Ahad, 29 Oktober 2017

ADUN Tanjung Bungah bakal tinggalkan DAP

MALAYSIAKINI



Mengakui tidak sependapat dengan pemimpin parti seorang wakil rakyat DAP di Pulau Pinang menyatakan untuk berundur dari parti itu tidak lama lagi.

Bagaimanapun Teh Yee Cheu memberitahu tindakan berkenaan akan diambil selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dibubarkan.

"Saya tidak sealiran dengan kepimpinan parti. Tidak ada reformasi. Sekarang masa untuk saya beredar," katanya seperti dipetik The Star hari ini.

Menurut laporan berkenaan, anggota DUN Tanjung Bungah itu memberitahu dia akan kekal sebagai wakil rakyat DAP sehingga tempoh mandat yang diberikan kepadanya tamat.

"Disebabkan rakyat mengundi saya sebagai orang DAP, saya akan bercakap seperti orang DAP," katanya.

Mengenai masa depannya Teh berkata dia akan kekal dalam politik walaupun bakal meninggalkan DAP tetapi yakin tidak akan menyertai mana-mana parti yang mesra dengan BN.

Isu alam sekitar

Katanya dia juga tidak bercadang menyertai mana-mana parti dalam Pakatan Harapan, apa lagi menjadi calon bebas.

"Keadaan itu meletakkan saya di jalan yang sempit, tetapi saya tak boleh beritahu kamu sekarang kerana saya masih anggota DAP," katanya.

Sejak menjadi ADUN Teh memang selalu menyatakan pandangan yang tidak sehaluan dengan pendirian partinya.
 Antara isu yang mendapat perhatian Teh ialah mengenai projek pembangunan di lereng bukit di Pulau Pinang.

Tragedi tanah runtuh di projek pembangunan di Tanjung Bungah - yang mengorbankan 11 orang pada 21 Okt lalu - sekali lagi membawa perhatian ramai kepada Teh.

Sejak berakhirnya pilihan raya umum ke-13 pada 2013 lalu DAP sudah kehilangan lapan wakil di DUN serta parlimen.

Antaranya ialah ADUN Luyang, Hiew King Cheu, yang menyertai MCA selepas meninggalkan DAP pada Sept 2013 dan Junz Wong (ADUN Likas) yang menyertai Parti Warisan Sabah.

Pada Ogos lalu ADUN Kepayan, Edwin Bosi, juga meninggalkan DAP dan kekal menjadi wakil rakyat bebas setakat ini.

Ketiga-tiga mereka ialah ADUN di Sabah.

Di Melaka Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him bersama tiga ADUN - Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang) - turut meninggalkan DAP pada Februari lalu.

Tiada ulasan: