Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menggesa Khalid Samad
meletakkan jawatan selepas menteri Wilayah Persekutuan itu mengaku tidak
membaca kertas kabinet.
"Kalau sudah malas dan tiada masa membaca
kertas kabinet, lebih baik letak jawatan," katanya dalam kenyataan di
Facebook hari ini.
Semalam, Khalid memberitahu pemberita bahawa
menteri-menteri kabinet telah meluluskan kertas dasar untuk memansuhkan
Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) mulai esok.
Pemimpin
Amanah itu mendakwa bahawa kertas kabinet hanya diedarkan pada hari
mesyuarat kabinet dan bukan dua minggu sebelum seperti biasanya.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam, elaun akan dikaji semula dari semasa ke semasa dan dilaksanakan hanya apabila perlu.
Bagaimanapun, bagi Asyraf, elaun itu melibatkan "periuk nasi" rakyat dan Khalid sepatutnya meneliti dokumen itu.
"Sudah
tercabutkah naluri keinsanan untuk mengambil kira denyut nadi rakyat
yang hakikatnya kian tertekan dengan kos sara hidup yang tidak
turun-turun sebagaimana dijanjikan PH sebelum jadi kerajaan?," soal
Asyraf.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka akan mengkaji semula keputusan itu pada mesyuarat kabinet Rabu depan.
Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam memberi masa tujuh hari
kepada Peguam Negara (AG) Tommy Thomas untuk mendakwa dua individu yang
dipaparkan pada klip video seks yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal
Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
"Maka hari ini saya hantar surat kepada Tommy Thomas dengan tempoh tujuh hari, untuk menjawab surat saya ini.
"Saya
berikan tujuh hari kepada AG, dan jika mereka tidak menjawab apa status
laporan polis (berhubung skandal video seks) yang saya buat pada 11
Jun, maka peguam saya akan ambil tindakan undang-undang terhadap AG,"
kata Lokman di Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya hari ini.
Lokman
turut mendakwa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengarahkan pihak
polis untuk tidak meneruskan siasatan skandal itu yang turut melibatkan
bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.
Klip video seks yang menjadi kontroversi itu memaparkan dua lelaki dalam aksi seks sejenis.
Ia mula disebarkan pada 11 Julai lalu.
Haziq
kemudian tampil mengaku bahawa dirinya merupakan individu dalam klip
video yang menurutnya dirakam pada 11 Mei di Four Points Hotel di
Sandakan, Sabah.
Haziq turut mendakwa individu bersamanya dalam klip video itu ialah Azmin.
Azmin menafikan dakwaan itu sebagai fitnah dan plot untuk menjatuhkan kerjaya politiknya.
Sementara
itu, Lokman hari ini juga mendakwa bahawa gesaan itu dibuatnya selepas
mendapat maklumat dari dalam Jabatan Peguam Negara bahawa kertas
pertuduhan terhadap dua individu dalam klip video itu sudah disediakan
di bawah Seksyen 377B dan 377D Kanun Keseksaan.
Beliau juga
menggesa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed untuk
menunaikan janji mendedahkan identiti mereka yang terlibat dalam video
seks itu.
November lalu, Lokman berkata polis telah menghantar
klip video seks itu ke sebuah universiti di Amerika Syarikat untuk
dianalisis.
"Sangat pasti sebelum akhir tahun ini," kata Huzir
sebelum ini ketika ditanya mengenai masa yang dijangkakan untuk
mendapatkan keputusan analisis berkenaan.
Terdahulu hari ini, jurucakap MCA Chan Quin Er juga telah mengajukan soalan yang sama kepada Huzir.
Ada kemungkinan yang besar 16 anak kapal yang ditangkap
pihak berkuasa Iran di Selat Hormuz pada Isnin bukan rakyat Malaysia,
kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.
“Setakat maklumat yang ada,
kita baru dapat tahu nama kapal. Enam belas orang kru itu kemungkinan
besar bukan rakyat Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita di Kuala
Lumpur malam tadi.
Menurut Saifuddin lagi, buat masa ini kerajaan tidak boleh menyebutkan maklumat yang diperolehi secara khusus.
“Kita masih menunggu maklumat yang paling tepat dari Kementerian Luar Iran,” katanya.
Terdahulu,
agensi berita antarabangsa melaporkan, Pengawal Revolusi Iran merampas
sebuah kapal kerana disyaki menyeludup minyak. Turut ditahan, 16 orang
kru dalam kapal berkenaan.
Pihak berkuasa turut merampas 1.3 juta
liter bahan api yang diseludup dari sebuah kapal yang tidak dinamakan,
di kedudukan kira-kira 15 batu nautika dari pulau Abu Musa.
Sementara
itu, Saifuddin menambah bahawa rakan sejawatannya di Iran dijangka
bakal memberikan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut lewat pagi
ini.
Saifuddin ditemui selepas menghadiri perayaan sambutan tahun
baru dan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2020 di Dataran Merdeka oleh
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
ULASAN | Ketika Dr
Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 pada 1991, saya sebagai
seorang wartawan yang makan gaji dengan sebuah akhbar prokerajaan BN
memandangnya dengan sinis.
Bukan kerana saya berasa diri hebat
atau berilmu tinggi, cuma memang pesisme saya tidak pernah yakin dengan
idealisme Umno-BN. Apatah lagi apabila ia mahu melahirkan satu Bangsa
Malaysia yang bersatu padu.
Saya pesimis dengan wawasan itu kerana
tidak yakin ia mampu mengubah struktur negara. Wawasan 2020 lahir
selepas tamatnya tempoh Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1990.
Maksudnya
DEB yang dijelmakan sebagai hak Melayu (walaupun matlamatnya adalah
untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan) secara
tiba-tiba mahu ditinggalkan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang
rakyatnya (mungkin) setara dan berpeluang saksama.
Namun,
dalam pesisisme itu, saya turut meraih nikmat pertumbuhan ekonomi dekad
1990-an.
Memang malu juga mahu mengakuinya, tetapi itulah hakikatnya.
Secara
peribadi, perkembangan ekonomi dan kekuatan ringgit membolehkan saya
berbelanja mewah membeli buku dan majalah luar negara, serta barangan
import lain dengan harga mampu milik.
Pada masa itu nilai AS$1
bersamaan RM2.5 manakala £1 setara RM3.8 dan S$1 bersamaan RM1.5 –
walaupun gaji zaman itu tidaklah sebesar mana pun.
Jadi contoh negara membangun
Kini,
melihat kembali wawasan Dr Mahathir itu, semuanya hanya tinggal impian.
Sama ada saya betul atau tidak (kerana pesimisme diri), yang jelas kita
bukan sahaja gagal mencapai matlamat wawasan tersebut, malah kita
semakin berundur ke arah curiga antara satu sama lain, benci sesama
sendiri, dan semakin tidak bermoral dalam aspek rasuah, korupsi dan
salah guna kuasa.
Matlamat dan cabaran Wawasan 2020 semakin jauh
kita tinggalkan. Sama ada kita cipta wawasan lain untuk tahun 2030, 2040
atau 2050, ia sudah tidak memberi banyak makna lagi kerana matlamat
asas Bangsa Malaysia sudah kita bakul sampahkan.
Antara matlamat utama Wawasan 2020 yang jauh ditinggalkan itu ialah cita-cita murni menjadikan Malaysia sebagai “sebuah
negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup
dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri
daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan
dedikasi kepada negara”.
Juga tiada lagi impian untuk mewujudkan “masyarakat
demokratik yang matang, yang mengamalkan demokrasi Malaysia yang
mempunyai persefahaman matang, berasaskan masyarakat yang boleh menjadi
contoh kepada beberapa banyak negara membangun”.
Apa lagi harapan untuk melahirkan sebuah “masyarakat
liberal dan bertolak ansur, dengan rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas
mengamalkan adat, kebudayaan, dan kepercayaan agama mereka dan pada masa
sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara”.
Sudah tiada lagi.
Malah, dari sudut ekonomi, tiada lagi impian untuk “memastikan
masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi... yang melaksanakan
pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama dengan wujudnya
perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi” dan “masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, dinamik, giat dan kental”.
Kita
sekarang seperti kehilangan arah. Kita mudah tergoda dengan imej-imej
agama dan kaum daripada pengisian serta maknanya. Kita berbalah dan
bertegang leher, malah sanggup mencabar ke arah keganasan atas jenama,
lambang dan simbol.
Barang jadi mahal
Hanya
kulit menjadi pujaan kerana isi sudah lama hilang. Ia seperti tidak
ramai yang pedulikan spesies Harimau Malaya yang bakal pupus tidak lama
lagi kerana kita lebih sayangkan gambar, imej dan simbolismenya
berbanding benar-benar memulihara hidupan liar yang terancam itu.
Dengan
atau tanpa sebarang wawasan, 2020 telah pun tiba - sama ada kita
bersedia atau tidak. Saya masih kekal pesimis dan sinis.
Memang
saya sendiri tidak suka dengan perangai ini tetapi sukar untuk
membuangnya. Mungkin saya boleh berazam untuk lebih positif sempena
tahun dan dekad baru ini, tetapi itu juga sekadar angan-angan.
Sementara
itu, nilai ringgit untuk hari ini adalah AS$1 bersamaan RM4.1 manakala
£1 bersamaan RM5.4, manakala di seberang Tambah Johor, S$1 bersamaan
RM3.0.
Saya pun jarang lagi membeli majalah antarabangsa kerana
ia kini menjadi terlalu mahal. Kos sara hidup semakin meningkat manakala
gaji masih di takuk lama.
Dan ini bukan soal parti politik mana yang memerintah atau membangkang.
Ini
bukan kisah orang lain. Ini adalah cerita tentang diri kita sendiri.
Sama ada saya pesimis atau optimis, beginilah realitinya. Sama ada mahu
hidup benci-membenci atau bantu-membantu, itu pilihan peribadi. Tiada
apa yang akan berubah jika kita terus kaku dan bisu.
Kalau setakat
pandai mencari kesalahan, kekhilafan dan kesilapan orang lain, memang
kita adalah juara. Saya sendiri pun dengan sedihnya terpaksa mengaku ada
“kepandaian” ini.
Persoalannya, selepas daripada itu, apa? Tepuk dada tanya selera, ukur baju di badan sendiri.
WAN HAMIDI HAMID seorang penulis, kolumnis, pemerhati politik dan penggemar muzik.
Bekas Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.
KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak
setiap ahli pembangkang ‘melawan’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada
tahun depan.
Menurutnya, mereka perlu menentang kegagalan PH menerusi media sosial
masing-masing ataupun hadir meramaikan aktiviti pihak pembangkang.
“Saya menyeru ahli-ahli parti pembangkang semua peringkat mari
bersama-sama tunjuk dan menyakinkan rakyat yang kita berbeza dengan
menjadi pembangkang berwibawa dan mampu beri penyelesaian lebih baik
daripada PH,” katanya dalam rakaman video sempena tahun baru hari ini.
Menurut Najib, walaupun ada dalam kalangan ahli dan pimpinan
pembangkang mengalami kesukaran kerana ditekan kerajaan PH namun mereka
perlu komited dalam perjuangan.
“Ya, kita tidak ada apa-apa lagi, kita tinggal sehelai sepinggang
tapi PH kena ingat, kita ada hati kekuatan oleh rakyat,” ujarnya.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, rakyat mahu pembangkang yang berkesan membawa suara mereka.
“Bayangkan setiap ahli (pembangkang) bersuara di media sosial setiap
hari suara mereka akan kedengaran dan akan mengegarkan dan membuatkan
tidak aman Putrajaya,” katanya.
Menurut Najib, sampai sekarang PH masih menyalahkannya atas apa yang
berlaku di negara ini sedangkan sudah masuk 600 hari beliau bukan lagi
perdana menteri.
“PH cuba tutup kelemahan dengan naratif semua salah Najib, putar semula semua isu adalah salah saya,” katanya. – MalaysiaGazette
IPOH – Pulau Pangkor, destinasi pelancongan terkemuka di Perak dan di
Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi Pulau Bebas Cukai (PBC)
berkuat kuasa hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak,
Tan Kar Hing berkata, status Pulau Pangkor sebagai PBC merupakan satu
anjakan paradigma untuk menggalakkan lebih ramai pelancong berkunjung ke
pulau peranginan itu.
Tanpa menyatakan angka sebenar, beliau berkata, statistik
kedatangan pelancong ke pulau yang terkenal dengan ikan bilis mata biru
itu sejak lima tahun lepas merosot dan yakin status PBC dapat
merancakkan kembali sektor pelancongan.
Tan berkata, kerajaan negeri merancang pelbagai pembangunan
infrastruktur di pulau itu termasuk menarik pihak swasta untuk melabur,
antara lain untuk membina pusat beli-belah yang lebih besar, cantik dan
selesa selain hotel tiga bintang ke atas.
Kerajaan negeri juga merancang untuk menaik taraf perkhidmatan feri
selain teksi van berwarna merah jambu yang merupakan identiti Pulau
Pangkor, katanya kepada Bernama ketika ditemu bual baru-baru ini.
“Kita maklum sekarang ini dari segi feri, teksi agak usang. Kita ada
sub jawatankuasa yang membincangkan mengenai penukaran teksi termasuk
tawarkan pinjaman kepada pengusaha, persatuan teksi.
“Kita juga mungkin akan buka lebih banyak lesen feri untuk
beroperasi. Jumlah tidak tetapkan selaras dengan limpahan pelancongan
…tawar perkhidmatan baik dan selesa,” katanya.
Tan juga berkata, setakat ini terdapat tiga kedai memegang status
bebas cukai termasuk sebuah kedai coklat yang telah beroperasi, manakala
selebihnya belum dapat ditentukan kerana ia merupakan hak pemilik
premis untuk membawa masuk barangan.
Berhubung senarai barangan termasuk penjualan arak dan rokok, Tan
berkata, ia masih dalam rundingan antara kerajaan negeri dan Kementerian
Kewangan.
Berkaitan keluhan penduduk di pulau itu terutama mengenai jeti yang
bukan sahaja menjadi laluan kargo, malah mereka perlu beratur panjang
dengan pelancong, Tan berkata, pihaknya mengambil maklum isu itu dan
usaha sedang dilakukan untuk menyelesaikannya.
Pengisytiharan rasmi status Pulau Pangkor sebagai PBC dijangka
disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada satu tarikh yang
akan ditentukan kemudian oleh kerajaan negeri. – Bernama
Salah
seorang qari OKU penglihatan yang mengambil bahagian dalam majlis
tilawah Al-Quran anjuran Pertis bersama YIT di Kuala Terengganu pada
Selasa. Astro AWANI
KUALA TERENGGANU: Yayasan Islam
Terengganu (YIT) akan memperkasakan pertandingan tilawah Al-Quran
Braille bagi peserta kelainan upaya (OKU) penglihatan.
Pengarahnya Azhar Jusoh berkata, pihaknya bersama Persatuan Orang-Orang
Cacat Penglihatan Islam Malaysia Terengganu (Pertis) akan bekerjasama
bagi menonjolkan bakat peserta OKU di peringkat lebih tinggi.
Sebelum ini, katanya, pertandingan tilawah Al-Quran Braille hanya
diadakan di pusat pengajian Pertis di Seberang Takir, Kuala Nerus dalam
skala kecil.
Jelasnya, peserta OKU perlu diberi peluang sama
dengan qari dan qariah normal, di samping sebagai dorongan agar mereka
berjaya sehingga peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
"Kita bersedia membantu persatuan tersebut melaksanakan majlis tilawah
Al-Quran orang-orang kurang upaya ini supaya menjadi aktiviti Yayasan
Islam Terengganu, dan kalau perlu, kita jadikan aktiviti tahunan," kata
Azhar.
Sementara itu, peserta tilawah yang ditemui turut
melahirkan harapan agar pihak berkenaan dapat membantu golongan OKU
seperti mereka bersaing di peringkat lebih tinggi.
Seramai 28 qari dan qariah OKU penglihatan memperdengarkan bacaan ayat
Al-Quran pada majlis yang julung kali diadakan oleh Pertis bersama YIT
pada Selasa.
Majlis Tilawah Al-Quran Braille tahun ini
menyaksikan qari dari Kuala Nerus, Abdul Latif Yusof dan qariah dari
Kerteh, Afzam Mustafah memenangi tempat pertama.
Penggunaan teknologi terkini sejajar dengan pembelajaran abad ke-21.
JOHOR BAHRU – Sekolah Kebangsaan Taman Perling, di sini, mengambil
pendekatan berbeza pada musim persekolahan baharu tahun ini apabila
memperkenalkan penggunaan sistem pengimbas wajah untuk merekod kehadiran
pelajar, guru dan kakitangan sekolah itu.
Guru Besar sekolah itu Zamri Abd Wahab berkata aplikasi terkini itu
digunakan supaya dapat melancarkan pengurusan seharian sekali gus
mengurangkan beban kerja guru.
“Kami sentiasa terbuka untuk gunakan teknologi terkini selaras
dengan pembelajaran abad ke-21,” katanya ketika ditemui pada hari
pertama persekolahan di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.
Zamri yang telah empat tahun berkhidmat di sekolah itu berkata
sekolah itu merupakan yang pertama di negeri ini menggunakan sistem itu
dan diharapkan dalam masa yang sama dapat menarik minat murid untuk
mendekati atau mempelajari teknologi maklumat (IT).
Data yang direkodkan melalui sistem itu akan terus dimuat naik ke
Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), yang bukan sahaja mengandungi
rekod kehadiran murid tetapi juga maklumat peribadi mereka.
AMPANG – Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk
Dr Ibrahim Ali melahirkan rasa terkilan terhadap keputusan penerima
biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) luar negara bagi Zon Utara yang
tular di media sosial sejak semalam.
Lebih malang kata Ibrahim apabila pelajar Melayu merupakan kaum
paling sedikit menerima tajaan pendidikan ke luar negara itu iaitu
seramai 12 orang sahaja berbanding pelajar Cina 50 orang dan India 18
orang.
“Saya terkilan dengan satu tular keluar mendakwa biasiswa JPA
untuk Zon Utara yang diberi kepada semua kaum tetapi jumlahnya
Bumiputera lebih kecil daripada Cina, malah kalau dicampur penerima Cina
dan India, kaum Bumiputera masih kurang.
“Biasiswa JPA ini dari segi Perlembagaannya adalah hak keistimewaan
orang Melayu. Dulu diberi 10 peratus kepada bukan Bumiputera, tiada
siapa bangkit atas ihsan, atas murah hati kerajaan dan orang Melayu
kepada kaum lain.
“Tapi zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi, sudah meningkat, zaman Datuk Seri Najib Tun Razak semakin meningkat jadi (50-50).
“(Tapi) Sekarang ini sudah jadi kurang daripada 50 peratus,” katanya
pada sidang media di Rumah Bakti Dato’ Harun, Ulu Klang, di sini, hari
ini. Borang
pendaftaran pelajar program khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman 2019
bagi Zon Utara (Pulau Pinang) dipercayai di bawah Jabatan Perkhidmaan
Awam (JPA) yang tular di media sosial, sejak semalam.
Beliau merujuk kepada sekeping borang pendaftaran pelajar program
khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman 2019 bagi Zon Utara (Pulau
Pinang) dipercayai di bawah JPA yang tular di media sosial, sejak
semalam.
Borang JPA bertarikh 9 Mei 2019 turut menyenaraikan 80 pelajar yang terpilih untuk mendapat tajaan pendidikan kerajaan itu.
Ibrahim juga menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang
mengejutkan dan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang
menjamin hak keistimewaan orang Melayu.
“Walaupun Pakatan Harapan (PH) memerintah, mereka tidak boleh melanggar Perlembagaan hak istimewa orang Melayu,” katanya.
Ibrahim turut mendesak Majlis Raja-Raja Melayu agar mencampuri
perkara itu susulan ia meminggir dan menafikan hak keistimewaan orang
Melayu.
“Saya minta Majlis Raja-Raja Melayu campur tangan, saya minta perkara
ini dikaji balik dan saya minta semua orang Melayu bangkit menentang
keputusan ini, kalau ia betul,” katanya.
Katanya lagi, jika keputusan penerima biasiswa yang tular itu palsu,
pihak yang bertanggungjawab perlu mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai
perkara terbabit.
“Kalau tidak, minta JPA buat penafian di atas apa yang disebarkan ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
KUALA LUMPUR – Pas menggesa kerajaan supaya menyelesaikan isu
lambakan pelancong warga China dan India yang tidak pulang hingga
bermastautin di negara ini dengan kadar segera.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Inrahim Tuan Man berkata, isu
keselamatan telah menjadi prioriti utama berbanding sasaran pelancong
sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.
Katanya, pengecualian visa yang diberikan khusus kepada
pelancong warga China dan India pada tahun 2016 dan 2017 perlu
dihentikan supaya isu ‘pemastautinan’ mereka diselesaikan segera.
“Tambahan pula, sebelum ini kita dapati banyak isu seperti sindiket
penjualan dan pemalsuan MyKad, tangkapan hampir seribu warga China yang
terbabit dengan ‘scam online’, penurunan had ambang pemilikan hartanah
warga asing dan lambakan PATI.
“Pas mahu Kerajaan Persekutuan tidak berkompromi dan mengambil mudah
dengan kemasukan warga asing di negara ini,” katanya menerusi kenyataan
hari ini.
Tuan Ibrahim menegaskan, masalah kritikal yang dihadapi ialah wujud
kelemahan yang serius dalam pelaksanaan Sistem Maklumat Pendaftaran
Pelancong Elektronik (eNTRI) dan juga MyIMMs ketika pemprosesan di
pintu-pintu masuk pelancong.
Ujarnya, meskipun banyak syarat yang perlu dipatuhi, namun isu-isu yang dihadapi selama ini lebih besar.
“Pas mahu pengecualian visa tahun 2020 dibatalkan selagimana isu-isu
tersebut masih belum diselesaikan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette