BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) semakin baik dan ia meningkatkan kebolehpasaran graduan institusi berkenaan sejak pelaksanaan program pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa itu, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Dr Hou Kok Chung berkata pandangan mengenai kelemahan graduan UiTM berkomunikasi dalam bahasa itu adalah satu persepsi dan bukan gambaran keseluruhan yang sebenar. "Walaupun ini berkaitan budaya tetapi saya lihat sekarang ini budaya pertuturan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan UiTM bertambah baik, itulah yang saya nak jawab, dari segi apa yang kita lihat ia bertambah baik," katanya menjawab soalan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis).
Mohamad Shahrum bertanya mengenai penguasaan bahasa Inggeris yang kurang memberangsangkan dalam kalangan pelajar Melayu walaupun institusi pengajian tinggi terutama UiTM mengajar dalam bahasa Inggeris.
Beliau berkata kementerian sentiasa menitikberatkan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan graduan universiti tempatan tanpa mengira kaum dengan mengambil beberapa langkah bagi meningkatkan mutu bahasa itu dalam kalangan pelajarnya.
Kerajaan, katanya juga menggalakkan aktiviti kokurikulum dalam bahasa Inggeris seperti melaksanakan minggu atau bulan bahasa Inggeris, debat, pengucapan awam dan perbincangan intelektual yang dikendalikan dalam bahasa itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan