Khamis, 27 November 2008

IPTA bazir banyak wang kerajaan

Oleh Wan RAMLI WAN MUHAMAD


KUALA TERENGGANU - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini didakwa membazirkan banyak wang kerajaan apabila hanya lima peratus bahan penyelidikan yang dihasilkan pensyarah atau penyelidik setakat ini benar-benar dimanfaatkan.

Menurut Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Seri Dr. Ibrahim Abu Shah, sebahagian besar penyelidikan yang tidak dimanfaatkan kini tersimpan di stor dan tidak digunakan untuk pembangunan negara.

Beliau hairan mengapa keadaan itu berlaku sedangkan mengikut pemerhatiannya, banyak penyelidikan tersebut mempunyai nilai komersial.

''Pada saya kemungkinan perkara ini berlaku kerana ramai pensyarah atau penyelidik melakukan penyelidikan hanya untuk mendapat kenaikan pangkat tanpa menyedari ia bermanfaat jika dikomersialkan.

''Ini satu pembaziran wang kerajaan. Kalau pensyarah nak buat penyelidikan, buatlah tetapi bukan semata-mata untuk kenaikan pangkat. Ia tidak berfaedah," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Ekonomi dan Perniagaan Antarabangsa Terengganu 2008 (Tibec 2008) di sini hari ini.

Hadir sama Pengurus Besar Perhubungan Strategik Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Wan Ismail Wan Yusoh; Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Terengganu (DPMMT), Datuk Ir. Tengku Ismail Tengku Jaaffar dan pegawai kanan UiTM.

Mengulas lanjut Ibrahim berkata, menyedari hakikat itu, UiTM kini mahu semua pensyarah dan penyelidik di institusi tersebut agar melakukan banyak penyelidikan untuk dikomersialkan.

Menurutnya, UiTM juga akan mewajibkan semua pensyarah mengkomersialkan penyelidikan tanpa mengambil kira kenaikan pangkat masing-masing.

''Kalau ini kita amalkan, ia bukan sahaja membantu kerajaan malah memesatkan lagi sektor perniagaan dan pertumbuhan ekonomi negara.

''Kita boleh buat kerjasama dengan golongan usahawan dan mereka yang berminat boleh memajukan hasil penyelidikan yang kita lakukan," katanya.

Tiada ulasan: