Sabtu, 22 November 2008

Malangnya Umno, bila menterinya 'gostan'

Safar Jumaat


MALANG sungguh nasib orang-orang Umno, jika mereka menjadikan Menteri Kerja Raya, Dato' Ir Mohd Zin Mohamad sebagai salah seorang calon MT Umno, yang harus diletakkan disenarai 'top five' di kalangan calon-calon yang mahu dimenangkan.

Walaupun beliau antara calon yang mendapat pencalonan tertinggi untuk bersaing dengan 72 calon lain, tetapi stail dan tindak-tanduknya kebelakangan ini, jelas menunjukkan Umno 'kerugian besar' mempunyai seorang Menteri yang berfikiran 'undur ke belakang'.

Perkataan 'undur ke belakang' terpaksa digunakan kerana, cara dia bertindak dan berfikir, dua kali rugi.

Itulah sebabnya perkataan undur dan ke belakang terpaksa digunakan, sedangkan semua orang tahu, yang mengundur itu, memang sudah tentu ke belakang kecuali orang yang berjalan 'gostan', jika mereka mengundur, baru ke depan.

Mengumumkan diskaun yang Plus berikan, bermula tahun depan, dengan menyertakan waktu diskaun itu diberikan, iaitu 12 tengahmalam hingga 7 pagi, seolah-olah mahu memberi tetapi takut rugi.

Nantinya, jika ada yang bising, mereka akan kata, inilah manusia, tidak pernah mahu bersyukur. Sudah diberikan diskaun, yang tidak seberapa tetapi diberikan waktu yang paling tidak munasabah. Adalah lebih baik, jika mereka mengurangkan hanya 1 peratus, tetapi tidak mengira waktu, daripada mereka memberikan 10 peratus, tetapi ada waktu tertentu, yang mereka tetapkan.

Kenapa harus berfikiran begini? Nasib baiklah Menteri ini, yang dulunya pernah menjadi Timbalan Menteri di Kementerian yang sama, tidak bertanggungjawab menjaga harga minyak.

Jika tidak, mungkin dia akan membuat pengumuman serupa, minyak diturunkan pada harga sekian-sekian, dengan syarat, diisi pada waktu sekian-sekian.

Budak-budak pun akan tertawa, jangan kata para pengguna lebuh raya. Walaupun mereka harus bersyukur dengan penurunan itu, tetapi kenapa waktunya, tengah malam dan menjelang subuh? Apakah rasionalnya jika bukan kerana, mahu menderma, tetapi sayang harta?

Mohd Zin mungkin teringin mencari populariti menjelang pemilihan Umno. Lebih-lebih lagi, duduk di Kementerian Kerja Raya, Kementerian yang banyak projek tetapi tidak boleh diagih-agihkan sesuka hati, menyebabkan Mohd Zin mula merasa, susah untuk dia menang pemilihan Umno kali ini.

Sebagai bekas Exco Pergerakan Pemuda yang kurang popular, Mohd Zin sebenarnya bernasib baik menjadi Menteri penuh, kerana ramai yang berpotensi menjadi Menteri, kalah dalam PRU 12 yang lalu.

Keinginan Mohd Zin menjadi Menteri di Kementerian Kerja Raya sebenarnya sudah pernah menguris hati bekas Menteri yang lalu, Dato' Seri Samy Vellu, hingga menyebabkan Samy Vellu pernah mengeluarkan kenyataan,

"Apa...kalau dia jadi Menteri, hujan tidak turun? Tanah tidak runtuh, kemalangan tidak berlaku...

Satu perkara lagi, Mohd Zin jangan ingat dia diterima secara mudah oleh perwakilan Umno kali ini.

Stailnya yang agak 'kasar dan tidak mudah mesra' menyebabkan ada usaha mahu mengalahkannya dalam pemilihan nanti.

Dia berbeza dengan seorang lagi Menteri dari Selangor, Dato' Noh Omar. Noh juga kasar tetapi Noh 'mesra pelanggan'.

Noh, mudah didekati mungkin kerana pengalamannya dalam Gerakan Belia sebelum aktif dalam politik.

Walaupun Mohd Zin tersenyum girang di samping Pengarah Urusan Plus Expressways, Noorizah Abdul Hamid ketika membuat pengumuman bahawa pemandu kenderaan ringgan (Kelas 1) yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Ekspres Lingkaran Tengah (Elite) berpeluang menikmati diskaun dan rebat bayaran tol sehingga 25 peratus, mulai tahun depan, tetapi senyuman Mohd Zin itu tidak menyentuh hati perwakilan Umno sebenarnya.

Walaupun diskaun itu bukan hanya kepada orang-orang Umno, tetapi dalam suasana kempen yang berpanjangan Pemilihan Umno Mac depan, tindak-tanduk para pemimpin, khususnya yang mahu menawarkan diri bertanding, menjadi bahan ujian.

Mohd Zin sudah menjadi bahan perbualan di bawah, seorang Menteri yang tidak mesra. Dia hanya baik, ketika pemilihan ada dan kurang baik, bila tarikh pemilihan jauh lagi.

Ini cerita orang Umno di bawah dan bukan cerita yang direka-reka. Ada yang mengatakan, mereka akan pastikan Mohd Zin tersungkur kali ini, bagi mengulangi sejarah, setiap kali pemilihan memang ada dua tau tiga orang berjawatan Menteri, kalah!

Mohd Zin tentunya tidak lupa, seorang Menteri dari Selangor tewas dalam pemilihan Umno tahun 2004. Menteri itu, Dato' Dr. Mohd Shafie Salleh ketika itu adalah Menteri Pengajian Tinggi dan kemudiannya digugurkan dari Kabinet.

Kali ini, ada tiga Menteri dari Selangor yang bertanding, seorang bertanding jawatan Timbalan Presiden dan dua lagi, termasuk Mohd Zin bertanding MT. Dari senarai 73 yang merebut jawatan MT, tidak mustahil Mohd Zin akan diletakkan nombor 30, sedangkan yang dikira menang, dari undi tertinggi pertama, hinggalah undi tertinggi ke 25.

Semua orang tahu, bekas Ketua Umno Bahagian Jerai, Dato' Paduka Badaruddin Amiruldin pernah mengeluh dengan kawan-kawannya, menceritakan betapa susahnya meminta pertolongan dari Mohd Zin.

Alasannya, tidak siapa yang tahu tetapi cakap-cakap Badaruddin itu sudah mula merebak di kalangan ketua-ketua bahagian,walaupun dari jumlah pencalonan, Mohd Zin merasakan dia selesa.

Tidak mustahil juga, masalah yang timbul antara Badaruddin dengan Mohd Zin sudah diselesaikan, tetapi cakap-cakap yang merebak, dari mulut ke mulut, seperti tidak ada empangan yang mampu menyekatnya.

Sebagai seorang jurutera, Mohd Zin tentunya tahu bagaimana harus 'empangan' dibuat dan bagaimana mahu menyekat arus yang deras itu.

Kalau dengan latar belakang jurutera, mempunyai seorang ketua bahagian di pejabatnya sebagai Setiausaha Politik dan seorang Exco Pergerakan Pemuda dilantik menjadi Pegawai Khas Menteri Kerja Raya, lemah sangatlah Mohd Zin jika dia gagal membuat empangan bagi menyekat serangan yang bertali arus ini terhadap dirinya.

Kecuali, dia memang sudah bersedia untuk kalah, kerana dia juga berfikiran, cukuplah dia berjaya menjadi Menteri Kerja Raya, dari kalangan Umno kerana cukup lama Kementerian Kerja Raya dikuasai bukan dari kalangan pemimpin Umno.

Jika itu hujahnya, para perwakilan bolehlah menafikan undi dan sokongan kepada Mohd Zin yang disifatkan sebagai 'kurang mesra pelanggan' . - mks._

Tiada ulasan: