Jumaat, 21 November 2008

Setiausaha SPR juga bakal diganti

G.MANIMARAN


PUTRAJAYA:Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan diketuai pengerusi baru mula 31 Disember ini juga bakal menyaksikan kemasukan setiausaha baru dalam waktu terdekat.

Sekretariat badan pengendali pilihan raya itu sepatutnya telah menerima kedatangan setiausaha baru pertengahan September lalu.

Bagaimanapun menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Rashid Abd. Rahman, pegawai kanan dari Sarawak yang dilantik tidak menerima pelantikan tersebut.

"Saya ada terima surat makluman pelantikan setiausaha baru dan dia sepatutnya mengisi jawatan itu pada September tetapi tidak datang.

"Saya dimaklumkan dia tarik diri," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Beliau mengakui bahawa Sekretariat SPR perlu mempunyai seorang setiausaha untuk mengendalikan operasi harian badan tersebut.

Sejak itu jawatan tersebut dipangku oleh timbalan setiausaha (operasi).mStar Online difahamkan Jabatan

Perkhidmatan Awam sedang mencari calon bagi mengisi jawatan tersebut.

Datuk Kamaruzaman Mohd. Noor, sejak 16 September lalu menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) di Kementerian Pelajaran.

Beliau memegang jawatan Setiausaha SPR lebih tiga tahun lalu.

Abd. Rashid pula akan tamat tempoh perkhidmatannya sebagai Pengerusi SPR pada 30 Disember ini.

Beliau akan digantikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof mulai 31 Disember.

Tiada ulasan: