Jumaat, 28 November 2008

Sudahkah Kelantan bersedia menerima pengunduran Nik Aziz?

BERNAMA


KOTA BAHARU: Pengumuman mengenai pengunduran Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dari arena politik bukanlah yang pertama dibuat olehnya kerana sebelum ini sudah beberapa kali beliau melahirkan hasrat itu atas faktor kesihatan.

Berikutan itu, timbul isu di kalangan pemimpin Pas yang mula mempersoalkan selama mana Mursyidul Am Pas itu akan bertahan dan siapa akan menjadi penggantinya.

"Faktor ini menjadikan Pas mahupun rakyat Kelantan enggan memikirkankanya kerana di hati mereka tiada pemimpin yang sebijak dan merendah diri seperti Tok Guru (Nik Abdul Aziz) selain berani kerana agama," kata seorang ahli Pas yang enggan menyatakan identitinya. Kesan pengunduran Menteri Besar itu, yang menerajui Kelantan sejak 1990, juga akan mempengaruhi sentimen penyokong tradisi Pas di Kelantan dan menggugat kedudukan Pas, katanya.

Isu pengunduran Nik Abdul Aziz, 77, timbul berikutan laporan sebuah akhbar mingguan bahawa beberapa wakil rakyat daripada parti itu mahu beliau meletak jawatan "pada masa gemilang beliau" dan memberi laluan kepada pemimpin muda parti itu bagi menerajui kerajaan Kelantan.

Malahan, menurut laporan Mingguan Watan itu, golongan berkenaan mahu Nik Aziz yang dianggap sudah berumur dan mengalami masalah kesihatan, menyediakan pelan peralihan kuasa segera kerana kerap berlaku mesyuarat penting membabitkan keputusan segera kerajaan negeri terpaksa ditangguh kerana beliau berada di hospital.

Reaksi daripada laporan akhabar itu Nik Abdul Aziz berkata beliau "tidak sabar" untuk melepaskan jawatan itu jika Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan dari Pas memintanya berbuat demikian.

Tetapi keadaan politik semasa masih tidak membolehkan beliau untuk melepaskan jawatan yang disandangnya selama lebih 18 tahun.

Malahan bagi Setiausaha Politik Menteri Besar itu Anual Bakri Harun ketika dihubungi Bernama berkata adanya pihak yang cuba memburukkan nama Menteri Besar ketika waktu gemilangnya.

"Isu (pengunduran) itu tidak pernah timbul pada masa kini dan tiada siapa pun yang mahukan tok guru berundur. Laporan akhbar itu tidak tepat dan tidak profesional," katanya.

Perkara itu turut disokong oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat yang menafikan wujudnya desakan daripada kalangan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas supaya Nik Abdul Aziz berundur dari jawatannya.

Malahan beliau, yang juga ADUN Pulai Chondong, berkata pihaknya mahukan Mursyidul Am Pas itu agar dipanjangkan umur supaya boleh mentadbir kerajaan negeri lebih lama.

Begitu pun, masih ada pihak, yang berpayung di bawah Pas, meminta Nik Abdul Aziz supaya berani membuat keputusan tanpa menunggu desakan terlebih dahulu.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali percaya keputusan itu akan mendapat sokongan semua pihak kerana sebagai pemimpin yang tidak memiliki kesihatan yang baik, ia akan menjejaskan urusan pentadbiran negeri.

Ibrahim berkata, secara peribadi, Nik Abdul Aziz perlu mementingkan kesihatannya kerana ia juga ada kaitan dengan pentadbiran kerajaan negeri. Mursyidul Am Pas itu memahami bahawa kudrat beliau untuk memimpin semakin berkurangan sehingga timbulnya desakan berundur dan golongan ini sebenarnya bukan tidak menghormati Nik Abdul Aziz.

Sebaliknya mereka bimbang pemimpin yang disanjung oleh penyokong Pas itu akan menjadi bebanan kepada parti tersebut kerana gagal mentadbir Kelantan dengan baik dan sering mengeluarkan kenyataan kontroversi.

Menurut sumber parti, beliau mengakui selama ini Pas bertahan di Kelantan kerana Menteri Besar itu dan penyokong Pas Kelantan tidak melihat calon lain yang lebih layak untuk meneruskan kepimpinan ulama di negeri itu selain Nik Abdul Aziz.

"Jika beliau berundur, ia sudah pasti akan menggugat kekuatan Pas, apatah lagi sepanjang tempoh 18 tahun beliau tidak pernah mengumumkan atau menonjolkan barisan pelapis bagi menggantikannya," katanya. Namun kini Nik Abdul Aziz sendiri mengakui beliau mempunyai beberapa calon penggantinya tetapi enggan mendedahkannya dan beliau berharap penyokong Pas faham hakikatnya tidak timbul kesukaran bagi Pas mencari pengganti kepada dirinya.

"Saya tak boleh sebut siapa pengganti saya, sama macam ketika (Bekas Presiden Pas) Datuk Asri (Muda) dulu, tak ada siapa jangka saya yang ganti.

"Kalau saya sebut, bermakna hanya seorang, bagaimana yang lain. Tiap-tiap seorang ada kelebihan sendiri dan saya serahkan kepada Perhubungan Pas. Timbalan-timbalan saya semua berkebolehan," katanya.

Tiada ulasan: