MALIAH SURIP dan ZAINI SAMSU HADI
KUALA LUMPUR - Selain vokalis kumpulan Search, Amy yang mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang ejen pelaburan rupa-rupanya ramai lagi artis terkenal tanah air turut menjadi mangsa.
Walaupun pada mulanya enggan tetapi atas perasaan bimbang lebih ramai akan terpedaya, mereka tampil membuat pengakuan kepada Kosmo! Ahad semalam.
Salah seorang daripada mereka, Hattan juga menjadi mangsa dan mendakwa rakan-rakan artis yang lain turut kerugian berjuta-juta ringgit setelah wanita yang menjadi ejen skim lesap Julai lalu.
Malah beliau juga mengaku menggunakan wang berjumlah RM50,000 daripada tabung Amanah Saham Didik milik anaknya, Adam.
Walaupun kesal dengan apa yang berlaku, Hattan berharap ia menjadi teladan kepada masyarakat supaya jangan terpengaruh dengan sebarang skim pelaburan.
Semalam Kosmo! melaporkan Amy kerugian lebih RM1 juta kerana terpedaya oleh ejen tersebut.
Tempias juga terkena kepada penyanyi dan pelakon, Awie, yang rugi ribuan ringgit setelah menyertai skim pelaburan yang sama.
"Saya akui saya tertipu dan ini adalah kesilapan paling bodoh yang pernah saya lakukan. Mungkin kerana memikirkan untuk mendapat pulangan jangka pendek, saya melabur," ujarnya kepada Kosmo! Ahad.
Lebih terkejut, katanya, wanita yang menjadi ejen itu juga rupa-rupanya mempunyai empat kes polis sebelum ini.
Selain itu, penyanyi Misha Omar juga mengalami nasib yang sama selepas terpengaruh dan turut mengalami kerugian ribuan ringgit.
"Kalau nak sebut jumlah kerugian, buat sakit hati," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan