Ahad, 29 Oktober 2017

Putrajaya kaji dasar had usia kenderaan elak kemalangan

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
BENTONG: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji kesesuaian mewujudkan dasar tamat hayat kenderaan yang akan menetapkan had usia kenderaan, kata Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai.
 
Beliau berkata ketetapan itu diambil untuk mengurangkan risiko kemalangan disebabkan faktor usia kenderaan, seperti kemalangan dua bas kilang berhampiran Plaza Tol Juru, Pulau Pinang pada 24 Oktober lalu yang menyebabkan lapan maut.
 
Katanya, siasatan awal mendapati sebuah bas yang berhenti di tepi jalan akibat kerosakan dalam kemalangan itu telah berusia 32 tahun manakala sebuah lagi bas berusia melebihi 10 tahun.
 
“Walaupun siasatan awal mendapati kedua-dua bas itu lulus pemeriksaan Puspakom pada September lalu, namun kita tidak tahu jika kenderaan itu rosak selepas menjalani ujian, terutamanya bas yang usianya sudah terlalu lama.
 
“Sebab itu, kita melihat isu berkaitan usia kenderaan merupakan perkara besar dalam aspek keselamatan jalan raya dan perkara ini telah dipraktikkan di negara lain seperti Jepun dan Singapura atas sebab keselamatan,” katanya.
 
Beliau menambah dasar baru itu juga, jika dilaksanakan akan melibatkan kerjasama daripada Kementerian Alam Sekitar dan Sumber Asli untuk melupuskan kenderaan yang telah ditamatkan hayatnya mengikut cara yang sepatutnya dan mesra alam sekitar.
 
“Ketiadaan dasar ini menyebabkan kereta lama yang sudah berusia 30, 40 tahun tersadai begitu sahaja atau dipotong. Sebab itu kita mahu adakan kajian kesesuaian dasar ini yang diharapkan dapat selesai dalam tempoh masa sesuai,” katanya.
 
Beliau juga memberi jaminan bahawa kerajaan akan mendengar pandangan rakyat dan semua pihak berkepentingan dalam isu tersebut supaya pelaksananaanya tidak membebankan mana-mana pihak kerana matlamatnya ialah menjamin keselamatan.
 
“Kita tidak mahu memaksa atau buat rakyat berasa dipaksa…sebab itu kita akan libatkan mereka dalam kajian ini. Antara cadangan yang difikirkan ialah supaya dasar ini dilaksanakan secara sukarela.
 
Beliau menambah keutamaan dasar itu akan diberikan kepada kenderaan berat dan yang melibatkan ramai orang seperti bas atau lori dan berharap dasar itu mendapat sambutan baik, jika dilaksanakan secara sukarela

Tiada ulasan: