Ali Bukhari Amir
KUALA LUMPUR - Seorang calon ijazah Sarjana Universiti Teknologi Malaysia, Nazman Ibrahim didenda di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) ekoran keterlibatannya dalam beberapa kes sebelum ini.
Antara yang turut disentuh ialah hal pembabitan beliau dalam kegiatan politik parti pembangkang di luar universiti, demikian menurut suatu sumber yang cuma mahu dikenali sebagai Zamri.
"Khamis lalu, lebih dua jam perbicaraan Nazman berlangsung. Menurut rakan saya itu, HEP tidak ikut hampir 80% prosedur perbicaraan. Hingga akhir, bukti yang mereka bawa tidak dapat dikaitkan secara terus dengan pertuduhan ke atas beliau," kata Zamri.
Bagaimanapun, tambahnya, mahasiswa menyedari bahawa pada akhirnya keputusan terletak pada HEP kerana mahkamah universiti seperti dikawal oleh HEP sendiri, di mana semua pendakwaraya, termasuklah panel hakim-hakim dan Ketua Hakim juga adalah TNC HEP sendiri.
"Akhirnya, mereka jatuhkan juga hukuman. Pertama, diberikan amaran keras dan kedua denda sebanyak RM200. HUkuman itu pun dijatuhkan dengan sebab Nazman merayu atas nama Melayu dan Islam, semoga dia dibenarkan belajar kerana dia masih tinggal satu semester saja lagi.
"Dia minta jika HEP nak hukum juga, walaupun tak cukup bukti, hukumlah dengan amaran keras, atau pun denda RM200," kata sumber tersebut.
Zamri berkata, dalam sesi perbicaraan itu, Nazman turut mendesak dengan berkata, jika hukuman itu adalah sebaliknya, beliau akan mengambil langkah menyaman UTM sebagai defendan pertama, TNC HEP sebagai defendan kedua, dan mana-mana panel hakim lain jika perlu.
"Antara lain, beliau akan turut membuat kenyataan media untuk dedahkan salah guna kuasa dan kezaliman UTM. Syukurlah, berkat doa dan solat hajat rakan-rakan. Mereka telah menjatuhkan hukuman ringan sahaja kepada beliau.
"Kata rakan saya itu, panel-panel hakim yang hadir mungkin lebih rasional berbanding pegawai HEP tertinggi yang selalu mengulang ayat, 'saya yang berkuasa di sini' lebih 10 kali sepanjang perbicaraan itu. Apa pun dia ucapkan terima kasih kepada panel-panel yang prihatin itu," kata beliau.
Menurut Zamri, bukan semua ahli panel dalam perbicaraan itu bersetuju dengan keputusan tersebut.
"Salah seorang daripada panel perbicaraan berbisik 'teruskan perjuangan' kepada Nazman sebelum sesi tu berakhir," kata beliau.
Sementara itu, dalam suatu temuramah ekskusif Harakah, Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi UKM, Prof Madya Dr Ghazali Mahyuddin berkata, adalah suatu keperluan bagi pihak universiti untuk membiarkan sahaja pelajar universiti ini membuata kesilapan ketika mereka sedang belajar.
"..Biar mereka berhujah, kemukakan fakta dan biar buat silap, tak mengapa. Bila dia keluar universiti, Barulah trampil. Asas dan persekitaran menghasilkan pemimpin macam itu tidak ada. Akhirnya pelajar 'play safe'. Akur sahaja kepada pihak yang berkuasa. Akhirnya, akan jadi budaya angguk sahajalah," kata Dr Ghazali Mahyuddin. _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan