BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis akan meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mendapatkan butiran mengenai dakwaan laporan media India bahawa sebilangan pengganas yang melakukan serangan bersenjata di Mumbai telah menggunakkan alamat di Malaysia untuk menyewa apartmen di bandar raya itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya perlu mendapatkan penjelasan dan pengesahan mengenai kesahihan dakwaan itu sebelum mengambil tindakan susulan.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan saluran Interpol untuk memeriksa kesahihan fakta itu. Masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa kerana ia hanya dakwaan oleh pihak akhbar di India.
"Sebaik sahaja kita memperoleh butiran penuh mengenai perkara itu, maka kami akan mengambil tindakan yang sewajarnya (jika dakwaan itu benar). Sehingga itu, kami tidak akan campur tangan dalam hal itu," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.
Musa berkata, setakat ini pihak berkuasa India belum menyediakan butiran penuh mengenai dakwaan itu kepada pihak berkuasa di sini.
Mengenai kad kredit Malaysia yang ditemui di tempat serangan di Mumbai, Musa berkata: "Seperti saya nyatakan sebelum ini, kita tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan dakwaan."
"Kami menunggu maklum balas dari polis India dan bagaimanapun kami akan memberi kerjasama penuh jika diperlukan," katanya sambil menjelaskan sebarang maklumat awal perlu disahkan kebenarannya terlebih dahulu.
Dalam kejadian serangan oleh sekumpulan militan bersenjata lengkap di 10 kawasan strategik di bandaraya Mumbai sejak Rabu lepas, sekurangkurangnya 195 orang maut dan 295 orang cedera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan