Jumaat, 28 November 2008

Serangan Mumbai: Pertempuran berterusan di pusat Yahudi dan Hotel Taj Mahal

mstar online
[DIKEMAS KINI]


MUMBAI: Komando hari ini berjaya mengawal Hotel Oberoi-Trident, tetapi perjuangan menentang militan yang masih bersembunyi di hotel-hotel mewah lain dan pusat Yahudi yang masih mempunyai kira-kira enam tebusan tetap diteruskan.

"Hotel Oberoi dan Trident kini dalam kawalan," kata ketua Pegawai Keselamatan Kebangsaan elit, JK Dutt kepada wartawan di sini.

"Oberoi-Trident telah dipindahkan, kita telah membunuh dua pengganas," katanya.

Reuters melaporkan, India sekali lagi menuding jari ke arah "elemen" hubungan Pakistan berhubung serangan yang dilancarkan di pusat kewangan bandaraya itu yang kini dilaporkan telah mebunuh sekurang-kurangnya 121 orang.

"Bukti awal, bukti prima facie menunjukkan elemen-elemen hubungan dengan Pakistan terlibat," kata Menteri Luar, Pranab Mukherjee semasa sidang media di New Delhi.

Beliau menggesa Pakistan supaya menutup semua infrastruktur yang menyokong militan.

Bagaimanapun, rakan sejawatnya di Pakistan, Shah Mehmood Qureshi, meminta supaya India tidak bermain politik tentang serangan di Mumbai.

"Jangan bawa politik dalam isu ini. Ini adalah isu kolektif. Kita menghadapi musuh yang biasa dan kita sepatutnya sama-sama menewaskan musuh ini," katanya kepada wartawan semasa melawat bandar India, Ajmer.

Tiada ulasan: