa yang ditetapkan itu juga bukannya arahan Pas sebaliknya dasar kerajaan yang berusaha menangani masalah sosial kalangan generasi muda di negeri ini yang semakin membimbangkan.

“Arahan itu perlu dipatuhi sekiranya majoriti penduduk sesuatu kawasan majoritinya beragama Islam dan semua pihak perlu serius dengan apa yang telah ditetapkan," katanya.

Menurut Iskandar, penjualan arak di kawasan majoriti masyarakat Islam menjadi pertikaian kerana dari sudut agama kerana minuman alkohol adalah haram dan menjadi punca kepada pelbagai gejala sosial.

“Mengapa penjualan arak di tempat masyarakat Islam dibenarkan sedangkan ia haram di sudut agama,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Negeri, Roslan Shahir Mohd Sharir berkata, peraturan mengehadkan penjualan minuman keras bukannya perkara baru malah perkara sama telah diguna pakai kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) menerusi Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor.

"Perkara mengharamkan penjualan minuman mengandungi lebih lima peratus alkohol kepada orang Islam telah dipraktikkan kerajaan sebelum ini. Keputusan kerajaan (PR) hari ini adalah sebagai meneruskan penguatkuasaan terhadap peraturan sedia ada," katanya.

Mangsa banjir di Pahang kini 91 orang

BERNAMA


KUANTAN – Bilangan mangsa banjir di empat daerah yang terlibat di Pahang mencecah 91 orang pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, Lipis masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 57 orang diikuti Temerloh (16), Cameron Highlands (13) dan Raub (lima).

“Semua mangsa dari enam kampung di Lipis kini ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Seberang Jelai, Sekolah Kebangsaan Batu Yon dan Balai Raya Kampung Lentang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Di Temerloh, mangsa banjir dari Kampung Kuala Kuang, Lanchang ditempatkan sementara di Balai Raya Taman Murni dan Masjid Kampung Kuang.

Mangsa banjir di daerah Raub pula ditempatkan di pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Pampong dan kedai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ajai manakala mangsa banjir di Cameron Highlands di Dewan Orang Ramai Ringlet.

18 tahun penjara kes dera Nirmala

Hafiz Yatim


Surirumah Yim Pek Ha dihukum 18 tahun penjara selepas didapati bersalah mencederakan dengan parah pembantu rumahnya Nirmala Bonat empat tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Akhtar Tahir mendapati Yim bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan Nirmala.

Tertuduh menghadapi tiga pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk terhadap Nirmala menggunakan seterika dan air panas, di 33B-26-6 Villa Putera, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur pada Januari, Mac dan April 2004.

Hakim menjatuhkan hukuman 18 tahun bagi setiap satu kesalahan tersebut, tetapi ia akan berjalan serentak.

Beliau berkata tindakan Yim yang telah mencederakan pembantu warga Indonesia itu dengan sadis tidak boleh diterima oleh masyarakat bertamadun.

Akhthar menjelaskan, kecederaan yang dialami oleh Nirmala bukan akibat perbuatannya sendiri.

Yim juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan teruk terhadap Nirmala dengan menggunakan cawan besi di tempat yang sama pada pukul 3 petang, 17 Mei 2004.

Bagaimanapun tuduhan keempat itu tidak dapat dibuktikan.

Surirumah itu didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, manakala bagi satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 325 kanun yang sama, dia boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Motif Mahathir untuk bantu Mukhriz menang

Safar Jumaat


SEHINGGA hari ini, sudah lima tahun Tun Dr Mahathir Mohamad meninggalkan kerusi Perdana Menteri, tetapi kata-katanya terhadap Umno, masih lagi berbisa, malahan merisaukan para penyandang jawatan, dari yang paling tinggi hinggalah yang terendah.

Terbaru, beliau bercakap mengenai ada calon Timbalan Presiden Umno, yang mulanya terlalu sedikit mendapat pencalonan tetapi minggu-minggu terakhir meningkat dengan kelajuan yang mengejutkan, hingga mencukupi kuota untuk layak bertanding, dikaitkan dengan politik wang.

Dakwaan Dr Mahathir itu, tentunya menyinggung perasaan dua calon lain, selain Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tetapi ada juga yang berpendapat, Dr Mahathir sebenarnya 'melontar sebutir batu untuk membunuh dua ekor burung.'

Sebenarnya, Dr Mahathir didakwa tidak begitu fokus terhadap pertandingan antara Muhyiddin dengan Dato' Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib kerana beliau sudah berkira-kira, Muhyiddin bakal menjadi pilihan perwakilan kerana sejak awal, Dr Mahathir begitu gembira dengan keberanian Muhyiddin bercakap isu dipercepatkan Pelan Peralihan Kuasa antara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak.

Namun, hati kecilnya ingin melihat Muhyiddin menang tanpa bertanding seperti Najib yang mendapat pencalonan bulat dari bahagian-bahagian kecuali Gua Musang yang mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah.

Jika bukan Timbalan Presiden yang menjadi fokus Dr Mahathir, jawatan apakah yang ditumpukan?

Ada pihak mendakwa, Dr Mahathir terlalu kecewa apabila Dato' Seri Mohamad Khir Toyo dan Khairy Jamaluddin mencukupi kuota pencalonan untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, sedangkan dua minggu terdahulu, anaknya, Dato' Mukhriz sahaja yang layak bertanding jawatan itu, sedangkan Dr Mohamad Khir dan Khairy Jamaluddin masih jauh ketinggalan.

Dari mata kasar Dr Mahathir, lonjakan mendadak di minggu-minggu terakhir mesyuarat bahagian-bahagian seolah-olah 'digelumangi dengan wang' hingga menyebabkan peningkatan pencalonan mereka yang belum mencukupi kuota, kelihatan mendadak. Ia tentunya menimbulkan kecurigaan.

Mungkin Dr Mahathir membayangkan, bahagian-bahagian yang masih belum bermesyuarat, akan terpengaruh dengan calon yang sudah mendahului dan boleh disifatkan sebagai pilihan mutlak, sebagaimana Najib mendapat pencalonan.

Malangnya, bayangan Dr Mahathir itu, tidak berlaku kerana ketika Khairy Jamaluddin yang sudah hilang tempat berpaut, apabila Abdullah mengumumkan hasratnya tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno, masih diterima 52 Pemuda bahagian (yang mencalonkannya).

Khairy Jamaluddin dilihat bukan sahaja terpaksa melawan dengan Mukhriz dan Dr Mohamad Khir tetapi turut berdepan dengan serangan demi serangan dari Dr Mahathir. Namun, Khairy tetap mengambil sikap berdiam diri kerana baginya, lebih baik menjadi mangsa serangan Tun (Dr Mahathir) daripada menjawabnya hingga nanti dianggap sebagai biadap kerana tidak menghormati seorang negarawan tersohor.

Sebaik sahaja Dr Mahathir menyebut mengenai politik wang, beberapa pihak memintanya memberikan bukti dakwaan yang dibuatnya itu supaya Lembaga Disiplin Umno dapat menjalankan siasatan.

Namun Dr Mahathir memilih untuk mendedahkan sahaja nama calon-calon yang dikatakan terlibat politik wang tetapi sekadar menyebut tanpa disertakan dengan bukti.

Gertakan Dr Mahathir itu menyebabkan salah seorang dari lapan calon Naib Presiden, Dato' Seri Mohamad Khaled Nordin merayu supaya bekas Perdana Menteri tidak meneruskan niatnya itu kerana ia akan memberi kesan tidak elok dan bakal berlaku penganiyaan terhadap calon-calon tertentu.

Dalam perkembangan yang sama, Muhyiddin berani untuk disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) kerana beliau yakin beliau tidak terlibat dengan permainan politik kotor itu, bagi mendapatkan pencalonan.

Abdullah dilihat lebih condong kepada Mohd Ali dalam pesaingan Timbalan Presiden manakala Dr Mahathir dilihat ke arah Muhyiddin.

Bagi jawatan Ketua Pemuda, Abdullah tentunya condong kepada Khairy yang juga menantunya manakala Dr Mahathir tentulah mahukan anaknya, Mukhriz memenangi pesaingan itu.

Yang bersendirian bagi jawatan Timbalan Presiden, Muhammad manakala, bagi jawatan Ketua Pemuda, Dr Mohamad Khir banyak bergantung kepada kerja sendiri yang dia buat. Setakat ini, Dr Mohamad Khir mendapat 62 pencalonan, berbanding Mukhriz 74 dan Khairy, 52.

Masa lima bulan untuk berkempen ini, sudah digunakan Mukhriz dan Dr Mohamad Khir yang menolak jawatan kabinet jika menang pemilihan nanti, manakala, Khairy mencabar kesemua calon-calon Ketua Pemuda berdebat untuk menyatakan misi dan visi masing-masing membawa Pergerakan Pemuda Umno menempuh gelora politik yang semakin teruk.

Apakah anggota-anggota Lembaga Disiplin Umno akan tertekan dengan kenyataan Dr Mahathir itu, hingga menyebabkan mereka menggerakkan jentera untuk memulakan siasatan dan seterusnya mendakwa kesemua pesalah laku politik wang dalam pertandingan kali ini.

Apakah ada keberanian di pihak Lembaga Disiplin untuk menyiasat dakwaan jika aduan turut melibatkan calon-calon yang Dr Mahathir mahu mereka menang?

Jika tidak, kredibiliti Lembaga Disiplin akan disangsikan. Maklumlah, Dr Mahathir tentunya mahu mereka yang disokongnya, itu menang tanpa bertanding.

Sama ada berjaya atau tidak strategi Dr Mahathir kali ini, dengan memberi bayangan kepada Lembaga Disiplin supaya menyiasat calon-calon yang mendapat pencalonan melonjak di minggu-minggu terakhir, akan terjawab sebaik sahaja Lembaga Disiplin membuka fail siasatan.

Jika tidak, sebutir batu yang mahu membunuh dua ekor burung itu tidak akan berjaya kerana Lembaga Disiplin mustahil mahu bertindak atas bayangan Dr Mahathir kerana mereka memerlukan setiap dakwaan disertakan dengan bukti kukuh.

Setakat ini, Lembaga Disiplin sudah mengesahkan terdapat 30 peratus aduan adalah palsu dan dibuat kerana tujuan tertentu. - mr_