Agendadaily
NIAT asalnya memang baik demi perpaduan dan mengelak perpecahan dalam parti khususnya pergerakan Wanita UMNO. Bagaimanapun, seperti kerap diucapkan, “manusia hanya merancang, Tuhan juga menentukan”.
Barangkali inilah terjadi dalam Wanita UMNO apabila pelan peralihan kuasa antara Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kini sudah ‘berkecai’.
Kini ada pihak meramalkan hubungan ketua dan naib ketua sayap utama parti UMNO itu juga berdepan situasi sama apabila Shahrizat akan bertembung Rafidah bagi pemilihan jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti Mac ini.
Bagi yang arif sifir politik, Shahrizat dilihat macam tiada pilihan lain setelah kedudukan beliau sebagai Naib Ketua akan dicabar Datuk Kamalia Ibrahim manakala jika akur pelan, beliau perlu tunggu Jun nanti.
Sebab lain beliau memilih untuk mencabar Rafidah dikatakan kerana ada desakan akar umbi yang sudah memberi kepercayaan termasuk 73 pencalonan bagi jawatan itu.
Rafidah pula memilih mempertahankan jawatan itu kerana tiada pilihan lain setelah pelan bulan Jun tidak dipatuhi sekaligus rancangan itu terbatal.
Walaupun, ada cakap-cakap kononnya beliau mahu peralihan kuasa itu dilakukan pada Jun depan kerana mahu mengintai jawatan dalam kabinet baru kerajaan selepas pelan peralihan antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Rafidah menolak andaian ini.
"Kalau orang kata, saya mengekalkan jawatan ketua semata-mata untuk mendapatkan jawatan Kabinet, itu adalah kerja gila. Tak ada sebab dengan Kabinet…kalau ya kenapa buat Jun bukan 2010, " katanya.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkali-kali menyatakan beliau bertujuan memperkukuhkan kedudukan Wanita UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas kalah teruk dalam pilihanraya umum Mac lalu.
Ketika ditemui selepas beliau berjumpa lebih 40 penyokongnya daripada beberapa negeri di pejabat Wanita UMNO di PWTC, Sabtu, Rafidah berkata, beliau tetap menjalankan tugas Ketua Wanita walaupun tanpa jawatan dalam Kabinet.
“Bukan kuasa kita (jadi menteri) walaupun (saya) ahli parlimen. Itu kuasa muthlak Perdana Menteri,” ujarnya penuh semangat dengan beberapa ketua wanita negeri dan bahagian di sampingnya termasuk Datuk Halimah Mohd Sadique (Johor) serta Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin (Selangor),
Walaupun ada pihak mengumpamakan beliau seperti ‘Quran buruk’ kerana sudah lama dalam pergerakan itu dan berjawatan menteri sehingga pilihan raya lalu, beliau berkata, “ Bagi saya tiada Quran buruk atau Quran baru,”.
Dalam pada itu, ketika ditanya kenapa Shahrizat mahu menentangnya dan tidak akur pelan peralihan kuasa Jun depan, Rafidah suruh bertanyakan soalan itu kepada Sharizat sendiri.
“Tanya dia kenapa lari pelan yang sendiri sudah setuju. Sehingga mesyuarat 9 November, tiada yang bantah, Exco setuju..tiada yang ragu-ragu dengan pelan itu,” ujarnya.
Menurut Rafidah, jika diserahkan jawatan itu pada Mac depan seperti dicadangkan Shahrizat, bermakna tiada peralihan kuasa dan ada orang menang tanpa bertanding.
“Saya dapat lebih pencalonan, tak aka nada yang menang tanpa bertanding. (Shahrizat) Kalau akur, walaupun dapat pencalonan, boleh tolak…tak payah bertanding (jawatan Ketua Wanita),” tegas beliau.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada pihak ragu-ragu keikhlasannya akan menyerahkan jawatan itu kepada Shahrizat Jun depan menyebabkan berlaku perebutan jawatan tersebut.
“Sesiapa yang ragu keikhlasan saya untuk serah Jun nanti, Allah sajalah balasnya nanti.” Katanya.
Mengenai jawatan pemangku jika Shahrizat menerima pelan tersebut, Rafidah menjelaskan, perkara itu tidak diberitahu atau dibangkitkan lebih awal.
Menurut Rafidah, jawatan pemangku ketua dalam UMNO bukan perkara baru.
"Tun Hussein Onn menjadi pemangku presiden selama satu tahun 9 bulan, Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) jadi pemangku ketua Pemuda selama dua tahun (dan), Datuk Seri Abdullah (Ahmad Badawi), juga jadi pemangku presiden UMNO.
"Jadi jawatan pemangku tidak ada kurangnya. Kerja adalah sama, kalau pemangku ketua Wanita tidak ada kuasa, apa kuasa yang ada pada ketua wanita.
Ketika ditanya Agendadaily, apa jaminan beliau akan patuh saranan Abdullah dan Najib supaya tidak perpecahan kerana perebutan jawatan itu, Rafidah menyerahkan kepada perkara itu kepada akar umbi.
“Kita akan pesan pada peringkat bawah supaya tanding secara sihat ,berhemah, tertib dan jangan memfitnah. Biar cara terhormat,. Jangan kelam kabut macam nak mati. Ada kalah menang, kena terima dihujungnya nanti, “ jelasnya.
Lagipun katanya, ini bukan pertarungan ‘do or die’.
Ditanya kemungkinan ujudnya orang Rafidah dan orang Shahrizat ekoran pertembungan itu, beliau berkata, “tiada istilah orang saya atau orang Shahrizat. Yang ada orang UMNO. Dalam UMNO tidak boleh ada team…lingkup parti,”.
Rafidah berharap pertembungannya dengan Shahrizat tidak menyebabkan perpecahan dalam pergerakan itu kerana “dalam wanita, jika siapa ketua mereka akan sokong."
Beliau juga tidak berjumpa atau dipanggil Abdullah yang juga Presiden UMNO mengenai keputusannya mempertahankan jawatan tersebut.
Kelmarin, Shahrizat yang juga Penasihat Khas Kepada Perdana Menteri bagi Wanita, Keluarga dan Hal Ehwal Masyarakat mengumumkan akan bertanding menentang Rafidah bagi merebut jawatan ketua pergerakan itu.
Kini gendang perang sudah dipalu. Pertarungan ini bakal memperlihatkan Rafidah menggunakan segala kekuatan politik selama 48 tahun menentang Shahrizat yang baru 25 tahun di gelanggang politik.
Apapun harapan semua pihak yang melihat perebutan ini tidak berakhir dengan ‘yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu’.
Ketika ditanya samada beliau yakin menang dan mengekalkan jawatan itu untuk sepenggal lagi, Rafidah menjawab “ kalau dah sure, kita jadi Tuhan pulak. Biarlah Dia tentukan apa yang baik untuk saya dan parti”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan