Ahad, 29 Oktober 2017

Bajet PH Vs Bajet Bn: Mana Lebih Strategik ?

Oleh Abdul Muein Abadi



1. Bajet manakah yang lebih strategik untuk geopolitik negara? Bajet Pakatan Harapan (PH) atau Bajet Barisan Nasional (BN)? 

2. Berikut adalah perbandingan bajet PH dengan bajet 2018 BN daripada lima perspektif strategik utama. Kelima-lima aspek strategik ini menyumbang secara signifikan kepada posisi geopolitik negara iaitu pertahanan dan keselamatan, pelaburan, perdagangan antarabangsa, perindustrian, serta pembangunan infrastruktur sepertimana menurut sarjana Mark Brawley dalam karya beliau ‘Political Economy and Grand Strategy: A Neoclassical Realist View’ (terbitan Routledge 2010), Jeffrey Taliaferro dalam Bab ‘Neoclassical Realism and Resource Extraction’ (terbitan Cambridge University Press 2009), serta Fareed Zakaria dalam ‘From Wealth to Power’ (terbitan Princeton University Press 1998).

3. Dari segi pertahanan dan keselamatan, Bajet BN mengatasi Bajet PH dengan peruntukkan lebih RM 14 bilion untuk Angkatan Tentera Malaysia, hampir 9 bilion Ringgit untuk Polis DiRaja Malaysia dan lebih 900 juta Ringgit kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atau APMM (Teks Bajet 2018 Halaman 44). Bajet PH pula tidak menyentuh alternatif peruntukan pertahanan sama sekali.

4. Dari segi hubungan diplomatik pula, Bajet BN lebih bersifat memaksimumkan pulangan manakala Bajet PH lebih agresif dalam memelihara kedaulatan ekonomi negara. Bandingkan nada Bajet BN berikut: “Kita telah mencapai prestasi hubungan dagang dan diplomasi pada tahap paling baik dan paling matang dalam lingkungan masa serentak dengan kuasa-kuasa besar ekonomi dunia seperti China, India, Arab Saudi, dan Amerika Syarikat” (Teks Bajet 2018 Halaman 6).

5. Berbeza pula dengan nada dalam Bajet PH: “Walaupun Pakatan Harapan sangat risau terhadap perkembangan China ke dalam elemen keselamatan kebangsaan yang sensitif, seperti bekalan tenaga dan pelabuhan kita, kami akan menghormati perjanjian-perjanjian yang telah ditandatangani oleh kerajaan bagi pihak Malaysia. Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, tindakan pertama kami adalah untuk menerbitkan secara umum semua dokumen dan kontrak yang berkaitan dengan tawaran-tawaran ini, dan jika perlu, mendapatkan kerjasama China untuk merundingkan semula syarat-syarat yang tidak adil, jika ada” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 65).

6. PH juga kritis terhadap penyertaan China dalam Projek ECRL dan HSR yang dikategorikan sebagai ‘pinjaman’ kepada Malaysia: “Model ini di mana China adalah pembiaya dan kontraktor sudah pasti bukan dalam kepentingan yang terbaik Malaysia. Sebaliknya, perkongsian kami dengan China mestilah berdasarkan perkongsian ekuiti dan kontraktor bersama untuk berkongsi dan bertukar pengetahuan dan teknologi. Oleh itu, Pakatan Harapan akan menjemput China untuk melabur sebagai rakan kongsi ekuiti daripada mengambil wang China sebagai pinjaman yang perlu dibayar balik oleh generasi akan datang. Sekiranya projek-projek itu memang memanfaatkan kedua-dua pihak, maka kami tidak melihat mengapa syarikat-syarikat China tidak akan melabur sebagai rakan kongsi. Pada masa hadapan, semua hubungan dengan China mestilah berdasarkan daya maju komersial tersendiri” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 66).

7. Dari segi pelaburan juga ketara perbezaan di mana nada Bajet BN lebih agresif seperti mana dalam “Tunjang Pertama: Merancak Pelaburan, Perdagangan, dan Industri” yang disusuli perincian berikut: “…bagi terus meletakkan Malaysia sebagai lokasi pelaburan langsung asing, galakan cukai bagi Principal Hub akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020. Bagi MIDA pula, kita akan memperuntukkan 200 juta ringgit untuk dana strategik berimpak tinggi” (Halaman 15).

8. Bajet PH pula lebih tegas dalam memastikan pelaburan asing agar selari dengan kepentingan nasional: “Seperti yang telah kami nyatakan, semua pelaburan mestilah dalam kepentingan Malaysia, justeru sejajar dengan dasar kerajaan. Kami perhatikan dengan risau beberapa projek pembangunan perumahan China di Malaysia seperti projek Forrest City yang sedang mencipta wilayah China.

Pakatan Harapan tidak menggalakkan penciptaan lagi kawasan seumpama itu. Penciptaan kawasan seperti ini bertentangan dengan dasar pembentukan komuniti antara pedagang asing dan rakyat Malaysia. Oleh itu, pemaju-pemaju China perlu menyepadukan projek mereka untuk memasukkan tuntutan pasaran domestik” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 65).

9. Strategi PH bagi menangani kebimbangan berkenaan Pelaburan Langsung Asing (FDI) adalah sama seperti strategi di negeri-negeri di bawah pentadbiran mereka kini iaitu Selangor dan Pulau Pinang: “Pakatan Harapan juga komited untuk merealisasikan dasar perindustrian nasional yang baharu dan ditambah baik dengan pimpinan dan dorongan pelaburan langsung domestik (DDI)” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 60).

10. Dalam aspek persediaan Revolusi Industri 4.0, Bajet BN di bawah Tunjang Keenam menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik dengan geran sepadan sebanyak RM 245 juta bagi menaik taraf kemudahan ‘Smart Manufacturing’ di samping pelbagai galakan cukai dan pengukuhan ‘Futurise Centre’ di Putrajaya sebagai lokasi pembangunan prototype produk dan inovasi (Teks Bajet 2018 halaman 63).

11. Bajet PH pula menjadikan Singapura sebagai saingan untuk diatasi dalam Revolusi Industri 4.0 dengan menawarkan kadar cukai khas kepada syarikat dan individu pakar bagi membangunkan ekonomi digital dan memindah kepakaran. PH juga menjanjikan pelaburan RM5 bilion setahun untuk membangunkan persediaan ekosistem Revolusi Industri 4.0 di samping memperkasakan pemaju IT tempatan untuk bersaing di peringkat antarabangsa serta menggalakkan syarikat IT global menubuhkan pusat data mereka di Malaysia (Belanjawan Alternatif PH, halaman 63-65).

12. Dalam aspek infrastruktur pula, Bajet BN lebih komprehensif berbanding Bajet PH. Di bawah ‘Tunjang Keempat: Memacu Pembangunan Inklusif’, projek-projek infra-rakyat dirancang, di samping RM6.5 bilion diperuntukkan untuk infrastruktur asas luar bandar (Teks Bajet Halaman 40-43). Pelabuhan dan kawasan perindustrian turut akan dilengkapkan di Tok Bali, Kelantan (Teks Bajet Halaman 15).

13. Di bawah teras ‘Memacu Sektor Logistik’, pelbagai inisiatif infrastruktur yang strategik turut digariskan meliputi projek lebuhraya, zon perindustrian, serta pengangkutan awam (Teks Bajet 2018 Halaman 23-26).

14. Bajet PH lebih memberi fokus kepada menyemak kembali projek-projek BN yang melibatkan kuasa besar: “Khususnya bagi projek ECRL, kami akan meminta China untuk menangguhkannya sementara kami mengkaji semula dan menilai manfaat kos dan potensi pengganda ekonomi yang datang dari projek ini…kami mendapati sejumlah wang itu lebih baik digunakan untuk melabur dalam pembangunan lebuh raya untuk Pantai Timur dan bukannya ECRL” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 65-66).

15. Agak menarik adalah ketegasan PH untuk menentukan orientasi projek infrastruktur sedia ada seperti berikut: “Bagi projek HSR…Walaupun kami menyedari kepentingan menghubungkan Kunming ke Singapura untuk kemajuan seluruh rantau ASEAN, kedudukan kita adalah untuk mengutamakan hubungan Kunming-Bangkok-Kuala Lumpur dan bukannya hubungan Kuala Lumpur-Singapura. Ini semata-mata kerana matlamat utama projek kereta api ini adalah untuk membuka pasaran China ke Malaysia dan bukannya melayani pengguna antara Kuala Lumpur dan Singapura yang sudah pun mempunyai perhubungan jalan raya dan udara yang mencukupi” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 66).

16. Di bawah seksyen “Meningkatkan Eksport” Bajet BN menggariskan tiga langkah berikut: Pertama, 150 juta Ringgit kepada MATRADE, MIDA, dan SME Corp bagi melaksanakan promosi dan peluasan pasaran eksport termasuk Market Development Grant. Kedua, satu billion Ringgit disediakan oleh EXIM Bank bagi kemudahan kredit perlindungan insurans, dan dua ratus juta ringgit untuk kemudahan kredit pembiayaan kepada pengeksport PKS. Ketiga, 100 juta ringgit disediakan sebagai pinjaman dengan 70 peratus jaminan Kerajaan bagi mengautomasi pengeluaran perabot tempatan untuk tujuan eksport (Halaman 18-19).

17. Strategi PH pula lebih bercorak ‘aktivisme’ dalam meningkatkan eksport: “Di peringkat antarabangsa, kerajaan mesti memastikan pengeluar tempatan mempersembahkan sebuah barisan bersatu ketika berurusan dengan perdagangan antarabangsa. Justeru, kerajaan Pakatan Harapan akan memperuntukkan 1% daripada jumlah eksport pertanian bagi belanjawan promosi dan pemasaran hasil pertanian Malaysia. Sebagai contoh, jika sektor minyak sawit mengeksport RM80 bilion setahun, maka kerajaan Malaysia perlu membelanjakan RM800 juta dalam promosi dan pemasaran.

Ini adalah sama dengan dasar perdagangan kerajaan AS” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 57).

18. Selari dengan strategi dorongan Pelaburan langsung domestik (DDI), Bajet PH turut menggariskan insentif di samping “menuntut pemain-pemain eksport komoditi kita (menggunakan pendekatan ganjaran dan hukum) iaitu dalam sektor minyak dan gas, minyak kelapa sawit, getah, dan kayu balak untuk mengejar pengindustrian yang lebih besar dengan menuju ke atas rantaian nilai…Kita perlu bertanya mengapa Malaysia tidak mempunyai pengeluar tayar terkemuka di dunia walaupun kita memiliki sejarah ladang getah selama 100 tahun. Mengapa kita tidak mempunyai syarikat perabot antarabangsa bernilai tinggi walaupun kita memiliki sumber kayu keras yang banyak?” (Belanjawan Alternatif PH, halaman 60-61).

19. Kesimpulannya, Bajet BN dan PH kedua-duanya memiliki kelebihan strategik yang berbeza antara satu sama lain. Dalam sektor pertahanan dan keselamatan, galakan pelaburan asing, serta infrastruktur, Bajet BN lebih komprehensif, manakala dalam sektor Revolusi Industri 4.0, pengindustrian domestik untuk eksport, serta perlindungan risiko pelaburan asing (khususnya China), Bajet PH lebih agresif.

*Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
 
 

Tiada ulasan: