Khamis, 30 Ogos 2012

Pas Kedah: Tiada keperluan wujud jawatan Timbalan MB

Wartawan Sinar Harian

Phahrolrazi Zawawi
Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi
 
ALOR SETAR - Belum ada perbincangan dibuat untuk meminda perlembagaan negeri bagi membolehkan seorang timbalan menteri besar dilantik sekiranya Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengalami masalah kesihatan serius.

Exco Kerajaan Negeri yang juga Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, setakat ini perkara itu tidak pernah berbangkit ekoran tidak pernah dicadangkan oleh mana-mana pihak.

“Buat masa ini, tiada cadangan ke arah itu (lantikan), walaupun Kedah berdepan situasi sama seperti tahun lalu apabila Azizan berehat panjang selepas menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN),” katanya.

Menurutnya, tiada keperluan untuk pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Kedah membincangkan perkara itu buat masa ini.

“Jika ada pihak mahu usul itu diteliti, mereka perlu bawa dalam perbincangan melibatkan pemimpin PR Kedah, sebelum dikemukakan kepada Pusat. Contohnya, Pas Kedah perlu usulkan dan semua pemimpin negeri bincang dan bangkitkan perkara itu di peringkat Pusat,” katanya.

Phahrolrazi berkata, ia bukan mudah kerana melibatkan dasar penting dalam perlembagaan negeri.

“Tidak ada peruntukan melantik timbalan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kedah. Berdasarkan pengalaman lalu ketika bekas Menteri Besar, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain sakit, Kerajaan Negeri ketika itu melantik pemangku Menteri Besar,” katanya.

Pada 29 Julai 2011, Azizan dimasukkan ke wad Cardiac Care Unit (CCU) di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur, selepas dinasihatkan doktor untuk berehat dan menjalani rawatan jantung.

Sejak itu, masalah kesihatan Azizan sering dijadikan sebagai alasan agar mengundur diri, selain timbul desakan pihak-pihak tertentu yang menyarankan agar diwujudkan jawatan itu.

Tiada ulasan: