Rabu, 26 November 2008

Wanita PKR: Isu letak jawatan, peringatan kepada pemimpin kerajaan

ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Usul supaya pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan sekiranya terlibat dengan skandal seks dan rasuah seharusnya turut menjadi peringatan kapada pemimpin kerajaan peringkat pusat.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara tersebut sebenarnya turut ditujukan kepada pemimpin-pemimpin negara kerana isu berkenaan dilihat begitu penting untuk ditangani.

"Cadangan ini pada dasarnya adalah secara menyeluruh kepada semua pemimpin-pemimpin negara ini termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri.

"Tapi permulaannya kita mahu PKR menjadi contoh terbaik dalam menangani isu-isu sedemikian kerana hal yang berkaitan dengan rasuah dan skandal seks melibatkan soal integriti," katanya kepada mStar Online.

Kelmarin, Zuraida berkata beliau akan mengusulkan agar setiap Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu menandatangani kontrak bahawa mereka akan meletak jawatan jika terlibat dalam amalan rasuah atau skandal seks.

Jelas beliau, Pergerakan Wanita PKR mahu masyarakat melihat mereka menjadi pelopor kepada usaha mewujudkan sebuah institusi politik yang bersih dan bebas daripada gejala tidak sihat seperti itu.

"Isu rasuah dan skandal seks adalah perkara pokok, tapi sebenarnya kita mahu ia diteruskan sama ada bagi jenayah-jenayah lain seperti terlibat dengan pembunuhan dan sebagainya," katanya.

Tambah ahli Parlimen Ampang itu, usul sedemikian dilihat sebagai serampang dua mata iaitu bukan sahaja mahu memastikan para pemimpin PKR bersih dari masalah sedemikian, malah turut berpeluang menarik minat pengundi wanita untuk menyokong parti itu.

"Kami juga telah menjalankan kajian mengenai keinginan wanita, dan kami dapati mereka mahukan pemimpin yang bebas daripada masalah rasuah, tidak terlibat dengan skandal seks serta tidak mempunyai masalah etika," katanya.

Oleh yang demikian jelas beliau, pengundi-pengundi wanita sudah pasti akan terus menyokong PKR kerana menjadi dasar parti itu untuk meningkatkan integriti para pemimpinnya.

Sementara itu, Fuziah Salleh (PKR-Kuantan) berkata cadangan usul tersebut tidak menjurus kepada mana-mana kepimpinan secara khusus.

"Jangan cakap kita tujukan kepada PKR atau Pakatan Rakyat sahaja, kita tujukan kepada semua peringkat daripada Perdana Menteri, menteri, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan juga Pakatan Rakyat.

"Jadi apabila usul itu dibawa ia tak terbatas, PKR mahu memberi contoh yang baik, tapi mahu semua sekali mematuhinya," katanya.

Bagaimanapun beliau menafikan bahawa usul sedemikian ditimbulkan ekoran daripada wujudnya gejala rasuah dan skandal seks dalam PKR.

"Bukan sebab ia wujud dalam PKR, ia bukan asasnya.

"Tapi kita nak cakap jangan nak tunjuk orang sahaja, kita sebagai kerajaan menanti pun kena letakkan standard," katanya.

Jelas beliau usul tersebut akan dibawa menerusi Kongres Wanita PKR yang akan diadakan pada 28 November ini untuk dibahaskan sebelum dibawa ke Kongres PKR yang akan diadakan pada 29 dan 30 November ini.

Tiada ulasan: