Ahad, 29 Oktober 2017

ADUN Tanjung Bungah bakal tinggalkan DAP

MALAYSIAKINI



Mengakui tidak sependapat dengan pemimpin parti seorang wakil rakyat DAP di Pulau Pinang menyatakan untuk berundur dari parti itu tidak lama lagi.

Bagaimanapun Teh Yee Cheu memberitahu tindakan berkenaan akan diambil selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan.

"Saya tidak sealiran dengan kepimpinan parti. Tidak ada reformasi. Sekarang masa untuk saya beredar," katanya seperti dipetik The Star hari ini.

Menurut laporan berkenaan, anggota DUN Tanjung Bungah itu memberitahu dia akan kekal sebagai wakil rakyat DAP sehingga tempoh mandat yang diberikan kepadanya tamat.

"Disebabkan rakyat mengundi saya sebagai orang DAP, saya akan bercakap seperti orang DAP," katanya.

Mengenai masa depannya Teh berkata dia akan kekal dalam politik walaupun bakal meninggalkan DAP tetapi yakin tidak akan menyertai mana-mana parti yang mesra dengan BN.

Isu alam sekitar

Katanya dia juga tidak bercadang menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan, apa lagi menjadi calon bebas.

"Keadaan itu meletakkan saya di jalan yang sempit, tetapi saya tak boleh beritahu kamu sekarang kerana saya masih anggota DAP," katanya.

Sejak menjadi ADUN Teh memang selalu menyatakan pandangan yang tidak sehaluan dengan pendirian partinya.
 Antara isu yang mendapat perhatian Teh ialah mengenai projek pembangunan di lereng bukit di Pulau Pinang.

Tragedi tanah runtuh di projek pembangunan di Tanjung Bungah - yang mengorbankan 11 orang pada 21 Okt lalu - sekali lagi membawa perhatian ramai kepada Teh.

Sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-13 pada 2013 lalu DAP sudah kehilangan lapan wakil di DUN serta parlimen.

Antaranya ialah ADUN Luyang, Hiew King Cheu, yang menyertai MCA selepas meninggalkan DAP pada Sept 2013 dan Junz Wong (ADUN Likas) yang menyertai Parti Warisan Sabah.

Pada Ogos lalu ADUN Kepayan, Edwin Bosi, juga meninggalkan DAP dan kekal menjadi wakil rakyat bebas setakat ini.

Ketiga-tiga mereka ialah ADUN di Sabah.

Di Melaka Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him bersama tiga ADUN - Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang) - turut meninggalkan DAP pada Februari lalu.

Harakah: Bekas mufti Kedah antara 3 tokoh sertai PAS

MALAYSIAKINI



Bekas mufti Kedah, Datuk Sheikh Muhammad Baderudin Ahmad antara tiga tokoh yang diumum menyertai PAS sempena himpunan 12K Jentera Pilihan Raya PAS Kedah hari ini.

Selain Sheikh Muhammad Baderudin, turut diisytihar menyertai PAS ialah bekas pegawai Majlis Agama Islam Kedah, Sheikh Mohd Uzaidz Baharom dan bekas Penolong Pengarah Jakim, Mahadir Mohd Noor.

Bagaimanapun, Harakahdaily melaporkan Sheikh Muhammad Baderudin dan Sheikh Mohd Uzaidz tidak dapat hadir pada himpunan yang diadakan di Kompleks PAS Kedah, Kota Sarang Semut itu kerana tugasan lain.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada Sheikh Muhamad Baderudin dan Sheikh Mohd Uzaidz menjadi ahli atau hanya  'menyertai' PAS bagi menunjukkan sokongan mereka.

Ini berikutan awal September lalu, PAS turut mengumumkan beberapa tokoh ternama akan menyertai parti itu pada himpunan Fastaqim 2.0 yang diadakannya di Terengganu.

Namun pengumuman itu berakhir dengan hanya pengisytiharan sokongan beberapa tokoh berkenaan terhadap PAS.

Ketua penerangan PAS, Nasarudin Hasan kemudian berkata maksud  'bersama' atau 'menyertai' perjuangan PAS tidak semestinya menjadi ahli.

Sementara itu, Mahadir berkata beliau tertarik menyertai PAS kerana pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang dilaksanakan PAS dan beberapa pendekatan lain.

"Ikhlas saya katakan, ahli-ahli dan pemimpin PAS ini ikhlas dan penat lelah mereka tidak mengharapkan bayaran atau ganjaran," ujar beliau.

Beliau juga yakin PAS akan beroleh kemenangan memandangkan gelombang momentum rakyat berpihak kepada parti itu termasuk mendapat sokongan golongan muda.

"Saya juga menyokong penuh PAS bertanding sendirian kerana PAS mempunyai kekuatannya tersendiri dan mampu menarik sokongan rakyat," tambahnya lagi.

Mahadir menerima sijil keahlian PAS dari Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada himpunan yang dilapor disertai sekitar 15,000 ahli PAS itu

Isu Syiah : Adakah Mat Sabu Sudah Saman Zahid Hamidi – Dr Kamarul





Sudah hampir empat tahun lamanya Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, menyatakan beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi kerana mendakwa beliau adalah seorang pengikut ajaran Syiah.

Apa sudah jadi dengan kenyataan ini? Sudahkah tindakan undang-undang diambil terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi? Kalau tidak, berdasarkan logik sesetengah pihak, apakah ini bermakna Mohamad Sabu memang pengikut Syiah?

Isu Syiah: KDN Fitnah, Saya Akan Saman Zahid & Abdul Rahim – Mat Sabu
Diterbitkan: Jumaat, 13 Disember 2013 12:00 AM

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana mendakwa dia seorang pengikut ajaran Syiah.

Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata tindakan serupa juga akan diambil terhadap Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi kerana didakwa mengemukakan ‘bukti’ yang memfitnahnya.

“Saya telah menghubungi peguam untuk mengambil tindakan selanjutnya terhadap fitnah Naib Presiden Umno dan KSU Kementerian Dalam Negeri terhadap saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Mat Sabu berkata beliau yakin bukti yang didedahkan KDN pada Khamis adalah satu fitnah yang cuba menjatuhkan imej dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin nombor dua PAS.

“Kita yakin sidang media pendedahan bukti yang mendakwa saya pengamal ajaran syiah itu dibuat lanjutan daripada kenyataan Ahmad Zahid dalam ucapan penggulunggan di Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

“Kenyataan beliau memang tidak bertanggungjawab. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan dalam satu kes membanteras jenayah seperti, ‘tembak dulu, baru siasat’,” katanya.

Mat Sabu menegaskan kenyataan Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut memberi imej buruk kepada kerajaan dan negara ini.

Pada Khamis, Abdul Rahim dalam satu sidang media mendedahkan beberapa bukti yang mengaitkan Mat Sabu sebagai seorang pengikut ajaran Syiah.

Antara lain, beliau mendakwa Mat Sabu sering membaca ‘Selawat’ mengikut ajaran Syiah serta menyatakan rasa kagumnya terhadap kepimpinan dan perjuangan ulama Syiah Iran, Imam Khomeini yang merupakan ikon mazhab tersebut.

Dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Ahmad Zahid mendakwa pemimpin nombor dua PAS cenderung dan terlibat fahaman syiah.

Abdul Rahim juga berkata Mat Sabu semasa mengulas perutusan Hari Krismas pada 2008 bagi penganut Kristian di Malaysia, turut menggunakan pendekatan Imam Khomeini sebagai terma rujukan untuk meraih sokongan politik dan agenda perpaduan di mana kenyataan itu dimuatkan dalam Harakah Daily pada 25 Disember 2008.

Bukan itu sahaja, Abdul Rahim mendakwa Mat Sabu secara terang-terangan turut memuji Pemimpin Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah dan mengaku beliau serta isterinya bertemu dengan pemimpin Syiah berkenaan lebih daripada empat kali.

Beliau turut mendakwa seorang tokoh agama juga pernah menjelaskan Mat Sabu merupakan salah seorang penganut Syiah kerana beliau sendiri beberapa kali pernah melihat pemimpin PAS itu menunaikan solat menggunakan sebiji batu kecil leper di tempat sujudnya dan amalan tersebut cukup sinonim dengan kumpulan Syiah.

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2013/12/13/isu-syiah-kdn-fitnah-saya-akan-saman-zahid–abdul-rahim–mat-sabu/

Dr Kamarul Zaman Yusoff,
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),Universiti Utara Malaysia (UUM).

DAP ramal Najib ganti Anwar lepas PRU14

MALAYSIAKINI



Sehari selepas belanjawan negara dibentang Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat sekumpulan penyokong pembangkang berkumpul di majlis makan malam anjuran DAP di Sungai Siput, Perak malam tadi.

Dengan bayaran RM100 seorang mereka menghadiri majlis itu yang diisi dengan ceramah beberapa tokoh parti.

Mesej yang disampaikan adalah konsisten - bagaimana belanjawan tahun depan mengikut tafsiran mereka serta betapa ia meniru sejumlah dasar yang digariskan oleh Pakatan Harapan dua hari sebelum Najib membentangkan "ibu segala bajet" itu.

Namun apa yang lebih mengujakan kira-kira 500 hadirin pada malam tadi ialah kenyataan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming bahawa Bajet 2018 ialah yang terakhir buat Najib.

"Tahun depan apabila kita mengubah kerajaan, dia (Najib) akan menjadi sama ada pemimpin pembangkang atau bercuti dalam (penjara) Sungai Buloh," katanya di Dewan Orang Ramai Kampung Rimba Panjang itu.

Kenyataan itu disambut dengan sorakan dan tepukan gemuruh peserta majlis makan malam berkenaan.

Bukti pembangkang sudah sedia

Najib yang juga menteri kewangan membentangkan belanjawan negara berjumlah RM280.25 bilion - berbanding jumlah pendapatan negara RM239.9 bilion - di Dewan Rakyat pada 27 Okt lalu.

Menurut kementerian kewangan kekurangan itu akan ditampung melalui kaedah pinjaman.

Daripada jumlah yang diperuntukkan itu RM234.25 bilion ialah untuk perbelanjaan mengurus manakala RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

Ia tidak termasuk simpanan luar jangka bernilai RM2 bilion.
 Antara inti pati utama belanjawan itu ialah kerajaan memansuhkan kutipan tol di empat lokasi - masing-masing satu di Johor dan Kedah, manakala dua lagi di Selangor - dan cukai lebih rendah untuk individu memperoleh pendapatan RM20,000 hingga RM70,000

Bagaimanapun bayaran untuk skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dikekalkan untuk kali pertama sejak ia diperkenalkan beberapa tahun lalu.

Berbanding apa yang dibentang Najib, Pakatan Harapan (HARAPAN) berikrar menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta mengembalikan cukai jualan dan perkhidmatan.

HARAPAN juga menjangkakan kenaikan jualan kereta sebanyak 20 peratus berikutan pemansuhan GST, yang akan menyumbang RM1.93 bilion kepada hasil melalui pengumpulan cukai import, eksais dan lesen kenderaan bermotor.

 
Bercakap dalam bahasa Cina Nga mengaitkan Najib dengan tuduhan salah laku dan rasuah walaupun perdana menteri menafikannya.
 Mendakwa Bajet 2018 oleh Najib meniru apa yang dirangka HARAPAN  Nga berkata itu membuktikan pembangkang kini benar-benar bersedia menjadi kerajaan.

"Mereka (kerajaan BN) meniru semuanya. jadi apakah makna semua ini?

"Pembangkang sekarang sudah bersedia menjadi kerajaan, dan BN bersiap-siap menjadi pembangkang," kata Nga yang juga anggota parlimen Taiping.

Bersetuju dengan pandangan itu Penolong Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching pula meramalkan Najib akan menggantikan tempat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Teo juga berharap Nga serta Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham menjadi menteri jika HARAPAN berjaya mengetepikan BN pada PRU ke-14 nanti.

"Saya pula jika ada peluang, berharap boleh menggantikan Chong Sin Woon (wakil MCA yang kini menjadi timbalan menteri pendidikan)," katanya.

JDT juara Liga Super kali ke-4 berturut-turut

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pahang mengesahkan kedudukan mereka selaku naib juara Liga Super musim ini walaupun seri 1-1 menentang Perak pada aksi terakhir liga di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi.
 
Keputusan berkenaan menyaksikan skuad Tok Gajah mengutip 42 mata berbanding pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengutip 49 mata.
 
Untuk rekod, JDT berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super untuk musim ke-4 berturut-turut lebih awal pada aksi ke-19 liga, 5 Ogos lepas.
 
Pada aksi di Kuantan, Pahang berjaya mendahului perlawanan menerusi jaringan pembukaan D. Christie Jayaseelan pada minit ke-23 sebelum Mohamad Nasir Basharudin menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat pada minit ke-78.
 
JDT pula mencatat keputusan seri menentang Kedah pada aksi ‘praperlawanan akhir Piala Malaysia’ di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
 
Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, 4 November ini.
 
Felda United pula menamatkan saingan di tempat ketiga setelah mengatasi PKNS FC 4-2 di Stadium Shah Alam,
 
Pemain import dari Brazil, Thiago Augusto Fernandes muncul wira skuad ‘The Fighters’ apabila melakar jaringan hatrik pada minit ke-50, minit ke-73 dan masa kecederaan babak kedua perlawanan serta gol daripada Zah Rahan Krangar pada penghujung babak perlawanan.
 
Dua gol pasukan PKNS FC disumbangkan oleh Shahrul Azhar Ture pada minit ke-23 dan Abdou Jammeh pada minit ke-90.
 
Turut meraih tiga mata adalah Selangor yang mengalahkan Pulau Pinang 3-1 di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.
 
Tiga gol skuad Gergasi Merah dijaringkan oleh Andik Vermansah pada minit ke-25, Rufino Segovia Del Burgo pada minit ke-50 dan minit ke-61 manakala pasukan tuan rumah berjaya meraih gol saguhati menerusi Muhd Jafri Muhd Firdaus Chew pada minit ke-48.
 
Dalam pada itu, Kelantan terselamat daripada tersingkir ke saingan Liga Perdana, musim depan setelah menang selesa 3-1 ke atas Melaka United di Stadium Hang Jebat, Melaka.
 
Pasukan tuan rumah, bagaimanapun, mendahului perlawanan menerusi jaringan pembukaan Nicholas Ryan Swirad pada minit ke-30 sebelum Kelantan bangkit meraih 3 gol hasil jaringan Abou Bakr Al Mel pada minit ke-74 dan 2 gol daripada Alessandro Padovani Celin pada minit ke-81 dan minit ke-87.
 
Sarawak pula sah mengiringi Pulau Pinang ke saingan Liga Perdana, musim depan setelah seri tanpa jaringan dengan T-Team di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching.
 
 

Putrajaya kaji dasar had usia kenderaan elak kemalangan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BENTONG: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji kesesuaian mewujudkan dasar tamat hayat kenderaan yang akan menetapkan had usia kenderaan, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.
 
Beliau berkata ketetapan itu diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan disebabkan faktor usia kenderaan, seperti kemalangan dua bas kilang berhampiran Plaza Tol Juru, Pulau Pinang pada 24 Oktober lalu yang menyebabkan lapan maut.
 
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah bas yang berhenti di tepi jalan akibat kerosakan dalam kemalangan itu telah berusia 32 tahun manakala sebuah lagi bas berusia melebihi 10 tahun.
 
“Walaupun siasatan awal mendapati kedua-dua bas itu lulus pemeriksaan Puspakom pada September lalu, namun kita tidak tahu jika kenderaan itu rosak selepas menjalani ujian, terutamanya bas yang usianya sudah terlalu lama.
 
“Sebab itu, kita melihat isu berkaitan usia kenderaan merupakan perkara besar dalam aspek keselamatan jalan raya dan perkara ini telah dipraktikkan di negara lain seperti Jepun dan Singapura atas sebab keselamatan,” katanya.
 
Beliau menambah dasar baru itu juga, jika dilaksanakan akan melibatkan kerjasama daripada Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli untuk melupuskan kenderaan yang telah ditamatkan hayatnya mengikut cara yang sepatutnya dan mesra alam sekitar.
 
“Ketiadaan dasar ini menyebabkan kereta lama yang sudah berusia 30, 40 tahun tersadai begitu sahaja atau dipotong. Sebab itu kita mahu adakan kajian kesesuaian dasar ini yang diharapkan dapat selesai dalam tempoh masa sesuai,” katanya.
 
Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan mendengar pandangan rakyat dan semua pihak berkepentingan dalam isu tersebut supaya pelaksananaanya tidak membebankan mana-mana pihak kerana matlamatnya ialah menjamin keselamatan.
 
“Kita tidak mahu memaksa atau buat rakyat berasa dipaksa…sebab itu kita akan libatkan mereka dalam kajian ini. Antara cadangan yang difikirkan ialah supaya dasar ini dilaksanakan secara sukarela.
 
Beliau menambah keutamaan dasar itu akan diberikan kepada kenderaan berat dan yang melibatkan ramai orang seperti bas atau lori dan berharap dasar itu mendapat sambutan baik, jika dilaksanakan secara sukarela

Porsche terbakar

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Seorang pemandu sebuah kereta mewah jenis Porsche 944 terselamat selepas kereta itu terbakar di Jalan Padu Mutiara Kemuning, Seksyen 25, di sini, pagi tadi.
 
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul, berkata kejadian kira-kira jam 7.35 pagi itu disedari oleh pemandu kereta berkenaan yang berasakan kuasa keretanya berkurangan dan terlihat asap dari arah enjin.
 
"Pemandu yang berusia 44 tahun terus menghentikan keretanya di tepi jalan dan menghubungi bomba pada jam 7.40 pagi.
 
"Lapan anggota dari Balai Bomba Shah Alam dikerahkan ke lokasi kejadian. Sejurus tiba di lokasi kejadian, didapati sebuah kereta jenis Porsche model 944 sedang terbakar dan operasi memadam api mengambil masa selama 20 minit," katanya ketika dihubungi.
 
Mohd Sani berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
 
 

Parti memang baru tapi pemimpin Amanah orang lama, kata Syed Ali

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Amanah tidak boleh menggunakan alasan usia parti itu masih 'hijau' ekoran prestasi hambarnya biarpun sudah menginjak usia dua tahun sejak ditubuhkan pada September 2015.
 
Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee berkata, walaupun Amanah sebuah parti baru, namun barisan pemimpin mereka adalah 'orang lama' dan 'bukan calang-calang'.
 
"Walaupun Amanah parti baru, PPBM parti baru tapi (pemimpin mereka) orang lama yang ada pengalaman yang masuk ke dalam parti tersebut. Jadi mereka tak boleh kata 'tak boleh bandingkan' (dengan PAS) kerana yang masuk (Amanah) orang lama-lama.
 
"Mat Sabu ada, Salahuddin Ayob, Khalid Samad jadi mereka ni semua pemimpin-pemimpin berpengalaman. Jadi kenalah buktikan. Kenapa pula tak boleh nak bandingkan mereka. Mereka bukan orang baru, mereka orang lama dalam politik.
 
"Parti saja baru (tapi pemimpin) semua orang lama," katanya kepada Antarapos dalam satu temubual baru-baru ini.
 
Amanah dibarisi bekas pemimpin PAS yang pernah menjawat jawatan tinggi dalam parti itu, antaranya bekas Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, bekas Naib Presiden, Salahuddin Ayob, bekas AJK PAS Pusat, Khalid Samad dan beberapa individu lagi.
 
Dengan pencapaian yang pernah dilakar dalam PAS, pemimpin tertinggi Amanah sepatutnya mampu untuk membawa parti itu ke tahap yang boleh dibanggakan sekaligus memberi saingan sengit kepada parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Namun sehingga kini Amanah gagal meyakinkan rakan komponen mereka iaitu PKR dan DAP bahawa prestasi mereka setara dengan PAS. 
 
Sementara itu menjawab hal berkenaan, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayob mempertahankan bahawa parti itu berjaya mengumpul sekitar 80,000 orang ahli dengan lebih 60 cawangan seluruh Malaysia dalam masa dua tahun.
 
"Perbandingan itu satu cabaran yang positif tetapi perlu diingat umur kami baru dua tahun, PAS telah lebih daripada 60 tahun. 
 
"Oleh itu kejayaan kami pada hari ini mengadakan konvensyen dengan perwakilan hampir 800 orang, saya kira itu satu pencapaian yang amat pantas dan prestasi kita agak laju dalam tempoh dua tahun," ujar Sallahuddin.
 
Malah beliau meminta rakyat memberi peluang kepada Amanah untuk membuktikan bahawa parti itu mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan parti-parti yang lain.
 
"Cuba bayangkan Amanah 10 tahun akan datang, bagaimana prestasi kita jika dibandingkan dengan kejayaan adakan konvensyen kali kedua," katanya.  


Saya juga sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor - Sallehen Mukhyi

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: ADUN PAS juga sebahagian daripada kerajaan negeri Selangor, justeru wakil rakyat parti berhak menggunakan gambar mereka pada mana-mana risalah program kerajaan negeri.
 
Itu penegasan ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi selepas ditanya perihal seorang pemimpin Wanita PKR yang mempersoalkan tindakannya mempamerkan gambarnya pada sampul borang Skim Peduli Sihat.
 
Menurut Sallehen yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor, amalan penggunaan gambar untuk program kerajaan negeri sudah lama dipraktikkan sejak pembentukan Pakatan Rakyat (PR) lagi.
 
"Persoalannya meletak gambar pada satu kesalahan ke? Meletak gambar untuk program kerajaan negeri bagi seorang ADUN itu satu standard yang semua orang boleh terima. Ini bukan amalan baru, sudah lama. Meletak gambar pada program kerajaan negeri. 
 
"Cuba baca apa yang ditampal pada gambar itu. Memang jelas dinyatakan bahawa iu memang program kerajaan negeri. Bukan program saya. Sebagai seorang ADUN kita menyampaikan program kerajaan negeri, kita letak gambar disitu. Itu amalan biasa yang berlaku. ADUN PKR sebelum ini ramai buat program. Apakah ADUN ini bukan sebahagian daripada kerajaan?," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Terdahulu, Ahli Majlis Pimpinan Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli menuduh Sallehen dengan sengaja mengelirukan rakyat apabila meletakkan gambarnya berserta lambang partinya pada sampul borang Skim Peduli Sihat.
 
Skim Peduli Sihat diperkenalkan Oktober tahun lalu merupakan inisiatif kerajaan Selangor membantu kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40), membiayai rawatan kesihatan asas sebanyak RM500 setahun.
 
Ujar Juwairiya, tindakan itu tidak profesional dan Sallehen tidak sepatutnya mencampur adukkan urusan parti dengan program kerajaan negeri.

Mengulas perkara itu, Sallehen berkata beliau dengan jelas menguar-uar skim tersebut adalah program kerajaan negeri dan tidak sesekali membayangkan kepada rakyat, bahawa ia dasar daripada PAS.   
 
"Kita beritahu sendiri bahawa program itu kerajaan negeri bukan kita. Kita beritahu pada masyarakat. Tidak pernah kita kata itu program PAS. Tidak ada.
 
"Tiada masalah isu gambar. Melainkan kalau kita kata atas nama jawatan politik. Gambar itu bukan isu bagi seorang ADUN dalam program kerajaan negeri," katanya.
 
Ujar Sallehen, jika benar tindakkannya adalah satu kesalahan, beliau menuntut agar polisi atau dasar membabitkan penggunaan gambar serta logo parti diselaraskan semula membabitkan semua pihak.
 
"Sekarang ini tidak ada satu polisi atau arahan yang jelas. Amalan-amalan itu kita sudah biasa guna sebelum ini. Yang realitinya bahawa PAS masih ada kerajaan negeri Selangor. Dia nak nafikan macam mana pun realitinya memang PAS memang ada dalam kerajaan negeri. 
 
"Cuma kalau sekiranya kalau tidak boleh kita mahu supaya polisi dibuat oleh kerajaan negeri. Jadi kerajaan negeri buat polisi untuk beritahu secara jelas takat mana yang boleh, lambang parti. Setakat mana boleh dan tidak boleh dalam program kerajaan negeri," ujarnya.
 
 
 

Bajet PH Vs Bajet Bn: Mana Lebih Strategik ?

Oleh Abdul Muein Abadi



1. Bajet manakah yang lebih strategik untuk geopolitik negara? Bajet Pakatan Harapan (PH) atau Bajet Barisan Nasional (BN)? 

2. Berikut adalah perbandingan bajet PH dengan bajet 2018 BN daripada lima perspektif strategik utama. Kelima-lima aspek strategik ini menyumbang secara signifikan kepada posisi geopolitik negara iaitu pertahanan dan keselamatan, pelaburan, perdagangan antarabangsa, perindustrian, serta pembangunan infrastruktur sepertimana menurut sarjana Mark Brawley dalam karya beliau ‘Political Economy and Grand Strategy: A Neoclassical Realist View’ (terbitan Routledge 2010), Jeffrey Taliaferro dalam Bab ‘Neoclassical Realism and Resource Extraction’ (terbitan Cambridge University Press 2009), serta Fareed Zakaria dalam ‘From Wealth to Power’ (terbitan Princeton University Press 1998).

3. Dari segi pertahanan dan keselamatan, Bajet BN mengatasi Bajet PH dengan peruntukkan lebih RM 14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir 9 bilion Ringgit untuk Polis DiRaja Malaysia dan lebih 900 juta Ringgit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atau APMM (Teks Bajet 2018 Halaman 44). Bajet PH pula tidak menyentuh alternatif peruntukan pertahanan sama sekali.

4. Dari segi hubungan diplomatik pula, Bajet BN lebih bersifat memaksimumkan pulangan manakala Bajet PH lebih agresif dalam memelihara kedaulatan ekonomi negara. Bandingkan nada Bajet BN berikut: “Kita telah mencapai prestasi hubungan dagang dan diplomasi pada tahap paling baik dan paling matang dalam lingkungan masa serentak dengan kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China, India, Arab Saudi, dan Amerika Syarikat” (Teks Bajet 2018 Halaman 6).

5. Berbeza pula dengan nada dalam Bajet PH: “Walaupun Pakatan Harapan sangat risau terhadap perkembangan China ke dalam elemen keselamatan kebangsaan yang sensitif, seperti bekalan tenaga dan pelabuhan kita, kami akan menghormati perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani oleh kerajaan bagi pihak Malaysia. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, tindakan pertama kami adalah untuk menerbitkan secara umum semua dokumen dan kontrak yang berkaitan dengan tawaran-tawaran ini, dan jika perlu, mendapatkan kerjasama China untuk merundingkan semula syarat-syarat yang tidak adil, jika ada” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 65).

6. PH juga kritis terhadap penyertaan China dalam Projek ECRL dan HSR yang dikategorikan sebagai ‘pinjaman’ kepada Malaysia: “Model ini di mana China adalah pembiaya dan kontraktor sudah pasti bukan dalam kepentingan yang terbaik Malaysia. Sebaliknya, perkongsian kami dengan China mestilah berdasarkan perkongsian ekuiti dan kontraktor bersama untuk berkongsi dan bertukar pengetahuan dan teknologi. Oleh itu, Pakatan Harapan akan menjemput China untuk melabur sebagai rakan kongsi ekuiti daripada mengambil wang China sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik oleh generasi akan datang. Sekiranya projek-projek itu memang memanfaatkan kedua-dua pihak, maka kami tidak melihat mengapa syarikat-syarikat China tidak akan melabur sebagai rakan kongsi. Pada masa hadapan, semua hubungan dengan China mestilah berdasarkan daya maju komersial tersendiri” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 66).

7. Dari segi pelaburan juga ketara perbezaan di mana nada Bajet BN lebih agresif seperti mana dalam “Tunjang Pertama: Merancak Pelaburan, Perdagangan, dan Industri” yang disusuli perincian berikut: “…bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing, galakan cukai bagi Principal Hub akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Bagi MIDA pula, kita akan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk dana strategik berimpak tinggi” (Halaman 15).

8. Bajet PH pula lebih tegas dalam memastikan pelaburan asing agar selari dengan kepentingan nasional: “Seperti yang telah kami nyatakan, semua pelaburan mestilah dalam kepentingan Malaysia, justeru sejajar dengan dasar kerajaan. Kami perhatikan dengan risau beberapa projek pembangunan perumahan China di Malaysia seperti projek Forrest City yang sedang mencipta wilayah China.

Pakatan Harapan tidak menggalakkan penciptaan lagi kawasan seumpama itu. Penciptaan kawasan seperti ini bertentangan dengan dasar pembentukan komuniti antara pedagang asing dan rakyat Malaysia. Oleh itu, pemaju-pemaju China perlu menyepadukan projek mereka untuk memasukkan tuntutan pasaran domestik” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 65).

9. Strategi PH bagi menangani kebimbangan berkenaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah sama seperti strategi di negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka kini iaitu Selangor dan Pulau Pinang: “Pakatan Harapan juga komited untuk merealisasikan dasar perindustrian nasional yang baharu dan ditambah baik dengan pimpinan dan dorongan pelaburan langsung domestik (DDI)” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 60).

10. Dalam aspek persediaan Revolusi Industri 4.0, Bajet BN di bawah Tunjang Keenam menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik dengan geran sepadan sebanyak RM 245 juta bagi menaik taraf kemudahan ‘Smart Manufacturing’ di samping pelbagai galakan cukai dan pengukuhan ‘Futurise Centre’ di Putrajaya sebagai lokasi pembangunan prototype produk dan inovasi (Teks Bajet 2018 halaman 63).

11. Bajet PH pula menjadikan Singapura sebagai saingan untuk diatasi dalam Revolusi Industri 4.0 dengan menawarkan kadar cukai khas kepada syarikat dan individu pakar bagi membangunkan ekonomi digital dan memindah kepakaran. PH juga menjanjikan pelaburan RM5 bilion setahun untuk membangunkan persediaan ekosistem Revolusi Industri 4.0 di samping memperkasakan pemaju IT tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa serta menggalakkan syarikat IT global menubuhkan pusat data mereka di Malaysia (Belanjawan Alternatif PH, halaman 63-65).

12. Dalam aspek infrastruktur pula, Bajet BN lebih komprehensif berbanding Bajet PH. Di bawah ‘Tunjang Keempat: Memacu Pembangunan Inklusif’, projek-projek infra-rakyat dirancang, di samping RM6.5 bilion diperuntukkan untuk infrastruktur asas luar bandar (Teks Bajet Halaman 40-43). Pelabuhan dan kawasan perindustrian turut akan dilengkapkan di Tok Bali, Kelantan (Teks Bajet Halaman 15).

13. Di bawah teras ‘Memacu Sektor Logistik’, pelbagai inisiatif infrastruktur yang strategik turut digariskan meliputi projek lebuhraya, zon perindustrian, serta pengangkutan awam (Teks Bajet 2018 Halaman 23-26).

14. Bajet PH lebih memberi fokus kepada menyemak kembali projek-projek BN yang melibatkan kuasa besar: “Khususnya bagi projek ECRL, kami akan meminta China untuk menangguhkannya sementara kami mengkaji semula dan menilai manfaat kos dan potensi pengganda ekonomi yang datang dari projek ini…kami mendapati sejumlah wang itu lebih baik digunakan untuk melabur dalam pembangunan lebuh raya untuk Pantai Timur dan bukannya ECRL” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 65-66).

15. Agak menarik adalah ketegasan PH untuk menentukan orientasi projek infrastruktur sedia ada seperti berikut: “Bagi projek HSR…Walaupun kami menyedari kepentingan menghubungkan Kunming ke Singapura untuk kemajuan seluruh rantau ASEAN, kedudukan kita adalah untuk mengutamakan hubungan Kunming-Bangkok-Kuala Lumpur dan bukannya hubungan Kuala Lumpur-Singapura. Ini semata-mata kerana matlamat utama projek kereta api ini adalah untuk membuka pasaran China ke Malaysia dan bukannya melayani pengguna antara Kuala Lumpur dan Singapura yang sudah pun mempunyai perhubungan jalan raya dan udara yang mencukupi” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 66).

16. Di bawah seksyen “Meningkatkan Eksport” Bajet BN menggariskan tiga langkah berikut: Pertama, 150 juta Ringgit kepada MATRADE, MIDA, dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport termasuk Market Development Grant. Kedua, satu billion Ringgit disediakan oleh EXIM Bank bagi kemudahan kredit perlindungan insurans, dan dua ratus juta ringgit untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS. Ketiga, 100 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan bagi mengautomasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport (Halaman 18-19).

17. Strategi PH pula lebih bercorak ‘aktivisme’ dalam meningkatkan eksport: “Di peringkat antarabangsa, kerajaan mesti memastikan pengeluar tempatan mempersembahkan sebuah barisan bersatu ketika berurusan dengan perdagangan antarabangsa. Justeru, kerajaan Pakatan Harapan akan memperuntukkan 1% daripada jumlah eksport pertanian bagi belanjawan promosi dan pemasaran hasil pertanian Malaysia. Sebagai contoh, jika sektor minyak sawit mengeksport RM80 bilion setahun, maka kerajaan Malaysia perlu membelanjakan RM800 juta dalam promosi dan pemasaran.

Ini adalah sama dengan dasar perdagangan kerajaan AS” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 57).

18. Selari dengan strategi dorongan Pelaburan langsung domestik (DDI), Bajet PH turut menggariskan insentif di samping “menuntut pemain-pemain eksport komoditi kita (menggunakan pendekatan ganjaran dan hukum) iaitu dalam sektor minyak dan gas, minyak kelapa sawit, getah, dan kayu balak untuk mengejar pengindustrian yang lebih besar dengan menuju ke atas rantaian nilai…Kita perlu bertanya mengapa Malaysia tidak mempunyai pengeluar tayar terkemuka di dunia walaupun kita memiliki sejarah ladang getah selama 100 tahun. Mengapa kita tidak mempunyai syarikat perabot antarabangsa bernilai tinggi walaupun kita memiliki sumber kayu keras yang banyak?” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 60-61).

19. Kesimpulannya, Bajet BN dan PH kedua-duanya memiliki kelebihan strategik yang berbeza antara satu sama lain. Dalam sektor pertahanan dan keselamatan, galakan pelaburan asing, serta infrastruktur, Bajet BN lebih komprehensif, manakala dalam sektor Revolusi Industri 4.0, pengindustrian domestik untuk eksport, serta perlindungan risiko pelaburan asing (khususnya China), Bajet PH lebih agresif.

*Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)