Oleh Faiza Zainudin
KUALA LUMPUR: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, berkata persetujuan peralihan kuasa dilakukan pada Jun tahun depan bukan kerana beliau mahukan jawatan Kabinet.
Katanya, jawatan dalam Kabinet bukan atas permintaan atau pilihan sesiapa, sebaliknya bergantung kepada budi bicara Perdana Menteri.
"Saya mengekalkan peralihan kuasa pada Jun 2009 semata-mata untuk memperkuatkan Wanita Umno, kerana kita mendapati, selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-12, kekuatan Wanita Umno sudah terlalu berkurangan.
"Ketika mengumumkan pelan peralihan, saya tidak cakap 2010 (pelan asal peralihan kuasa antara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak.
"Jika dia (Perdana Menteri) nak saya sebagai menteri, kalau tak nak, tak apa, tidak ada masalah. Buat apa saya fikir macam itu. Jika tidak ada jawatan, tidak boleh berkhidmat?
"Saya masih bekerja, walaupun bukan menteri. Bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), saya masih buat rangka kerja strategik," katanya selepas sesi pertemuan dengan pemimpin Wanita Umno di pejabatnya di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Penerangan Wanita Umno, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin; Ketua Wanita Umno Johor, Datuk Halimah Mohd Sadique dan Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid.
Rafidah yang menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat keputusan berhubung jawatan berkenaan pada pemilihan Mac akan datang berkata, tumpuannya kini adalah untuk membantu Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan pada PRU-13 akan datang.
Beliau yang kelihatan ceria dan bersemangat berkata, tidak mahu memikirkan tanggapan pelbagai pihak yang membuat pelbagai tuduhan terhadapnya apabila terus mempertahankan hasrat bertanding.
Bagaimanapun, katanya, beliau kecewa dengan tindakan Shahrizat kerana boleh memecah-belahkan perpaduan pergerakan itu.
Bekas menteri Kabinet itu juga tidak mahu memikirkan soal kalah atau memang dalam pemilihan itu kerana baginya itu semua adalah ketentuan Allah.
"Jangan mendahului Allah, takbur... ini urusan Tuhan, saya tidak pernah fikir itu semua, sampai 24 Mac, saya terima apa saja," katanya.
Sementara itu, Shahrizat berkata, pergerakan itu perlu mewujudkan visi dan misi serta pelan strategik dan tindakan sebagai asas perjuangan masa kini bagi memastikan Wanita terus relevan dalam konteks politik semasa.
"Wanita sarat dengan pengalaman, potensi, dedikasi dan komitmen untuk kembali semula menjadi suara utama bukan hanya untuk wanita Islam, tetapi untuk keseluruhan rakyat.
"Saya berminat menentukan isu wanita dan keluarga diperjuangkan dengan cara lebih terancang. Suara kita mesti tegas memperjuangkannya supaya lebih ramai wanita diberi tempat dalam membuat keputusan, sama ada dalam parti, kerajaan atau luar kerajaan selaras polisi sekurang-kurangnya 30 peratus wanita mesti ada di kedudukan membuat keputusan yang diperjuangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan