BERNAMA
HULU SELANGOR: Dua beradik mati tertimbus dalam kejadian runtuhan tanah yang menimpa sebuah banglo setingkat di Lot 110, Jalan Belida 1, Ulu Yam Perdana, di sini awal hari ini.
Dalam kejadian pada 5.30 pagi itu, Noratirah Roslan, 16, dan adiknya Nurul Intan Sarina, 9, sedang tidur dalam bilik mereka, manakala ibu bapa serta tiga adik beradik yang lain tidur di ruang tamu apabila tebing di belakang rumah berkenaan runtuh, lalu menghempap rumah itu yang dibina di atas bukit.
Ibu kedua-dua beradik itu, Azizan Madon, 42, berkata beliau bersama suaminya, Roslan Mohd Jalil, 49, dan tiga lagi anak mereka, Norlisa Azira, 8, Anis Afina, 6, dan Norman Afiq, 3, sempat menyelamatkan diri melalui bumbung rumah semasa kejadian.
Kedua-dua mayat dijumpai tengah hari ini oleh pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, SMART, Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam.
Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar mayat Noratirah pada 12.55 tengah hari. Setakat ini, mayat Nurul Intan Sarina masih belum dikeluarkan.
Ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, Azizan berkata kejadian itu berlaku dalam sekelip mata.
"Saya hanya dengar satu bunyi dentuman kuat di bahagian belakang rumah, sebelum batu dan tanah masuk memusnahkan rumah kami.
"Saya selamatkan diri melalui bumbung rumah dan lari minta bantuan pihak pengurusan resort. Suami dan tiga anak saya yang lain juga berjaya selamatkan diri ikut bumbung," katanya sambil menangis teresakesak.
Beliau berkata mereka sekeluarga mendiami banglo itu sejak tujuh tahun lepas dan ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku di kawasan tersebut.
Sementara itu, salah seorang pekerja resort, Norafifah Hanim Abd Kadir berkata beliau terkejut apabila melihat Azizan berlari sambil meminta bantuan.
"Dia hanya berpakaian tidur dan tidak memakai selipar. Saya memang kenal keluarga mangsa, suaminya bekerja sebagai juruterbang AirAsia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan