Khamis, 20 November 2008

Caj ceramah angkasawan: Publik sudah kemuka MOSTI bukti

Oleh NURUL AIN MOHD HUSSAIN


PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah menerima aduan awam berhubung dakwaan bahawa angkasawan negara Datuk Dr. sheikh Muszaphar Shukor mengenakan caj siri ceramah sehingga RM8,000 sejam.

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof ketika dihubungi oleh mStar Online semalam.

“Pihak kami memang ada menerima aduan daripada orang ramai berhubung isu ini (angkasawan).

“Kami tidak boleh dedahkan kepada anda berapa jumlah laporan yang diterima setakat ini kerana semuanya masih dalam siasatan,” kata beliau lagi. Menurut Fadillah, kementerian hanya akan memulakan siasatan berhubung aduan yang diterima daripada orang ramai itu minggu setelah tempoh dua minggu yang diberikan kepada sebelum ini tamat Jumaat ini.

“Kami akan hanya membuka aduan daripada orang awam berhubung isu ini Isnin hadapan. Selepas itu, barulah kami akan jalankan siasatan lanjut terhadap aduan-aduan yang telah diterima,” katanya.

Tambahnya, selepas menjalankan siasatan terperinci berhubung aduan dan kenyataan angkasawan yang telah direkodkan sebelum ini barulah laporan penuh akan dihantar kepada menteri berkenaan.

“Saya perlu memperincikan aduan orang ramai yang diterima dan kenyataan daripada beliau (Sheikh Muszaphar) sebelum ini. Selepas itu barulah saya akan siapkan laporan penuh untuk diserahkan kepada menteri terlibat,” katanya.

Jelas beliau, laporan penuh berhubung isu angkasawan negara ini dijangka siap sepenuhnya awal bulan depan. “Namun semuanya bergantung kepada siasatan yang dijalankan jika tiada maklumat tambahan diperlukan dalam kes ini, ia (laporan) dapat disiapkan cepat,” katanya.

Sebelum ini Mosti meminta supaya pihak yang mendakwa dikenakan bayaran dalam siri ceramah angkasawan negara itu supaya tampil mengemukakan maklumat kepada kementeriannya bagi membantu siasatan.

Sheikh Muszapar telah pun menegaskan dan menafikan dakwaan bahawa beliau mengenakan bayaran sehingga RM8,000 sejam untuk berceramah dan telah mengumpulkan RM1.2 juta hasil siri ceramah sejak setahun lalu. Angkasawan pertama negara itu juga menafikan telah mengadakan ceramah membabitkan 150 korporat setakat ini.

Tiada ulasan: