Selasa, 25 November 2008

Jangan percaya khabar angin

SINAR HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyangkal dakwaan tempatnya akan diganti dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali.

Sambil menyifatkan dakwaan itu hanya khabar angin yang tidak berasas, Abdul Khalid mahu rakyat di negeri ini tidak mudah mempercayainya.

Kata beliau, perkara tersebut tidak pernah dibincangkan pada peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu

“Sebarang pelantikan akan dibuat menerusi satu mesyuarat melibatkan Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi parti tetapi perkara ini (tukar Menteri Besar) langsung tidak dibincangkan,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Abdul Khalid berkata demikian ketika mengulas dakwaan dalam sebuah blog yang melaporkan timbul cadangan supaya Azmin yang juga Naib Presiden PKR menggantikan tempatnya sebagai Menteri Besar ekoran kewibawaannya semakin diragui.

“Saya tak mahu komen apa-apa lagi. Itu bukan isu,” katanya.

Kelmarin, Azmin yang turut menafikan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas dengan niat melaga-lagakan pemimpin PKR untuk menimbulkan situasi pergolakan dalam pentadbiran PR di Selangor.

“Itu tuduhan jahat yang mempunyai agenda tersendiri serta cuba melaga-lagakan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan parti lain dalam PR di Selangor.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan serta mempercayai khabar angin yang direka-reka ini, Ia hanya satu khabar angin yang tidak benar semata-mata,” katanya.

Katanya, beliau mendukung pemerintahan PR di bawah Abdul Khalid dan memberi kerjasama serta sokongan penuh bagi memantapkan pentadbiran kerajaan negeri.

Tiada ulasan: