Jumaat, 28 November 2008

Mangsa banjir di Pahang kini 91 orang

BERNAMA


KUANTAN – Bilangan mangsa banjir di empat daerah yang terlibat di Pahang mencecah 91 orang pagi ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, Lipis masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 57 orang diikuti Temerloh (16), Cameron Highlands (13) dan Raub (lima).

“Semua mangsa dari enam kampung di Lipis kini ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Seberang Jelai, Sekolah Kebangsaan Batu Yon dan Balai Raya Kampung Lentang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Di Temerloh, mangsa banjir dari Kampung Kuala Kuang, Lanchang ditempatkan sementara di Balai Raya Taman Murni dan Masjid Kampung Kuang.

Mangsa banjir di daerah Raub pula ditempatkan di pusat pemindahan sementara Balai Raya Kampung Pampong dan kedai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ajai manakala mangsa banjir di Cameron Highlands di Dewan Orang Ramai Ringlet.

Tiada ulasan: