Ahad, 23 November 2008

Mahasiswa perlu pulau kenaikan harga barang

Ali Bukhari Amir


KUALA LUMPUR - Mahasiswa seluruhnya diseru memulaukan para peniaga yang masih menjual barangan dan perkhidmatan pada harga tinggi walaupun harga petrol telah menunjukkan penurunan.

"Masih ramai peniaga yang tidak turunkan harga barangan dan perkhidmatan mereka. Tindakan itu bukan saja membebankan pengguna berpendapatan rendah dan sederhana malah ia akan berterusan meningkatkan Indeks Harga Pengguna (IHP) sekali gus menjana pertumbuhan kadar inflasi yang lebih mengerikan," kata Presiden Econs Mohd Hasbie Muda dalam kenyataannya kepada Harakahdaily.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

"Oleh itu, saya menggesa seluruh mahasiswa seramai 748,797 orang agar dapat turut sama memulaukan para peniaga yang mengenakan harga yang tinggi berbanding harga pasaran.

"Saya yakin jika jumlah siswa seramai 0.7 juta ini memainkan peranan memulau peniaga tamak, 'menghasut secara ilmiah' anggota masyarakat lain agar turut memulaukan, maka para peniaga yang tamak ini akan segera menurunkan harga barangan mereka agar selari dengan pasaran," tambah beliau.

Harga minyak telah turun menghampiri paras asalnya sebelum Jun 2008 iaitu RM1.92 seliter.

Ini merupakan penurunan kali kelima harga bahan api itu selepas mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

"Kedegilan dan ketamakan segelitir peniaga, samada peruncit, pemborong atau pengilang, yang mahu untung besar segera adalah sebab utama percambahan 'parasit inflasi' yang berbahaya ini," kata beliau.

Dalam kejadian lain, beberapa buah NGO seperti Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang menganjurkan satu perhimpunan bertujuan memberi kesedaran untuk memulaukan para peniaga yang masih enggan menurunkan harga barang walaupun harga minyak telah diturunkan beberapa kali.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata perhimpunan itu akan diadakan di ibu negara pada Disember ini dengan kerjasama Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) dan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain.

"Jika usaha ini berjaya, kadar inflasi negara yang kini 8.2 peratus akan surut melebihi ramalan 7.6 peratus seperti yang diunjurkan oleh Gabenor Bank Negara tempohari.

"Semoga, tindakan ini akan mendidik dan menyedarkan pengguna tentang hak dan peranan mereka. Ia bukan bertujuan untuk menjejaskan ekonomi negara malahan bertindak selaras dengan seruan kerajaan yang mahu peniaga menurunkan harga barang," kata beliau. - mks._

Tiada ulasan: