Khamis, 30 Ogos 2012

MB: Pakatan putuskan enakmen antilompat parti


Ahmad Fadli KC



Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata rancangan kerajaan negeri untuk menggubal enakmen bagi menghalang wakil rakyat melompat parti akan diputuskan oleh pucuk pimpinan Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

"Ini isu politik Pakatan Rakyat yang dibincangkan di peringkat pucuk pimpinan.

NONE"Kalau pucuk pimpinan bersetuju gubal undang-undang untuk tidak galakkan lompat parti, Selangor sebagai negeri Pakatan akan pertimbang untuk ikut," kata Khalid dalam satu sidang media hari ini.

Tambahnya, pada masa ini isu yang wajar diberikan lebih tumpuan adalah pemilihan calon yang bakal bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

"Pada saya isu itu (enakmen antilompat parti) tidak sangat besar.

"Isunya Pakatan Rakyat perlu belajar daripada pelajaran lepas dan lebih berhati-hati daripada segi emilihan mereka yang akan bertanding.

"(Kita perlu tentukan) samada mereka yang dipilih bersedia mewakili parti," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Enakmen antilompat parti mencuri perhatian ramai apabila kerajaan Pulau Pinang menerusi ketua menterinya mengumumkan cadangan untuk membentang cadangan enakmen berkenaan di Dewan Undangan Negeri pada bulan November.
 
NONETindakan itu mulanya dilihat bercanggah dengan usaha Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memujuk dua ahli parlimen Sabah keluar BN dan menjadi wakil rakyat mesra Pakatan.

Anwar (kanan) bagaimana pun semalam berkata beliau tiada masalah dengan
enakmen itu dan telah dimaklumkan sendiri oleh Lim Guan Eng
tentangnya.

Pada sidang media sama tengahari tadi, Khalid Ibrahim turut
mengumumkan bahawa sambutan hari merdeka dan hari Malaysia peringkat Selangor akan berlangsung di Dataran Shah Alam bermula jam 8.30 malam esok.

Menurutnya ia melibatkan persembahan kebudayaan dan kesenian serta perarakan kira-kira 56 kontinjen dari tentera dan badan bukan
kerajaan.

Di antara tarikan utama pada sambutan itu adalah persembahan kawad senyap oleh Tentera Laut DiRaja Malaysia dan satu pidato yang akan disampaikan Anwar Ibrahim.

VIDEO l 2.04 min

NGO Islam buat laporan polis terhadap Karpal, Donald Lim

 
Abdul Rahim Sabri


 
Sebuah gabungan NGO Islam hari ini membuat laporan terhadap dua pemimpin politik kerana didakwa membuat kenyataan yang bersifat menghasut dan menimbulkan kegelisahan di kalangan masyarakat awam tentang kedudukan Islam seperti yang termaktub dalam perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Dalam laporan polis itu dibuat Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) - gabungan 40 NGO Islam - terhadap Pengerusi DAP, Karpal Singh dan Pengerusi MCA Selangor, Datuk Donald Lim.

Dalam laporannya,  Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahya mendakwa kenyataan Karpal itu dilaporkan oleh The Malaysian Insider dan The Star Online.

NONEMenurutnya, kenyataan tersebut disiarkan dengan tajuk "Hudud can't be implemented in secular Malaysia" (Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia yang sekular) dan "PAS defying constitution by declaring Islamic State" (PAS tentang perlembagaan kerana isytihar Negara Islam).

Manakala kenyataan Donald  pula dilaporkan dalam portal Malaysiakini.com, bertajuk "MCA Selangor: Pilih kami, kami akan halang jadi negara Islam".
Dalam kedua-dua laporan itu Karpal dilapor mendakwa hukum hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia yang dianggapnya sebagai sebuah negara sekular.

Manakala Donald pula dilapor berkata jika Selangor dan negeri-negeri lain di negara ini dikuasai atau kekal di bawah pemerintahan BN, ia tidak akan menjadi negara Islam.
Dalam laporan polis itu, Aminuddin mendakwa ketiga-tiga artikel berkenaan "berniat jahat serta mengelirukan masyarakat awam".

Sehubungan itu, Aminuddin berkata laporan polis itu dibuat bagi membolehkan polis menyiasat kenyataan kedua-dua pemimpin itu mengikut Akta Hasutan atau undang-undang yang bersesuaian demi menjaga ketenteraman awam.

Laporan itu dibuat di ibupejabat polis Dang Wangi kira-kira jam 2.05 petang tadi di mana Aminuddin mengetuai kira-kira 20 anggota NGO gabungan itu yang turut hadir untuk memberi sokongan.

Dalam sidang media selepas itu, Aminuddin menempelak kedua-dua pemimpin politik itu termasuk mana-mana pihak yang sealiran dengan mereka yang didakwanya membiarkan kenyataan "tidak berwibawa dan berprasangka jahat" terhadap Islam dibuat.

VIDEO l 2.32 mins

Utusan diperintah bayar gantirugi pada Nizar

Salhan K Ahmad


 
Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Utusan Melayu (M) Bhd membayar gantirugi kepada bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin atas saman malu yang difailkan ke atas penerbit akhbar tersebut pada Julai lalu.

Peguamnya Mohd Zamri Ibrahim berkata, keputusan interlocutari hari ini memerintahkan demikian memandangkan Utusan tidak diwakili peguam untuk pendengaran kes tersebut.

PegSehubungan itu, pendaftar mahkamah Mazuliana Abdul Rashid memerintahkan beliau untuk memfailkan taksiran bagi ganti rugi berkenaan untuk tuntutan daripada Utusan, katanya.

Sementara itu, satu lagi samannya berhubung kes sama ke atas stesen penyiaran Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) akan diputuskan pada 19 September, kata Mohd Zamri lagi.

Pas Kedah: Tiada keperluan wujud jawatan Timbalan MB

Wartawan Sinar Harian

Phahrolrazi Zawawi
Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
 
ALOR SETAR - Belum ada perbincangan dibuat untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan seorang timbalan menteri besar dilantik sekiranya Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengalami masalah kesihatan serius.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, setakat ini perkara itu tidak pernah berbangkit ekoran tidak pernah dicadangkan oleh mana-mana pihak.

“Buat masa ini, tiada cadangan ke arah itu (lantikan), walaupun Kedah berdepan situasi sama seperti tahun lalu apabila Azizan berehat panjang selepas menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Menurutnya, tiada keperluan untuk pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Kedah membincangkan perkara itu buat masa ini.

“Jika ada pihak mahu usul itu diteliti, mereka perlu bawa dalam perbincangan melibatkan pemimpin PR Kedah, sebelum dikemukakan kepada Pusat. Contohnya, Pas Kedah perlu usulkan dan semua pemimpin negeri bincang dan bangkitkan perkara itu di peringkat Pusat,” katanya.

Phahrolrazi berkata, ia bukan mudah kerana melibatkan dasar penting dalam perlembagaan negeri.

“Tidak ada peruntukan melantik timbalan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kedah. Berdasarkan pengalaman lalu ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain sakit, Kerajaan Negeri ketika itu melantik pemangku Menteri Besar,” katanya.

Pada 29 Julai 2011, Azizan dimasukkan ke wad Cardiac Care Unit (CCU) di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan doktor untuk berehat dan menjalani rawatan jantung.

Sejak itu, masalah kesihatan Azizan sering dijadikan sebagai alasan agar mengundur diri, selain timbul desakan pihak-pihak tertentu yang menyarankan agar diwujudkan jawatan itu.

Selangor anjur Malam Kemerdekaan ke-55 esok

HARAKAH DAILY
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan Sambutan Malam Kemerdekaan ke-55 dan Hari Malaysia peringkat negeri pada malam ini, 30 Ogos di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula pada jam 8.30 malam.

“Saya bagi pihak barisan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan  selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-55, dan selamat merayakan Hari Malaysia yang ke-49 kepada seluruh bangsa Malaysia di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, pelbagai acara disediakan kepada orang ramai  antaranya perbarisan dan perarakan 56 kontinjen yang terdiri daripada pasukan tentera, jabatan kerajaan serta badan bukan kerajaan.

“Kita juga menyediakan persembahan kebudayaan dan keseniaan serta persembahan istimewa iaitu kawad senyap oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan menyampaikan ucapan sempena sambutan kali ini.

Tambahnya, tema bagi sambutan tahun ini sama dengan negeri-negeri Pakatan Rakyat iaitu Sebangsa, Senegara, Sejiwa.

Justeru, ujarnya orang ramai khususnya rakyat Selangor dijemput datang bagi memeriahkan sambutan itu.

Ragut: Wanita ditetak hampir putus tangan

HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Ragut: Wanita ditetak hampir putus tanga
Orang ramai membantu mangsa yang cedera ditetak peragut di Kota Bharu, Kelantan hari ini.
 
KOTA BHARU - Seorang pembantu klinik swasta hampir putus pergelangan tangan kirinya selepas ditetak salah seorang daripada dua peragut di hadapan sebuah pusat jualan tudung di Jalan Sultanah Zainab di sini, hari ini.

Kejadian yang berlaku pada jam 1.30 petang itu berlaku ketika mangsa Rohaini Abdullah, 36, sedang berjalan kaki seorang diri di hadapan pusat jualan berkenaan untuk ke tempat letak keretanya, yang tidak jauh dari situ.

Ketika melalui jalan tersebut, dua peragut menghampiri mangsa dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan salah seorang dari peragut tersebut bertindak menetak mangsa menggunakan objek tajam.

Difahamkan mangsa yang berasal dari Kampung Pintu Geng di sini baru sahaja menamatkan kerja shif siang sebelum kembali semula untuk shif malam.

Ibu kepada dua cahaya mata  yang pengsan selepas kejadian  itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan.

Saksi kejadian, Hidayah Daud, 21, berkata kejadian itu berlaku di hadapan pusat jualan tudung berkenaan yang merupakan tempat dia bekerja.

“Ketika kejadian saya lihat peragut berkenaan menarik beg tangan mangsa namun tidak berhasil apabila mangsa berjaya menariknya.
“Selepas itu mangsa mula menjerit meminta tolong dan pergelutan di antara mereka kemudian terus berlarutan sehingga ke tepi jalan,” katanya.

 Hidayah berkata, menyedari mangsa masih tidak melepaskan beg tangannya, peragut berkenaan seterusnya bertindak ganas dengan menetak pergelangan tangan kiri mangsa.

 “Mangsa ditetak lebih tujuh kali sehingga terjatuh dan masa itu darah telah berlumuran pada tangan mangsa. Selepas itu peragut tersebut telah bertindak melarikan diri dengan membonceng motosikal yang ditunggang seorang lagi rakanya yang sudah menunggu apabila menyedari kehadiran orang ramai di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, peragut tidak sempat melarikan barangan berharga daripada mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan serius iaitu luka sedalam 38 sentimeter dan putus urat pergelangan tangan kiri.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan serta meminta orang ramai tampil membantu siasatan.

Maut ditembak depan sekolah

NORAIZURA AHMAD

Maut ditembak depan sekolah
Mayat mangsa dimasukkan ke dalam kenderaan polis untuk dihantar ke HKL.
 
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui mati ditembak di Jalan 29 Selayang Baru berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Darul Ehsan, tengah hari semalam.

K Archuthan, 41, ditembak ketika menunggu anaknya yang berusia 17 tahun pulang dari sekolah berdekatan bersama isterinya, S Citra, 36, di dalam kereta miliknya jenis Toyota Camry.

Dipercayai mangsa yang mempunyai sebuah syarikat kawalan keselamatan maut akibat parah ditembak di beberapa bahagian badan dan leher.

Sementara itu, saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, dia mendengar beberapa das tembakan dilepaskan dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda Ex5.

“Saya sangka ada orang bermain mercun tetapi tidak lama selepas itu, orang ramai mula berkumpul di tempat kejadian setelah mendapati mangsa sebenarnya ditembak,” katanya.

Dipercayai, isteri mangsa turut terkena tembakan di rusuk kanan dan dibawa orang awam ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa ditembak dari jarak dekat dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu.

Menurutnya, siasatan awal polis menemui enam kelongsong peluru saiz 9 milimeter di tempat kejadian.

“Mangsa baru dibebaskan daripada Enakmen Ordinan (EO) dan dibuang ke Perlis sebelum ini. Kita masih menyiasat motif pembunuhan dan usaha mencari suspek sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Pelajar tipu RM233,000 ditahan

AMRAN ALI

Pelajar tipu RM233,000 ditahan
Hock Sing (kanan) menunjukkan klip video lucah dalam telefon bimbit suspek.
 
MELAKA - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka berjaya menahan seorang pelajar, yang juga gadis tempatan dan tiga lelaki warga Nigeria, dipercayai terlibat kes penipuan membabitkan wang tunai berjumlah RM233,277 milik seorang wanita berusia 56 tahun di negeri ini.

Ketua JSJK negeri, Superintendan Soh Hock Sing berkata, gadis berusia 23 tahun juga penuntut sebuah universiti tempatan itu ditahan jam 11.55 pagi pada 23 Ogos lalu di sebuah rumah sewa di ibu negara.

"Tiga warga Nigeria terbabit dua daripadanya berusia 27 dan seorang berusia 28 tahun pula berjaya diberkas pada jam 3.13 pagi, Isnin lalu di sebuah resort di sekitar Putrajaya.

"Mangsa diperdaya menerusi laman sosial Facebook dan berkomunikasi sejak Mei lalu yang mempercayai suspek adalah doktor dari luar negara," katanya.

Menurutnya, suspek memperdayakan wanita berkenaan, kononnya akan menghantar satu kiriman bungkusan mengandungi wang tunai berjumlah ASD380,000 (RM1,186,924.97) bagi menjalankan perniagaan tertentu.

“Mereka kemudiannya cuba membuat helah kononnya ada beberapa panggilan daripada lelaki lain yang mengatakan bungkusan berkenaan telah ditahan pihak kastam, Bank Negara dan sebagainya.

"Mereka seterusnya mengarahkan mangsa memasukkan sejumlah wang bagi melepaskan bungkusan berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini, semalam.

Hock Sing berkata, pada 16 Jun lalu, suspek menyatakan mahu berjumpa dengan mangsa bagi menyerahkan duit tersebut di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Tetapi sebaik menemui suspek, mangsa terkejut kerana yang muncul adalah seorang awang hitam.

"Suspek kemudiannya membuka beg berkenaan dan menunjukkan duit tersebut," katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya melihat kertas putih sahaja dalam beg tersebut sebelum diyakinkan oleh suspek, ia boleh bertukar menjadi ASD100 (RM312.342) selepas dicuci dengan sejenis cecair.

“Namun, suspek membuat helah menyatakan cecair berkenaan tidak mencukupi dan memerlukan mangsa menambah lagi wang tunai berjumlah RM10,000 untuk membelinya dan perlu dihantar ke kedutaan Amerika Syarikat untuk mendapatkan wang berjumlah ASD380,000 (RM1,186,924.97) itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang terpedaya dengan kata-kata suspek kembali semula ke Melaka untuk mendapatkan jumlah wang dikehendaki sebelum menyedari dia ditipu dan membuat laporan polis pada 16 Ogos lalu.

“Bertindak atas laporan, polis berjaya menahan semua suspek dan menyemak akaun pelajar wanita terbabit. Kami dapati berlaku lima transaksi berjumlah keseluruhan RM233,227 yang telah diserahkan kepada warga Nigeria terbabit, dipercayai teman lelaki wanita berkenaan.

“Ketiga-tiga lelaki yang ditahan mengakui sebagai pelajar, namun hanya seorang sahaja yang memiliki pasport,” katanya.
Berikutan tangkapan itu, polis turut merampas dua telefon bimbit yang mengandungi klip video lucah dipercayai digunakan sebagai perangsang bagi tujuan seks.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

Dalam perkembangan sama, Soh berkata, sepanjang tahun ini polis telah menahan seramai 20 orang termasuk lima wanita tempatan berkaitan jenayah berkenaan, membabitkan penipuan berjumlah lebih RM700,000.

Tiada bukti tahanan ISA bersalah dikatakan insaf?

Hazayani Zakaria,
KUALA LUMPUR: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri bahawa 12 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dibebaskan kerana mereka telah pulih dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, kenyataan itu tidak masuk akal kerana tahanan tidak pernah dibicarakan dan dibuktikan bersalah di mahkamah.

"Bagaimana menteri boleh mengatakan tahanan telah insaf sedangkan kesalahan mereka tidak pernah dibuktikan dan mereka tidak pernah diberi peluang untuk membela diri.

"Ironinya kenyataan menteri itu seolah-olah mengambarkan orang yang tidak bersalah tetapi telah insaf daripada kesalahan," kata beliau dalam satu kenyataan.

Seramai 12 orang yang dibebaskan itu terdiri daripada tujuh warga tempatan, tiga Indonesia dan dua Pakistan.

Manakala tahanan masih berbaki seramai 30 orang iaitu 12 warga tempatan, Indonesia (tiga), Sri Lanka (enam), Pakistan (satu), India (dua), Bangladesh (satu), Iraq (dua) dan Filipina (tiga).

Justeru GMI menggesa Menteri Dalam Negeri mendedahkan  secara terperinci proses pemulihan yang dilalui oleh tahanan semasa kem tahanan dan menjelaskan sama ada penyeksaan dalam tahanan juga merupakan proses pemulihan yang terpaksa dilalui tahanan.

"Menteri Dalam Negeri juga mesti mendedahkan laporan keselamatan yang dijadikan penilaian untuk menentukan samada tahanan boleh dibebaskan atau tidak seterusnya membebaskan kesemua baki tahanan," katanya.

Syed Ibrahim juga yakin pembebasan itu hasil perjuangan berterusan GMI dan rakyat Malaysia dan turut disokong oleh tindakan nekad tahanan ISA yang telah melancarkan mogok lapar.

Selangor beri 4 syarikat konsesi air tawaran baru

AHMAD NORMAN ABU TALIB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim 
 
SHAH ALAM –  Kerajaan Negeri Selangor akan mengemukakan tawaran baru berhubung langkah menstruktur semula bekalan air kepada empat syarikat sedia ada minggu depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tawaran itu dikemukakan selepas beliau menerima surat daripada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang bersetuju dengan Kerajaan Negeri agar beberapa usaha dapat diambil supaya industri air di Selangor dapat disusun kembali secara holistik.

Awal bulan lalu, Kerajaan Negeri  Selangor mengumumkan akan membentangkan cadangan dan juga kertas kerja berhubung perkara itu.

“Proses ini telah kita sediakan dan saya akan umumkan tawaran tersebut kepada empat syarikat yang mempunyai operasi air di negeri ini iaitu Syabas, Splash, Abbas dan Puncak Niaga,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri (MMKN) di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung penstrukturan semula air di negeri ini.
Sebelum ini keempat-empat syarikat konsesi air itu ditawarkan RM95.bilion bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat pengstrukturan semula industri air namun ia ditolak oleh Syabas dan Puncak Niaga.

Dalam pada itu, Abdul Khalid menolak kenyataan dibuat Peter Chin bahawa jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 siap, ia tidak menyebabkan tarif air naik sehingga 70 peratus kerana tiada perkara percuma.

“Untuk bina loji tersebut ia memerlukan dana dan dana itu mesti juga dibayar sama ada melalui cukai atau kos tarif yang akan disalurkan pembayaran tersebut.

“Tiada satu perkara percuma kerana sekiranya ada geran diberi kepada Selangor ia adalah hasil kutipan cukai rakyat dan dibayar dari awal. Ia menunjukkan beliau kurang faham tentang belanjawan negara,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan usaha untuk melaksanakan undang-undang anti lompat parti seperti dicadangkan oleh Pulau Pinang.

Menurutnya, perkara tersebut dibincangkan oleh pucuk pimpinan PR.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara tersebut bukan isu sebenar kerana apa yang lebih penting PR belajar daripada pengalaman lalu dalam memilih calon mewakili parti.

“Kita kena buat pemilihan betul-betul dan pilih mereka yang benar-benar bersedia mewakili parti,” katanya.