A Kadir Jasin
KALAU difikirkan kecelakaan yang menimpa orang Melayu hari ini, kita sebenarnya harus berasa sangat malu menjadi orang Melayu.
Saya malu menjadi orang Melayu. Bukan sangat kerana orang Melayu dan bangsa Melayu dicemuh oleh bangsa-bangsa lain, tetapi kerana paralysis atau kelumpuhan bangsa saya yang disebabkan anak bangsa saya sendiri.
Saya malu kerana segala-gala yang buruk dan negatif dikaitkan dengan orang Melayu – rasuah dan politik wang, ketidakcekapan dan kehambaran, mat rempit dan kaki gian, pemalas dan curi tulang.
Saya tidak mahu atau tidak boleh bercakap bagi pihak orang lain. Saya hanya boleh bercakap bagi pihak diri saya sendiri dan kelompok kecil yang saya wakili.
Sebenarnya, kalau saya sedikit sebanyak masih percaya kepada diri saya dan kepada kebaikan bangsa saya, keyakinan itu datang daripada rakan-rakan bukan Melayu saya.
Mereka sering mengatakan kepada saya, negara ini memerlukan orang Melayu yang baik untuk memimpin dan mentadbir dengan baik. Yang mereka tidak mahu adalah orang Melayu yang hambar, yang memimpin dan mentadbir dengan hambar juga.
Tidak berapa lama dulu, seorang jutawan Cina yang sangat berjaya dalam bidang korporat dan pasaran modal, berbisik kepada saya agar tidak terlalu kritikal terhadap pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, berilah peluang kepada Abdullah berundur secara terhormat. Itu sebelum tempoh peralihan dipendekkan daripada tahun 2010 kepada Mac depan.
Tauke Cina ini berkata lagi, dia gembira Abdullah akhirnya mengambil keputusan bersara lebih awal. Dia gembira walaupun dia cukup akrab dengan Abdullah dan budak-budaknya. Dia mendapat anugerah Tan Sri pada era Abdullah. Bagi orang Cina korporat, gelaran Tan Sri sama nilai dengan seketul emas.
Dia gembira Abdullah bersara awal kerana dia tidak yakin dengan kemampuannya mengendalikan politik dan ekonomi negara. Bagi orang Cina korporat, kestabilan politik dan keperkasaan ekonomi adalah kayu pengukur kepada kejayaan atau kegagalan seseorang Perdana Menteri.
Baru-baru ini, secara kebetulan saya berkesempatan duduk semeja dengan Menteri Dalam Negeri Syed (Abdul) Hamid Albar, Ketua Polis Negara Musa Hassan, Menteri Besar Negeri Sembilan Mohamad Hassan, bekas Menteri Besar Perlis Shahidan Kassim, bekas Menteri Besar Johor Mohd Ajib Ahmad dan Blogger Ahmad A Talib aka Pahit Manis.
Satu persoalan yang kami semua hampir sependapat adalah – apakah sikap tolak ansur/toleransi orang Melayu sekarang sejati (genuine) atau manifestasi kepada ketidakupayaan dan kelumpuhan (paralysis) bangsa Melayu?
Ini bukan bertujuan menafikan keikhlasan orang Melayu dan kepemimpinan mereka bertolak ansur dengan kaum-kaum lain sejak sebelum merdeka sehingga kepada termeterainya Kontrak Sosial dalam bentuk Perlembagaan Malaysia dan pelaksanaan pelbagai dasar serta program selepas itu.
Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, apa yang dilihat sebagai tolak ansur dan toleransi orang Melayu, bagi saya lebih berupa ketidakupayaan mereka berartikulasi dan bertindak bagi mempromosi dan mempertahankan hak serta keistimewaan mereka seperti yang termaktub dalam Kontrak Sosial dan Perlembagaan Malaysia.
(Pemikir dan pakar perundangan ulung, Allahyarham Prof. Tan Sri Dr Ahmad Ibrahim dalam rencana berjudul “Prinsip-prinsip Perlembagaan Islam dan Perlembagaan Malaysia” berkata:
“Perlembagaan Persekutuan di Malaysia adalah hasil persetujuan yang telah dicapai antara penduduk di Malaysia daripada kalangan Melayu, Cina dan India yang digubal atas asas persetujuan tersebut. Perlembagaan Malaysia bukan sahaja dokumen perundangan malah adalah kontrak sosial dan perjanjian perdamaian.”)
Dari satu sudut, kelumpuhan orang Melayu sekarang berkait rapat dengan kelegaan mereka dipimpin oleh empat Perdana Menteri Melayu yang berjaya, dihormati dan ditakuti – Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Di bawah kepemimpinan (leadership) mereka, negara aman damai dan berjaya. Hatta pergaduhan kaum pada 13 Mei 1969 itu pun hanya sekejap dan terhad di Kuala Lumpur. Apatah lagi ini dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.
Sejak merdeka, semua kaum mendapat perlindungan dan menikmati peningkatan taraf ekonomi walaupun orang Cina, kerana monopoli mereka terhadap bidang perniagaan, lebih berjaya dan terus di hadapan.
Dr Mahathir dibenci dan ditakuti oleh kaum Cina apabila dia mengambil alih teraju pemerintahan pada tahun 1981 kerana label “ultra-Malay” atau pelampau Melayu yang diberikan kepadanya oleh jentera propaganda era Tunku.
Bagaimanapun apabila dia berjaya memperkasa ekonomi Malaysia dan mempertahankannya daripada dua krisis besar (pertengahan 1980 dan 1997/98), dia dianggap hero oleh semua kaum, khasnya masyarakat perniagaan Cina.
Ramai orang Melayu tidak begitu setuju dengan dasar dan tindakan beliau yang dilihat sebagai terlalu keras dan menghukum terhadap masyarakat korporat Bumiputera ketika krisis 1997/98.
Ketidakmampuan Pentadbiran Abdullah meneruskan proses memperkasa ekonomi dan melaksanakan ikrar “reformasi” (meminjam mantera Parti Keadilan Rakyat) telah membawa kecelakaan kepada Umno dan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.
Kelemahan Umno dan kelumpuhan orang Melayu inilah yang dieksploitasi oleh kaum-kaum bukan Melayu, sama ada atas pentas politik kepartian, badan-badan bukan kerajaan, inteligensia atau masyarakat sivil.
Sebenarnya mereka juga dalam dilema. Manakala mereka “gembira” dapat mengambil kesempatan daripada kelumpuhan Umno dan orang Melayu, pada masa yang sama mereka bimbang mencetuskan kemarahan orang Melayu.
Dalam perbualan dengan Syed Hamid dan KPN, saya memberanikan diri memberi amaran mengenai kemungkinan (saya ulang, KEMUNGKINAN) wujudnya “the fringe Malays” yang mungkin mengamuk jika mereka berasa kepentingan Melayu diancam dan dipertikai atas landasan perkauman.
Kita lihat bagaimana sudah ada individu dan NGO bukan Melayu dan bukan Islam yang tergamak mempertikai fatwa-fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan. Yang terbaru mereka mempersoalkan fatwa mengharamkan “pengkid” – perempuan berperwatakan/beraksi lelaki.
Jadi saya setuju sangat dengan amaran Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap NGO bukan Islam agar tidak mempertikai fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.
Saya juga amat setuju dan penyokong kemunculan NGO Melayu seperti Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan penglibatan NGO seperti Gabungan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) dalam isu semasa yang membabitkan hak dan kepentingan orang Melayu.
Setidak-tidaknya orang Melayu juga mengambil kesempatan daripada kelumpuhan kepemimpinan Melayu sekarang untuk menyemarakkan semula kepelbagaian suara Melayu seperti sebelum penubuhan Umno.
Kalau kepemimpinan Umno masih berasa bertanggungjawab untuk mempertahan dan memajukan hak orang Melayu, mereka wajib sedar bahawa asal usul Umno berakar umbi daripada kepelbagaian suara orang Melayu.
Merekalah yang menjadi penaja dan pengasas Umno dalam perhimpunan bersejarah di Kelab Sultan Sulaiman pada tahun 1946.
Jadi sangat tepatlah kalau pertubuhan-pertubuhan Melayu kembali bersuara bagi pihak orang Melayu dan mengisi ruang kosong yang ditinggalkan oleh Umno.
Atas dasar yang sama, saya berharap kepemimpinan Umno memberi perhatian kepada usul Perkasa yang dicapai dalam Program Wacana Isu Perundangan dan Hak-hak Peribumi Dalam Perlembagaan di Memorial Tun Hussein Onn pada Ahad, 16 November lalu.
Itulah nada ucapan perasmian Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim apabila beliau menyarankan pengukuhan dan pemerkasaan politik Melayu melalui penyatuan bangsa sebagai cara mengelak Orang Melayu daripada terus dicemuh dan dipersendakan oleh pihak lain yang suka mengambil kesempatan.
Mungkin perlu difikirkan semula kemungkinan Umno kembali kepada cogan kata asalnya “Hidup Melayu”. Cogan kata “Hidup Melayu” itu digantikan dengan slogan “Merdeka” pada tahun 1951.
Kini Malaysia sudah 51 tahun merdeka, tetapi kehidupan dan kelangsungan orang Melayu semakin tercabar dan dipertikaikan. Jadi eloklah Umno kembali melaungkan “Hidup Melayu” (atau “Hidup Bumiputera”) dan menterjemahkannya kepada pelan dan tindakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan