Selasa, 25 November 2008

Subjek vokasional akan diperkenalkan ke semua sekolah mulai 2010

BERNAMA


PORT DICKSON — Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan mata pelajaran Vokasional (MPV) kepada semua penuntut tingkatan satu di sekolah menengah biasa mulai 2010, kata Timbalan Menterinya, Datuk Razali Ismail.

Katanya, sebelum ini MPV hanya diajar di sesetengah sekolah menengah biasa dan itu pun hanya melibatkan pelajar tingkatan empat.

“Pelajaran vokasional yang melibatkan kemahiran ini akan membolehkan pelajar membina kebolehan mereka. Pelajar akan mempunyai pilihan untuk cemerlang dalam bidang kemahiran jika mereka didapati tidak berminat dalam ilmu akademik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Guru-guru Vokasional dan Kemahiran di sini hari ini.

Katanya, pengenalan MPV juga akan mengurangkan masalah disiplin kerana pelajar akan tertumpu kepada kegiatan kemahiran dan tidak kepada teori akademik semata-mata.

“Kita sebenarnya sudah terlambat, di Australia, subjek berdasarkan kemahiran ini telah dimulakan dari sekolah tadika lagi,” katanya.

Razali berkata, kajian awal kementerian itu mendapati MPV senang menarik minat pelajar-pelajar untuk cenderung kepada sekolah dan berada dalam kelas itu.

Tiada ulasan: