Sabtu, 29 November 2008

Syor program tahfiz dianjur pada warga emas

Muhammad Yusri Amin


KOTA BHARU - Tindakan mereka yang mahu mengubah kandungan al-Quran tetap akan gagal walaupun ia dilakukan dengan pelbagai cara bagi mengelirukan masyarakat khususnya umat Islam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Demit Ustaz Haji Muhammad Mustafa berkata, perkara itu berlaku memandangkan al-Quran itu sendiri berada dalam kawalan dan jagaan Allah.

Menurutnya, tindakan golongan kufar khususnya dengan cara ingin memasukkan ayat-ayat lain ke dalam al-Quran tidak pernah berjaya sejak dahulu hingga kini kerana kitab suci itu sendiri berada dalam jagaan Allah.

"Sudah banyak kali pihak terbabit berusaha untuk mengkhianati al-Quran namun tidak pernah berjaya," katanya ketika merasmikan majlis program Pra-Tahfiz Musim Cuti Sekolah di Madinatul Ilmi Pondok Tok Kenali, Kubang Kerian dekat sini baru-baru ini.

"Sehubungan itu, saya menyeru umat Islam seluruhnya, marilah bersama dengan al-Quran dan jangan bersama dengan pihak yang melawan al-Quran, iaitu syaitan," ujarnya lagi.

Tegasnya, syaitan bukan saja hantu, bahkan mereka terdiri daripada spesis jin dan manusia yang jauh daripada rahmat Allah kerana mereka sendiri bermusuhan dengan kandungan al-Quran.

Katanya, semoga mereka yang mendaftar sebagai pelajar tahfiz al-Quran sekali gus tindakan itu dianggap mendaftarkan diri sebagai 'ahli Allah'.

"Apabila Allah memberi jaminan menjaga al-Quran, maka sekali gus Allah S.W.T memberi jaminan kepada orang yang menjaga kitab suci itu sendiri, selaras dengan firman-Nya yang bermaksud "Bahawa 'ahli Al-Quran' itu adalah sebagai 'ahli Allah," ujarnya lagi.

Pada masa sama beliau turut menyarankan program tahfiz dianjur pada golongan dewasa dan tidak hanya tertumpu pada golongan muda semata-mata, apa lagi golongan berkenaan begitu hampir dengan usia kematian.

Katanya, ada baiknya program tahfiz al-Quran dianjurkan untuk warga emas agar mereka sentiasa mengingati saat kematian di penghujung usia mereka. - mns_

Tiada ulasan: