Rabu, 26 November 2008

Kes KP Imigresen terima rasuah dibicara Mei depan

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 18 Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan terhadap bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen yang dituduh menerima rasuah RM60,000 daripada seorang ahli perniagaan bagi mempercepatkan kelulusan permohonan 4,337 visa pekerja Bangladesh, Ogos lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Fadzillah Mohd Osman memberitahu Hakim S.M. Komathy Suppiah bahawa pihaknya akan memanggil 30 saksi bagi memberi keterangan.

Datuk Wahid Md Don, 56, mengaku tidak bersalah menerima wang itu daripada Datuk Low Chang Hian sebagai bayaran upah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Jalan Lembah Ledang, off Jalan Duta, pada 10.15 malam 10 Julai.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 Akta yang sama. Jika disabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih 20 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.

Wahid yang diwakili peguam bela Datuk V. Sithambaram dituduh pada 19 Ogos lepas dan diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan: